10 Khasiat Dan Manfaat Halba Yang Perlu Anda Tahu Mengikut Kajian Perubatan

Kongsi artikel ini

Halba telah digunakan sebagai rempah dalam masakan dan juga dalam perubatan tradisional sejak dulu lagi. Tetapi tahukah anda ia mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan badan kita. Halba mungkin asing bagi sesetengah masyarakat, tapi di Asia dan Mediterranean ia memang sangat biasa digunakan.

Halba atau fenugreek merupakan sejenis tumbuhan berwarna coklat yang berasal dari Mediterranean dan sebahagian daripada Asia.

Halba sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan antaranya kari, dhal, nasi lemak tanpa santan, nasi dagang dan macam-macam lagi sebagai penambah perisa dan aroma.

Halba juga kaya dengan mineral seperti kalsium dan zat besi, vitamin B6 dan niasin, asid lemak penting seperti asid linoleik, yang semuanya sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan.

Ia juga didapati mengandungi beberapa sebatian yang telah terbukti mempunyai banyak manfaat kesihatan lain seperti menguruskan kolestrol dan kencing manis.

Antara nutrisi yang terdapat dalam biji halba

Halba dipercayai mengandungi banyak nutrien pemakanan penting yang dapat membantu meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. 

Ia juga merupakan antioksidan yang sangat baik yang dapat membantu memberikan banyak kebaikan kepada tubuh badan kita.

Beberapa nutrien baik ini termasuklah: 

  • Kolin
  • Inositol
  • Biotin 
  • Vitamin A, B dan D
  • Serat larut dan tidak larut 
  • Zat besi

Kebaikan Halba Untuk Meningkatkan Pengeluaran Susu Ibu

Meningkatkan Pengeluaran Susu Ibu

Halba telah digunakan sejak dulu lagi sebagai herba semulajadi bagi membantu meningkatkan bekalan susu ibu. Kajian yang telah dijalankan oleh PubMed.Gov membuktikan bahawa biji halba boleh diambil untuk meningkatkan jumlah susu ibu.

Ramai ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka mengambil biji halba kerana keupayaannya dalam meningkatkan pengeluaran susu. 

Bijinya mengandungi komponen yang dikenali sebagai diosgenin. Ia merupakan sebatian seperti steroid yang dianggap bertanggungjawab dalam merangsang pengeluaran susu pada ibu yang sedang menyusukan anak. 

Biji halba ini juga boleh dijadikan teh. Tambah 2 sudu teh biji halba ke dalam 5 cawan air mendidih. Biarkan selama 10 minit, kemudian tapis ke dalam cawan. Minum ketika masih suam.

Untuk hasil terbaik, minum teh halba ini tiga kali sehari semasa sesi penyusuan selama sekurang-kurangnya dua minggu. Boleh juga tambah madu atau pemanis semula jadi lain jika tidak tahan dengan rasa halba yang agak pahit. 

Jika suka boleh tambah biji halba yang telah direndam ke dalam minuman oat yang telah dicampur dengan susu kurma dan kacang seperti badam, gajus dan pistachio. 

Membantu Mengawal Kolesterol

Membantu Mengawal Kolesterol

Halba juga mempunyai khasiat dalam membantu mengawal tahap kolestrol yang sihat dan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko masalah jantung. 

Biji halba dikatakan dapat membantu melambatkan penyerapan kolesterol dalam usus serta hati. 

Di samping keupayaannya untuk mengurangkan kadar kolesterol, ia juga mempunyai banyak manfaat lain untuk kesihatan kardiovaskular. 

Ia mengandungi lipid yang telah terbukti mengurangkan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol “jahat” sambil meningkatkan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol “baik”. 

Kajian lain yang dijalankan mencadangkan bahawa ia mungkin berkesan dalam mengurangkan trigliserida dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan.

Cara pengambilan air halba dalam membantu mengurangkan kolesterol:

  1. Rendam 1 sudu kecil biji halba semalaman bersama 2 cawan air
  2. Keesokan paginya, rebus air rendaman halba bersama halba sekali sehingga mendidih.
  3. Tapis biji halba dan minum air halba suam ini pada waktu pagi sebelum mengambil sarapan pagi.

