Ketahui Punca Air Kencing Berdarah Atau Hematuria Dan Cara Merawatnya

Kongsi artikel ini

Hematuria atau air kencing berdarah adalah istilah perubatan yang digunakan untuk menerangkan tentang darah dalam air kencing.

Terdapat dua jenis hematuria iaitu hematuria kasar, di mana darah boleh dilihat dengan mata kasar, dan menyebabkan air kencing berwarna merah, dan hematuria mikroskopik, di mana darah hanya boleh dikesan dengan menggunakan mikroskop. [1]

Hematuria boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai keadaan kesihatan seperti jangkitan saluran air kencing, batu karang, jangkitan kuman pada pundi kencing atau buah pinggang, trauma, atau isu yang lebih serius seperti penyakit buah pinggang, kanser buah pinggang atau kanser pundi kencing dan kanser prostat.  

air kencing berdarah

Dalam artikel kali ini kita akan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai punca kencing berdarah atau hematuria, bagaimana ia dikesan dan cara merawat gejala ini. 

Jenis Air Kencing Berdarah

Hematuria boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hematuria kasar dan hematuria mikroskopik. [1]

Hematuria Kasar

Darah dalam air kencing boleh dilihat dengan mata kasar, menyebabkan warna air kencing kelihatan berwarna merah jambu, merah atau coklat gelap. Hematuria kasar kadangkala juga boleh disertai dengan darah beku dalam air kencing.

Walaupun jumlah darah dalam air kencing kelihatan banyak, tidak semestinya ia adalah serius, tetapi adalah sangat penting melakukan pemeriksaan bagi mengetahui punca dan masalah di sebalik pendarahan tersebut serta rawatan yang boleh diambil. 

Pakar kesihatan biasanya akan menjalankan penilaian kesihatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar pendarahan dan menyarankan pilihan rawatan yang sesuai. 

Ujian diagnostik, seperti kajian pengimejan atau sistoskopi, untuk memeriksa saluran kencing dan ujian air kencing akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar pendarahan terjadi.

Hematuria Mikroskopik

Hematuria mikroskopik merujuk kepada kehadiran sel darah merah dalam air kencing yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia dikesan melalui pemeriksaan mikroskopik air kencing. 

Walaupun air kencing kelihatan normal, kehadiran sel darah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar memerlukan pemeriksaan lanjut.

Hematuria mikroskopik terjadi disebabkan oleh jangkitan saluran kencing, batu karang, jangkitan pundi kencing atau buah pinggang, penyakit buah pinggang, gangguan autoimun, pengambilan ubat-ubatan tertentu dan rutin senaman yang berat. 

Apabila hematuria mikroskopik dikesan, pemeriksaan lanjut diperlukan bagi menentukan punca ia terjadi. 

Ujian tambahan, seperti ujian air kencing dan pundi kencing, kajian pengimejan atau sistoskopi, boleh dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan penyakit yang menyebabkan kencing berdarah. 

Apakah Gejala Hematuria?

Hematuria kasar menjadikan air kencing anda berwarna merah jambu, merah atau coklat. 

Dalam kebanyakan kes, hematuria kasar tidak menyebabkan kesakitan atau gejala lain. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan mengalami sakit pada pundi kencing atau bahagian belakang jika terdapat darah beku dalam air kencing anda. 

Gumpalan darah sangat sakit untuk dikeluarkan semasa membuang air kecil dan ia juga boleh menyebabkan kesakitan jika bekuan tersebut menghalang aliran air kencing.

Hematuria mikroskopik pula tidak mengubah warna air kencing dan biasanya tidak mempunyai gejala.

BACA  30 Petua Dan Cara Hilangkan Batuk Secara Semulajadi Tanpa Ubat

Apakah Punca Air Kencing Berdarah?

Ada banyak sebab terjadinya hematuria. Bagi sesetengah individu, darah di dalam air kencing akan hilang dengan sendirinya. Tetapi ada individu yang memerlukan rawatan perubatan yang lebih intensif.

Antara penyebab berlakunya hematuria ialah:

Jangkitan Saluran Air Kencing (UTI) 

Jangkitan saluran air kencing (UTI) adalah jangkitan di bahagian sistem urin, juga dikenali sebagai sistem buah pinggang atau saluran kencing.

Sistem urin termasuklah buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra. Kebanyakan jangkitan melibatkan saluran kencing adalah pada bahagian pundi kencing dan uretra. [2]

Wanita lebih berisiko mendapat UTI berbanding dengan lelaki. Jika jangkitan terjadi hanya pada pundi kencing, ia boleh menyebabkan rasa ketidakselesaan dan kesakitan. UTI akan menyebabkan rasa ingin membuang air kecil tapi cuma dalam kuantiti yang sedikit dan juga kerap.

Hematuria berlaku apabila jangkitan kuman dalam air kencing masuk ke dalam uretra dan membiak dalam pundi kencing ketika UTI terjadi. 

Tetapi masalah kesihatan yang serius boleh berlaku jika UTI merebak ke buah pinggang. 

Jangkitan Buah Pinggang

Jangkitan buah pinggang atau pundi kencing merupakan jenis UTI juga. Jangkitan buah pinggang mungkin bermula di dalam tiub yang membawa air kencing dari badan (uretra) atau dalam pundi kencing.

