6 Khasiat Tomato Yang Mengagumkan

Kongsi artikel ini

Kebaikan buah tomato sering dikaitkan dengan kandungan antioksidannya yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser dan diabetes.

Ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai salad atau digunakan dalam masakan dan juga minuman. Jarang sekali kita dengar orang yang tak tahu apa itu buah tomato. 

Secara saintifik buah tomato juga dikenali sebagai Solanum lycopersicum, dan ia berasal dari Amerika Tengah Dan Amerika Selatan. Tomato ditanam dalam pelbagai jenis di pelbagai kawasan di seluruh dunia dengan suhu iklim yang sederhana.

Beberapa varian atau jenis tomato yang paling popular atau sering kita dengar dan boleh dapati di pasaraya adalah jenis termasuk tomato plum, tomato ceri, beef tomato dan tomato hijau. 

Buah tomato kaya dengan nutrisi, kandungan vitamin dan mineral serta antioksidan yang boleh membantu meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Ia juga merupakan sumber penghidratan yang baik dan ia mampu memelihara kulit dan memastikan sistem pencernaan yang sihat. 

Tahu tak kalau di France buah tomato disebut ‘Pomme d’amour’ (atau epal cinta) kerana ia mempunyai sifat afrodisiak. Banyak betul manfaat buat tomato ni ya? Oui!

Dalam artikel kali ini kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat tomato dan bagaimana ia mampu melindungi tubuh badan kita dan meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan. 

Apa itu Lycopene?

Lycopene adalah pigmen semulajadi dan karotenoid yang terdapat dalam buah tomato yang sudah masak. Ia terdapat dalam kulit tomato yang berwarna merah terang. [1]

Buah tomato yang telah diproses, seperti sos tomato atau pes, selalunya mempunyai kepekatan likopena yang lebih tinggi berbanding dengan tomato segar berdasarkan jumlah gram nya. 

Walau bagaimanapun, penyerapan likopena adalah berbeza-beza pada setiap individu. Walaupun produk tomato yang diproses mungkin mempunyai kandungan likopena yang lebih tinggi, mengambil tomato segar adalah paling baik. 

Ini kerana nutrien dan sebatian bioaktif dalam tomato segar, seperti likopena, berfungsi dengan sinergi dalam memberikan manfaat kesihatan. Selain itu, tomato segar menawarkan pelbagai vitamin, mineral dan serat makanan yang mungkin tidak tersedia atau berkurang ketika diproses. [2]

Kandungan Nutrisi Dan Sebatian Tumbuhan Lain Yang Terdapat Dalam Tomato

khasiat tomato

Lycopene: Lycopene mempunyai sifat antioksidan yang sangat baik dan ia tergolong dalam keluarga karotenoid. Ia juga yang memberikan warna merah pada buah tomato. Ia membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti serangan jantung dan kanser tertentu. [1]

Beta karotena: Sumber asal kepada vitamin A, ia menyumbang kepada mata yang sihat, fungsi sistem imun dan kesihatan kulit. Beta karotena ditukar kepada vitamin A mengikut keperluan badan. Antara makanan yang mengandungi beta karotena adalah lobak merah, bayam, salad, tomato, ubi keledek, brokoli, cantaloupe, dan labu. Makin pekat dan terang warna buah atau sayur tersebut lebih tinggi kandungan beta-karotena nya. 

Naringenin: Flavonoid dengan sifat antioksidan dan anti-radang. Ia telah dikaji dan didapati bermanfaat dalam membantu mengurangkan keradangan, melindungi daripada tekanan oksidatif, dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular. [3]

Asid klorogenik: Sebatian fenolik dengan sifat antioksidan. Ia boleh membantu mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan keradangan dan melindungi daripada tekanan oksidatif. Ia terdapat pada kulit tomato, dan terbukti mampu mengurangkan keradangan dan melindungi daripada pelbagai penyakit.