Khasiat Halba Dalam Membantu Meningkat Testosteron Dan Hormon Lelaki

Meningkat Testosteron

Jangan tak tahu halba ni sangat baik untuk kesihatan lelaki. Ini kerana ia berpotensi dalam membantu meningkatkan pengeluaran testosteron pada lelaki. Testosteron adalah hormon yang membantu mengawal dorongan seks dan jisim otot. 

Badan penyelidikan saintifik menunjukkan bahawa halba mungkin dapat membantu dalam meningkatkan tahap testosteron secara semulajadi. 

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal mendapati bahawa dengan mengamalkan 500 miligram (mg) ekstrak halba setiap hari selama 8 minggu dapat menghasilkan peningkatan ketara dalam tahap testosteron berbanding sebelum kajian. 

BACA  13 Manfaat Luar Biasa Tentang Khasiat Daun Ketumbar Yang Baik Untuk Kesihatan Badan Kita

Selain itu, mereka yang mengambil suplemen halba mengalami peningkatan dalam tahap libido, kekuatan dan komposisi lemak badan dalam tempoh masa pengambilan halba.

Membantu Mengawal Gula Dalam Darah Dengan Teh Halba

Mengawal Gula Dalam Darah

Penyelidikan telah mendapati bahawa halba mengandungi kandungan sebatian aktif yang bukan sahaja dapat membantu mengawal tahap glukosa, tetapi juga dalam membantu mengurangkan masalah keradangan serta menggalakkan tahap kolesterol yang sihat. 

Kajian telah menunjukkan bahawa dengan mengambil ekstrak biji halba atau makan biji halba yang telah direndam setiap hari dapat membantu menurunkan gula darah sebelum makan dan paras gula darah selepas makan dengan ketara pada pesakit diabetes jenis 2 dan pesakit kencing manis. 

Halba juga boleh meningkatkan sensitiviti insulin yang membantu mengurangkan gejala diabetes dan meningkatkan kawalan glisemik keseluruhan.

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati bahawa dengan pengambilan dos harian 10 gram serbuk halba boleh membantu mengawal diabetes jenis 2.

Khasiat Halba Dalam Membantu Mengurangkan Berat Badan Anda

khasiat halba

Mengamalkan biji halba boleh membantu mengurangkan keinginan untuk snacking, meningkatkan metabolisme dan juga menyekat selera makan. 

Biji halba kaya dengan vitamin, mineral dan nutrien penting lain. Ini kerana ia merupakan sumber serat makanan dan protein yang baik. Jadi ia merupakan pilihan yang sangat baik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan secara semula jadi.

Biji halba mengandungi beberapa sebatian yang boleh membantu dalam penurunan berat badan apabila diambil secara teratur. Ia dikatakan dapat membantu mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama. 

Halba dapat membantu proses penghadaman yang sihat dan membantu mengeluarkan toksin dari badan.

Apabila diambil setiap hari sebagai sebahagian daripada diet yang sihat, herba ini bermanfaat dalam membantu menyokong proses penurunan berat badan anda apabila dipadankan dengan gaya hidup dan diet yang sihat. 

Selain itu halba juga mempunyai sifat antioksidan yang boleh melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas sehingga menjadikannya tambahan yang ideal untuk sebarang diet.

Untuk mengambil halba untuk menurunkan berat badan, tambahkan 1 sudu teh biji halba yang telah dikisar ke dalam smoothie atau oatmeal anda. Pengambilan teh ekstrak biji halba juga boleh membantu dalam mengawal selera makan yang berlebihan.

Masalah Penghadaman, Sembelit Dan Gastritis

Masalah Penghadaman

Halba didapati dapat membantu dalam merawat masalah penghadaman, sembelit, dan gastrik.

Ia mempunyai ciri anti-radang dan antispasmodik, yang menjadikannya penawar semula jadi yang hebat untuk masalah pencernaan. Meminum rendaman air biji halba setiap pagi semasa perut kosong boleh mengawal metabolisme dan memberikan beberapa nutrien dan mineral untuk tubuh badan.

Biji halba mengandungi sebatian yang dikenali sebagai saponin, yang dipercayai membantu mengurangkan keradangan dalam saluran penghadaman. Ia dapat membantu mengurangkan masalah kembung perut dan sakit perut. 

