Nasi lemak adalah salah satu hidangan kebangsaan Malaysia, dan ia sering dimakan ketika sarapan pagi. Hidangan ini biasanya dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam goreng, rendang dan sebagainya.

Kalau pergi mana-mana warung atau gerai yang menjual makanan sarapan pagi, pasti ada nasi lemak. Ini kerana ia merupakan menu yang sangat digemari seluruh rakyat Malaysia!
Nasi yang berlemak, dibungkus dengan daun pisang, digandingkan pula dengan sambal yang sedap, pasti nak makan hari-hari kan?
Jika dimakan tanpa lauk tambahan ia biasanya dimakan bersama ikan bilis goreng, kacang tanah, telur rebus, dan hirisan timun. Tu pun dah sedap.
Cuma kalau makan nasi lemak setiap hari agak menggemukkan. Kalau beli di kedai memang peniaga akan tambah santan. Jadi nak nasi lemak tanpa santan untuk kurangkan pengambilan kalori kenalah masuk dapur dan cuba masak sendiri.
Nama nasi lemak bermaksud “nasi berlemak”, merujuk kepada fakta bahawa nasi tersebut dimasak menggunakan santan.
Nasi lemak mengandungi kandungan kalori yang agak tinggi, dan ia mengandungi sejumlah besar lemak. Tetapi dengan pemilihan bahan-bahan yang sihat seperti minyak kelapa dara sebagai pengganti santan boleh membantu mengurangkan pengambilan kalori.
Nasi lemak tidak semestinya menggemukkan, tetapi penting untuk memakannya secara sederhana. Bila dengar sahaja hidangan nasi lemak, ramai yang fikir, nasi mesti dimasak dengan santan untuk rasa sedap. Tapi sebenarnya tak letak santan pun sedap juga.
Guna Minyak Kelapa Dara Sebagai Pengganti Santan Dalam Nasi Lemak Buat Nasi Lebih Sedap
Minyak kelapa adalah sumber lemak sihat yang baik dan penting dalam diet kita.

Minyak kelapa adalah lemak tepu “sihat” yang mempunyai banyak kebaikan kesihatan diantaranya ialah ia membantu mengurangkan berat badan, mengurangkan keradangan dan memastikan kesihatan jantung yang lebih baik.
Tidak semua lemak dicipta sama. Malah, sesetengah lemak sebenarnya boleh membantu anda menurunkan berat badan dan meningkatkan kesihatan. Minyak kelapa adalah salah satu daripada lemak “baik” tersebut.
Minyak kelapa terdiri daripada trigliserida rantaian sederhana (MCTs), iaitu sejenis lemak tepu yang dimetabolismekan secara berbeza daripada jenis lemak lain. MCT dihantar terus ke hati di mana ia digunakan untuk tenaga atau ditukar kepada keton, yang mempunyai banyak manfaat kesihatan.
Terdapat dua jenis utama minyak kelapa dara dan ditapis(virgin and refined coconut oil).
Minyak kelapa dara ditekan sejuk dan diekstrak tanpa menggunakan sebarang pelarut. Ini bermakna ia mengekalkan semua nutrien semula jadi dan antioksidan yang terdapat dalam kelapa.
Minyak kelapa dara juga kurang diproses berbanding minyak kelapa ditapis, menjadikannya pilihan yang lebih sihat secara keseluruhan.
Minyak kelapa ditapis telah terdedah kepada suhu tinggi dan bahan kimia semasa proses perahan. Ini mengurangkan beberapa sebatian bermanfaat yang terdapat dalam kelapa, menjadikan minyak kelapa ditapis kurang sihat berbanding minyak kelapa dara.
Gantikan Kacang Tanah Dengan Kacang Yang Kurang Lemak
Gunakan kacang rendah lemak dan bukannya kacang tanah untuk membantu mengurangkan pengambilan kalori dalam hidangan nasi lemak anda.
Badam, pistachio, kacang Brazil dan walnut adalah antara pilihan kacang yang baik kerana ia mempunyai kandungan protein yang sihat dan kalori yang agak rendah.
Kacang kaya dengan serat, protein, lemak sihat, vitamin dan mineral. Kajian telah menunjukkan bahawa makan segenggam kacang sehari boleh membantu anda menurunkan berat badan dan membakar lemak pada bahagian perut. Tetapi kenalah kacang yang kurang lemak ya.
Pilih Cili Kering Mengikut Tahap Kepedasan Yang Anda Suka
- Cili kering yang panjang dan berkedut – ia mempunyai tahap pedas yang biasa-biasa sahaja. Sangat sesuai jika anda tidak tahan pedas atau ingin memasak untuk anak-anak kecil.
- Panjang dan berkilat – Hati-hati jika memilih cili kering jenis ini kerana ia sangat pedas. Warna merahnya berkilat dan merah. Pada yang suka pedas boleh guna cili kering jenis ini ya.
- Tidak berkedut, merah, pendek dan sedikit buat – Cili kering jenis ini pun kurang pedas. Jika dibandingkan dengan kedua-dua cili kering di atas, cili kering jenis ini yang paling tidak pedas. Harganya juga sedikit mahal.
Kurangkan Gula Dalam Masakan
Terdapat banyak pengganti gula yang sihat, seperti gula kelapa atau nama lain gula melaka.
Gula kelapa diperbuat daripada nira putik bunga kelapa. Ia kaya dengan vitamin dan mineral, serta mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah berbanding gula biasa, jadi ia tidak menyebabkan kenaikan paras gula dalam darah.
Gula kelapa biasanya sentiasa tidak ditapis, jadi ia mengekalkan semua vitamin dan mineralnya.
Walau bagaimanapun, gula kelapa mempunyai jumlah kalori yang hampir sama dengan gula perang, dan ia masih tinggi kandungan karbohidrat dan fruktosa.
Jadi jika anda yang ingin menurunkan berat badan harus mengehadkan pengambilan gula. Dan ia juga bukan pilihan terbaik untuk mereka yang menghidap diabetes.
Sambal Tanpa Serbuk Perasa Tambahan
MSG, atau Monosodium Glutamat, ialah penambah rasa yang biasa digunakan dalam banyak masakan. Walaupun ia boleh menjadikan makanan anda lebih sedap, MSG telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan.
MSG dikata menyebabkan sakit kepala, masalah perut, dan juga kebimbangan dan kemurungan pada sesetengah orang. Ia juga boleh menyebabkan ketagihan, menyebabkan anda mengidam lebih banyak makanan yang mengandungi MSG.
Jika anda mengambil berat tentang kesihatan anda dan keluarga anda, sebaiknya elakkan makanan yang mengandungi MSG. Terdapat banyak pilihan perasa semulajadi di luar sana yang boleh digunakan antara yang popular ialah serbuk cendawan.
Boleh cuba resepi nasi lemak tanpa santan yang kami kongsi. Pasti sedap dan selalu nak masak.
Kalau tengah diet tapi masih nak makan nasi lemak wajib cuba resepi ni. Tak rasa bersalah sangat. Pilih beras perang untuk meningkatkan pengambilan serat serta tambah sayur-sayuran seperti timun – ia bukan sahaja membantu menambah nutrien dalam hidangan tetapi juga membantu mengimbangi rasa berlemak.
Jika ingin lauk tambahan, pilih protein tanpa lemak seperti dada ayam atau ikan.
Bahan-bahan
- Bahan-bahan untuk nasi:
- 2 cawan beras basmati (dibasuh bersih dan rendam selama 30 minit
- 1 inci halia (potong nipis)
- 4 sudu minyak kelapa dara
- 1 batang serai diketuk
- ½ biji bawang merah (potong halus)
- Secubit garam
- Secubit halba
- 2 helai daun pandan (bersihkan dan ikat simpul)
Bahan-bahan untuk sambal
- 2 cawan cili kering yang telah dikisar
- 3 biji bawang besar (Bahan A)
- 1 labu bawang putih (Bahan A)
- 1 inci halia (Bahan A)
- 1 cawan ikan bilis (Bahan A)
- 1 keping gula melaka dalam anggaran 50g
- 1 sudu kecil air asam jawa
- 1 cawan minyak kelapa dara
- Secubit garam
Cara-cara
- Cara-Cara Masak Nasi:
- Basuh beras sehingga bersih, masukkan air mengikut sukatan seperti yang disyorkan pada pek beras. Ketepikan.
- Potong nipis bawang merah dan halia dan ketuk serai.
- Panaskan minyak kelapa dara dan tumis bawang, halia, serai, halba serta daun pandan.
- Tumis sehingga naik bau, tidak perlu lama. Cukup sekadar bawang layu.
- Masukkan bahan-bahan yang telah ditumis ini ke dalam periuk yang berisi beras yang telah dicuci tadi.
- Tambah garam dan gaul rata.
- Masak dalam rice cooker seperti biasa.