Sebatian-sebatian ini menyumbang kepada banyak kebaikan untuk kesihatan kita jadi sangat digalakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian kita.

Khasiat Tomato Yang Baik Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

Selain memberikan rasa yang lazat dalam hidangan, berikut adalah beberapa manfaat tomato:

Tomato Kaya Dengan Antioksidan

Tomato kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan, seperti likopena yang dapat membantu melindungi sel-sel dalam tubuh badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. 

Ia juga dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser tertentu dan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia.

Selain itu, tomato juga mengandungi nutrien penting, seperti vitamin K, vitamin B, folat, kalium dan vitamin C. Nutrien ini terlibat dalam tahap kecairan darah yang betul, kesihatan tulang, fungsi imun, tekanan darah, metabolisme protein, pencernaan dan kesihatan kulit. 

BACA  Ketahui 12 Khasiat Bunga Telang Serta Cara Penggunaannya Untuk Manfaat Kesihatan Yang Optimum

Satu biji tomato yang bersaiz sederhana boleh memberikan kira-kira 28% tenaga untuk diet harian. 

Rumusan

Tomato sememangnya kaya dengan antioksidan, seperti likopena dan beta karotena, yang dapat melindungi tubuh badan daripada kerosakan akibat radikal bebas yang menyebabkan penyakit kronik terjadi.

Tomato Baik Untuk Kesihatan Jantung

Buah tomato baik dalam meningkatkan kesihatan jantung kerana kandungan vitamin A dan C, kalium dan serat nya yang tinggi.

Kandungan likopena dalam tomato dan asid klorogenik juga memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan keradangan serta menggalakkan tahap tekanan darah yang baik. 

Nutrien-nutrien ini membantu mengekalkan tahap kolesterol yang sihat, mengurangkan tekanan darah, dan mengurangkan risiko strok dan serangan jantung.

Satu kajian dan ujian klinikal yang pernah dijalankan pada lelaki pertengahan umur mendapati pengambilan likopena dalam diet boleh membantu menurunkan kolesterol LDL (buruk). [4]

Kajian klinikal yang pernah dijalankan ke atas produk tomato juga menunjukkan manfaat anti-radang dan penanda tekanan oksidatif. [5] [6]

Rumusan

Tomato bermanfaat untuk kesihatan jantung kerana kandungan antioksidannya yang tinggi seperti likopena dan asid klorogenik, yang membantu mengurangkan keradangan, menurunkan tekanan darah dan mencegah tekanan oksidatif supaya sistem kardiovaskular lebih sihat dan terpelihara. 

Tomato Boleh Membantu Mencegah Kanser

Lycopene dalam tomato telah dikaji secara meluas bagi memastikan manfaat antikanser nya. Penyelidikan mendapati dengan pengambilan tomato secara kerap boleh membantu mengurangkan risiko kanser tertentu, terutamanya kanser prostat, paru-paru dan perut. [7] [8]

Kajian yang dijalankan ke atas wanita mendapati bahawa karotenoid, yang terdapat dalam dalam tomato, boleh memberikan perlindungan terhadap kanser payudara. 

Karotenoid mempunyai sifat antioksidan yang dapat membantu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan tekanan oksidatif, yang dipercayai bertanggung jawab dalam perkembangan kanser. [8] [9]

Rumusan

Lycopene dalam tomato mempunyai sifat antikanser kerana kandungan karotenoid nya.  Ia meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan tekanan oksidatif, yang berpotensi melindungi daripada kanser payudara.

Tomato Baik Untuk Kulit Yang Lebih Cantik Dan Sihat

Kandungan vitamin A dan C yang tinggi dalam tomato boleh meningkatkan kesihatan kulit.  