Halba juga kaya dengan sumber serat yang dapat membantu menggalakkan pencernaan yang sihat. Dengan meningkatkan pengambilan serat dalam diet anda, boleh membantu memastikan sistem pencernaan berjalan lancar dan sihat.

BACA  Ketahui 8 Khasiat Lemon Yang Baik Untuk Tubuh Badan

Jadi tambah halba dalam diet anda untuk mendapatkan manfaatnya.

Halba juga dipercayai mempunyai kesan antasid, yang boleh membantu mengurangkan gejala gastrik. 

Ia juga dapat membantu mengurangkan risiko ulser dalam perut. Ini boleh membantu terutamanya bagi mereka yang mengalami sakit gastrik yang kronik. 

Halba merupakan penawar semulajadi yang bagus jika anda mempunyai masalah penghadaman, sembelit, dan gastrik. 

Mengurangkan Kesakitan Dan Keradangan

Keradangan

Halba telah lama digunakan untuk membantu melegakan kesakitan. 

Penyelidik perubatan berpendapat bahawa sebatian yang dipanggil alkaloid dalam biji herba membantu menghalang reseptor deria yang mendorong otak untuk merasakan sakit. 

Dalam kajian yang telah dilakukan pada 2014, seramai 51 orang wanita yang mengalami sakit akibat haid telah mengambil kapsul serbuk biji halba sebanyak tiga kali sehari pada 3 hari pertama haid mereka selama 2 bulan berturut-turut. 

Mereka melaporkan tempoh kesakitan yang dialami lebih pendek dan simptom kesakitan akibat senggugut juga berkurangan.

Halba Untuk Melebatkan Rambut

Melebatkan Rambut

Halba kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan, yang boleh membantu merangsang pertumbuhan rambut dan membantu rambut kelihatan lebih sihat dan berkilat.

Halba mempunyai ciri anti-radang, yang boleh membantu mengurangkan masalah kelemumur dan keradangan kulit kepala, dan ia juga boleh digunakan untuk merawat keguguran rambut. 

Terdapat banyak cara untuk menggunakan halba untuk melebatkan rambut, antaranya ialah dengan membuat pes dengan mencampurkan serbuk halba dan air.

Urut campuran ini ke kulit kepala selama kira-kira 20 minit, kemudian bilas dengan air suam. Ini akan membantu untuk merangsang kulit kepala dan menggalakkan pertumbuhan rambut secara semulajadi. 

Sama ada anda ingin mengurangkan kelemumur, mendapatkan rambut yang lebih berkilat atau merangsang pertumbuhan rambut, halba adalah pilihan semula jadi yang baik.

Membantu Merawat Sakit Kepala Dan Migrain

Halba juga sering digunakan untuk merawat gejala seperti pening, sakit kepala dan migrain. Ini kerana halba mengandungi sebatian yang dipanggil riboflavin, yang boleh membantu meningkatkan tindak balas sel, pembaikan sel, dan pertumbuhan sel untuk melawan migrain kronik.

Pengambilan teh halba boleh membantu mengurangkan gejala migrain yang teruk. Ia juga boleh membantu mengurangkan migrain episodik dan kekurangan nutrien lain dalam tubuh badan kita.

Sebatian ini mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan punca lain sakit kepala atau migrain. Selain itu, kajian menunjukkan bahawa halba boleh meningkatkan peredaran darah yang sihat.

Kesimpulan

Halba telah diketahui umum dapat membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan badan secara keseluruhan.

Ia sangat bermanfaat dalam membantu sistem penghadaman yang sihat, memberikan kelegaan daripada kesakitan akibat keradangan, meningkatkan pengeluaran susu badan dan menguruskan diabetes dan kolesterol. 

Jika anda mengalami mana-mana masalah kesihatan yang dibincangkan di atas ini, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk menambah halba ke dalam diet anda. 

Namun demikian, adalah sangat penting untuk berbincang dengan doktor sebelum mengambil sebarang suplemen halba atau ubat semulajadi bagi merawat penyakit yang anda alami. Pastikan anda mengambil halba dalam kuantiti yang dibenarkan dan tidak berlebihan.

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

eighteen + 14 =