Cara- cara Memasak Sambal:
- Kisar semua bahan-bahan A.
- Panaskan minyak dengan api yang sederhana dan bila minyak sudah panas, masukkan bahan-bahan A yang telah dikisar.
- Biarkan ia masak hingga naik bau.
- Kemudian masukkan cili kisar dan kacau rata. Gunakan api yang perlahan.
- Tumis sambal sehingga ia pecah minyak. Apabila sudah pecah minyak, tambah ½ cawan air dan biarkan ia masak hingga pecah minyak dan garing.
- Jangan lupa untuk sentiasa kacau sambal supaya ia tidak hangit.
- Jika hendak tahu bila sambal dah masak dan cukup garing, lihat pada minyak.
- Jika minyak sudah mula timbul, maknanya sambal dah garing.
- Apabila sambal sudah garing, masukkan gula melaka. Boleh juga tambah sedikit gula perang jika suka sambal yang pedas-pedas manis. Kacau sehingga sebati.
- Boleh tambah air untuk mendapatkan kepekatan sambal yang anda inginkan.
- Kemudian masukkan air asam jawa,
- Kacau rata sehingga sambal betul-betul masak.



Nota
Sambal yang dimasak sehari sebelum lebih sedap dimakan keesokan harinya. Jika anda masak sambal dengan kuantiti yang banyak, simpan ke dalam peti ais dan bekukan.
Pastikan sambal betul-betul sejuk sebelum menyimpannya ke dalam peti ais. Sambal yang disimpan di dalam peti ais boleh tahan sehingga 1 bulan.
Tetapi jika telah dikeluarkan dari peti sejuk, hendaklah dihabiskan terus. Ini kerana semasa proses pembekuan ia tidak membunuh bakteria, tetapi hanya menghalang mikrob daripada membiak.
Jadi makanan yang dicairkan akan mempunyai beberapa bakteria yang boleh membiak dalam suhu bilik, bermakna jika makanan itu dibekukan semula, akan berlaku peningkatan bilangan bakteria pada masa ia dicairkan semula.