Nak buat nasi tomato sebenarnya agak mudah. Jadi dalam resepi nasi tomato yang kami kongsikan ini kami gunakan bahan-bahan yang mudah didapati dan cara penyediaan yang sangat senang difahami.
Walaupun nasi tomato simple tapi sedap macam makan dekat majlis kenduri kahwin. Lebih-lebih lagi apabila dihidangkan bersama kuah dalcha, ayam masak merah dan acar timun nenas. Memang sangat menyelerakan.

Nasi tomato mempunyai rasa manis dari tomato dan aroma yang wangi daripada herba dan rempah ratus. Ia juga merupakan menu yang sesuai dihidangkan untuk anak-anak kecil kerana ia tidak pedas dan juga sedap dimakan begitu sahaja tanpa sebarang lauk.
Resepi Nasi Tomato Guna Pes Tomato Atau Buah Tomato Segar Lebih Baik?
Kebiasaannya dalam setiap penyediaan nasi tomato memang akan guna pes tomato. Dalam kebanyakkan masakan yang memerlukan pes tomato seperti sos pasta bolognese dan nasi tomato ramai akan memilih untuk menggunakan pes tomato.
Ia menjadi pilihan popular di kalangan suri rumah kerana rasa tomato yang segar, manis dan masam yang seimbang. Dan ia juga memudahkan kerja.
Tetapi mengapa memilih puri tomato dan bukannya tomato segar semasa memasak nasi tomato ni?
Konsistensi tomato puri lebih pekat berbanding tomato segar yang dihancurkan atau dipotong dadu, menjadikannya sesuai untuk hidangan yang memerlukan pes yang lebih pekat.
Tomato diketahui mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi serta likopen, antioksidan yang membantu melawan keradangan. Tomato puri atau pes tomato mempunyai manfaat yang sama seperti tomato segar kerana kandungan nutriennya.
Jadi pilih pes tomato yang organik dan tiada kandungan tambahan supaya anda mendapat sepenuh manfaat dan khasiat tomato. Pastikan anda menyemak label dan memilih yang rendah natrium jika boleh.
Ok jom cuba buat nasi tomato simple ni. Resepi nasi tomato ini pasti menjadi kegemaran seisi keluarga anda.
Bahan-bahan
- 3 cawan beras basmati (ikut arahan masakan pada pek beras)
- 1 inci halia dihiris halus
- 1 biji bawang merah hiris halus (saiz sederhana)
- 4 ulas bawang putih dihiris
- air secukupnya
- 2 kuntum bunga lawang
- 2 biji buah pelaga
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga cengkih
- 1 helai daun pandan, dibasuh bersih kemudian ikat simpul
- 1/4 cawan kismis
- ¼ cawan kacang gajus (tak nak tambah pun takpe)
- 1/2 cawan susu segar
- 1/2 cawan pes tomato (boleh letak 1 cawan jika suka)
- 2 sudu besar minyak sapi
- garam secukup rasa
Cara-cara
- Basuh beras, toskan dan ketepikan.
- Panaskan minyak sapi. Bila minyak dah panas masukkan bahan-bahan yang telah dihiris halus. Tumis sampai naik bau dan layu. Pastikan api sederhana besar.
- Kemudian masukkan bunga lawang, buah pelaga serta kayu manis. Tumis sebentar.
- Apabila kesemua bahan-bahan sudah wangi masukkan beras yang telah dicuci tadi bersama daun pandan.
- Gaul rata beras dan bahan-bahan tumisan.
- Kemudian masukkan tomato puri. Gaul rata.
- Masukkan susu segar, air, kismis, kacang gajus serta garam. Gaul sekata semua bahan-bahan hingga sebati.
- Tutup periuk nasi dan biarkan ia masak.
- Bila nasi dah siap masak tunggu 10 minit kemudian gaul perlahan-lahan dengan garfu supaya nasi gebu.
- Taburkan dengan bawang goreng dan daun sup sebelum dihidangkan.
Nota
Nasi tomato juga boleh dimasak menggunakan periuk tekanan. Jika periuk tekanan anda mempunyai mode stir fry, boleh tumis semua bahan-bahan di dalam periuk dan masak terus menggunakan periuk yang sama.
Seeloknya basuh bersih semua rempah ratus kering yang digunakan supaya dapat membuang semua kotoran yang melekat.
Selain guna beras basmathi boleh juga guna beras biasa atau beras Jasmine.
Kalau nak gantikan ghee dengan butter pun boleh juga.
Jika tiada susu segar boleh guna susu cair.