Jangkitan boleh menjangkiti satu atau kedua-dua belah buah pinggang. Jangkitan buah pinggang juga dikenali sebagai pyelonephritis. [3]

Jangkitan buah pinggang biasanya berlaku apabila bakteria, selalunya jenis E. coli, masuk ke dalam tiub yang membawa air kencing keluar dari badan anda (uretra). Bakteria bergerak ke pundi kencing dan menyebabkan sistitis, dan kemudian naik ke buah pinggang.

Bakteria E. coli biasanya hidup dalam usus anda, di mana ia tidak berbahaya.

Jangkitan buah pinggang kadang-kadang boleh berkembang tanpa jangkitan pundi kencing. Contohnya, jika anda mempunyai masalah dengan buah pinggang, seperti batu karang, atau jika anda menghidap diabetes atau sistem imun yang lemah. [3]

Jangkitan buah pinggang memerlukan rawatan segera. Jika ia tidak dirawat dengan betul, jangkitan boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan pada buah pinggang. Bakteria juga boleh merebak ke aliran darah dan menyebabkan jangkitan berbahaya.

Rawatan jangkitan buah pinggang antaranya ialah pengambilan antibiotik yang boleh didapati dari hospital atau klinik. 

Penyakit Batu Karang

Pesakit yang mengalami batu karang dalam buah pinggang akan mengalami sakit belakang atau sisi pinggang, air kencing berdarah dan rasa loya atau muntah.

Kebanyakan batu karang mempunyai saiz seperti kacang peas, tetapi ia juga boleh menjadi sekecil butir pasir dan sebesar bola golf. Batu-batu kecil ini boleh melalui saluran kencing tetapi yang bersaiz besar memerlukan pembedahan untuk membuangnya.

Batu karang yang besar boleh terperangkap dalam ureter (tiub yang mengalirkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing). Apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan pendarahan dan menghalang air kencing daripada keluar dari badan. [4]

BACA  Punca Dan Pelbagai Jenis Sakit Kepala: Ketahui Cara dan Rawatan Bagi Melegakan Sakit Kepala Anda

Bergantung kepada punca terjadinya batu karang, keadaan perubatan tertentu juga boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, gout dan osteoporosis. 

Kanser Prostat 

Kanser prostat juga menyebabkan darah dalam air kencing terjadi. Ia merupakan kelenjar kecil berbentuk walnut yang terletak di bahagian bawah pundi kencing dan di hadapan rektum. Kelenjar kecil ini mengeluarkan cecair yang bercampur dengan air mani, memastikan sperma kekal sihat untuk. [5]

Kanser prostat adalah penyakit yang sangat serius bagi kaum lelaki dan tidak harus dipandang remeh. 

Kanser prostat membiak dengan perlahan dan berada hanya pada kelenjar prostat, di mana ia tidak terlalu serius. Walau bagaimanapun, terdapat jenis kanser prostat yang lebih agresif dan boleh merebak dengan cepat.

Kanser Buah Pinggang

Kanser buah pinggang adalah kanser yang terjadi pada buah pinggang. Buah pinggang adalah dua organ yang berbentuk seperti kacang. Ia terletak di belakang organ perut, dengan satu buah pinggang pada setiap sisi tulang belakang.

Darah dalam air kencing boleh menjadi penunjuk atau simptom bagi kanser buah pinggang. Selain itu simptom lain termasuklah demam, hilang selera makan dan hilang berat badan. 

Mereka yang menerima rawatan dialisis dalam jangka panjang, obese, tekanan darah tinggi, merokok serta sejarah keluarga mengidap kanser buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser buah pinggang.[6]

Terdapat juga beberapa punca lain yang menyebabkan darah dalam aliran air kencing, seperti:

Penyakit/UbatKeterangan
Pengambilan ubat-ubatan tertentuBeberapa ubat seperti aspirin, heparin, dan antibiotik tertentu boleh menyebabkan hematuria.
CystitisKeadaan ini merujuk kepada keradangan pundi kencing yang disebabkan oleh penyakit boleh berjangkit dan tidak boleh berjangkit.
HaidKehadiran darah dalam air kencing terjadi semasa sedang datang haid.
EndometriosisDalam keadaan ini, serpihan lapisan dalam rahim tumbuh di tempat selain di dalam rahim.

Cara Menentukan Penyakit Yang Menyebabkan Hematuria

Doktor dan pakar kesihatan akan bertanya tentang tahap kesihatan serta ubat-ubatan yang anda ambil. Mereka juga akan melakukan rawatan fizikal secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar darah dalam air kencing anda. 

Contoh ujian dan prosedur yang mungkin akan dilakukan untuk mengetahui punca hematuria adalah seperti menganalisa sampel air kencing dan juga ujian pengimejan, seperti computerized tomography (CT) scan atau magnetic resonance imaging (MRI), dan cystoscopy.

Rawatan Kencing Berdarah

Rawatan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah hematuria bergantung kepada penyebabnya. Contohnya, jika hematuria disebabkan oleh jangkitan pada saluran kencing, doktor akan memberikan ubat antibiotik.

Tetapi jika tidak ada masalah kesihatan yang serius yang dijumpai, mungkin tiada rawatan khusus yang diperlukan. 

Walau bagaimanapun doktor mungkin masih akan mencadangkan agar anda melakukan rawatan susulan untuk memastikan masalah hematuria anda sudah sembuh sepenuhnya. 

Mendapatkan rawatan dan rujukan dengan pakar kesihatan adalah sangat penting kerana pendarahan dalam air kencing juga boleh menjadi amaran awal mengenai penyakit yang mungkin anda alami. 

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

nineteen + 4 =