Vitamin C membantu menghasilkan kolagen, yang membantu mengekalkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedutan. Likopena pula boleh membantu melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran matahari dan mengurangkan kesan penuaan. [9] [10]

Dalam satu kajian lain yang dijalankan mendapati, mereka yang makan (40 gram) pes tomato (16 mg likopena) bersama minyak zaitun setiap hari selama 10 minggu mengalami kurang selaran matahari sehingga 40%. [11]

Penggunaan mask tomato secara kerap juga membantu menghilangkan jerawat dengan mengimbangi pengeluaran minyak semulajadi kulit, membuang sel kulit mati, menghilangkan bintik hitam, mencerahkan bintik hitam serta mencerahkan kulit.

Rumusan

Vitamin C dan A dalam tomato membantu melindungi kulit daripada kerosakan matahari dan penuaan.

Tomato Baik Untuk Kesihatan Mata

Tomato mengandungi lutein, zeaxanthin, dan vitamin C, yang semuanya penting untuk penglihatan. Nutrien ini seringkali dikaitkan dengan pengurangan risiko degenerasi makula dan katarak yang berkaitan dengan usia.

Likopena, lutein, dan beta-karotena juga merupakan antioksidan yang baik untuk melindungi mata daripada kerosakan akibat cahaya dan degenerasi makula berkaitan usia (AMD). [12]

Rumusan

Tomato mengandungi likopena, lutein, dan beta-karotena, yang merupakan antioksidan yang dapat melindungi mata daripada katarak dan degenerasi makula berkaitan usia. 

Tomato Baik Dalam Pengurusan Berat Badan

Tahukah anda, tomato boleh melawan halangan leptin iaitu hormon yang memberi isyarat kepada otak bahawa anda sudah kenyang. Dengan cara ini anda tidak akan makan secara berlebihan. 

Selain itu, tomato mengandungi kandungan kalori yang rendah. Tomato bersaiz sederhana mempunyai 22 kalori, dan tomato bersaiz besar pula mempunyai 33 kalori. 

Tomato juga dianggap sebagai pilihan makanan terbaik untuk menahan selera makan kerana ia mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi.

BACA  Kekal Bertenaga Sepanjang Hari Dengan Kurma: Ketahui 12 Khasiat Kurma Yang Baik Untuk Kesihatan Badan Yang Optimum!

Kandungan serat boleh membantu meningkatkan sistem penghadaman, rasa kenyang, dan menggalakkan kepada sistem pencernaan yang lebih sihat.

Rumusan

Tomato boleh membantu mengawal selera makan dengan melawan halangan leptin, dan memberi isyarat kenyang kepada otak. Dengan kandungan kalori yang rendah serta kandungan air dan serat yang tinggi, tomato merupakan pilihan terbaik untuk diet yang sihat.

Risiko Pengambilan Tomato

Tomato sebenarnya selamat untuk dinikmati oleh semua golongan. Hampir dalam semua masakan ada buah tomato. Tapi ada sesetengah individu yang mungkin akan mengalami kesan sampingan tertentu apabila memakan tomato. 

Alahan: Mungkin ada individu yang alah dengan tomato, mengakibatkan gejala seperti gatal-gatal, rasa pedih pada lidah atau sakit perut. Kalau ada gejala-gejala ini, henti makan tomato serta-merta dan rawat alahan tersebut. 

Kandungan berasid: Tomato agak berasid, jadi boleh menyebabkab pedih ulu hati pada individu yang mempunyai perut yang sensitif.

Kesimpulan

Kesimpulannya, buah tomato sangat berkhasiat dan serba boleh. Likopena yang terdapat dalam tomato mempunyai sifat antioksidan yang baik dan sering dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kronik.

Ia juga mengandungi sebatian bermanfaat lain seperti beta karotena, naringenin, dan juga asid klorogenik. 

Kandungan antioksidan serta sebatian lainnya mampu membantu dalam mengurangkan berat badan, memelihara mata, melindungi kesihatan jantung, mencegah kanser dan memastikan kulit kekal sihat dan cantik. 

Tomato adalah superfood yang padat dengan khasiat. Jadi lepas ni kalau ke pasar, jangan lupa beli buah tomato tau. 

Soalan Lazim Mengenai Tomato

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

17 − six =