Ayam masak tomato merupakan hidangan klasik masyarakat Malaysia yang sangat lazat dan menyelerakan. Dalam resepi ayam masak tomato yang kami kongsikan ini, kami gunakan bahan-bahan yang sangat mudah didapati dan sudah pasti sudah ada tersedia di dapur anda.
Ayam tomato sering dihidangkan bersama nasi tomato, nasi briyani, nasi minyak atau nasi lemak tanpa santan. Nak makan bersama nasi putih pun sedap juga.
Rahsia ayam tomato ialah mengimbangkan rasa pedas dari cili dan manis dari tomato. Kalau pedas tanpa rasa manis, nanti ia jadi ayam sambal pula. Jika terlalu manis tanpa pedas sedikit pun tak sedap juga kan?
Petua Menyediakan Resepi Ayam Masak Tomato Yang Sedap Dan Tahan Lama

Kalau kita pergi kenduri lauk ayam masak tomato ni antara menu yang sangat biasa kita jamah. Tapi nak sediakan sendiri bukanlah susah nak buat. Cuma kena rajin masuk dapur.
Antara petua supaya sambal sedap, cantik dan tahan lama ialah memastikan bahan-bahan kisar serta cili ditumis sehingga pecah minyak. Kalau tumis sekejap dan tak pecah minyak nanti kuat rasa cili dan sakit perut bila makan.
Selain itu, pastikan anda menggunakan bahan-bahan segar supaya lauk ini tahan lama.
Ok jom kita cuba resepi masakan ayam tomato ni. Senang je nak masak. Kalau masak sendiri boleh lah makan lebih sikit, betul tak?
Kalau dihidangkan semasa jamuan hari raya mesti jadi menu paling favourite sebab menu ni sangat versatil kerana sedap dimakan dengan hampir semua juadah.
Bahan-bahan
- 1/2 ekor ayam, dipotong 6 bahagian
- 1/2 biji bawang besar, hiris nipis
- 1/4 cawan senduk minyak kelapa/ zaitun
- 1 batang serai, dititik
- 1/4 cawan sos tomato (dalam anggaran 4 sudu besar)
- 2 senduk cili kisar
- 2 cm halia (dikisar)
- 5 ulas bawang putih (dikisar)
- 4 ulas bawang merah (dikisar)
- 1/2 cawan air
- Gula dan garam secukup rasa
Cara-cara
- Goreng ayam separuh masak dan ketepikan.
- Keluarkan lebihan minyak dan guna kuali yang sama untuk menumis bawang besar yang dihiris dan serai hingga naik bau.
- Tumis bahan kisar dan cili hingga pecah minyak.
- Bila sudah pecah minyak tambah 1/2 cawan air jika suka sambal yang ada kuah. Biar sambal masak lagi sehingga pecah minyak sekali lagi.
- Guna api sederhana besar dan sentiasa kacau supaya sambal tidak hangus dan melekat pada kuali.
- Kemudian apabila bahan-bahan tumisan dah pecah minyak masukkan sos tomato. Gaul rata.
- Bila nampak sambal dah cantik dan pekat boleh masukkan ayam yang telah digoreng.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa rasa.
- Biarkan seketika baru tutup api.
Nota
Ayam masak merah ni juga boleh ditambah bahan-bahan lain seperti kacang pis, ubi kentang atau buah tomato.
Jika tidak mahu menggunakan sos tomato boleh juga gantikan dengan pes tomato.
Untuk versi yang lebih sihat, boleh goreng ayam menggunakan air-fryer jadi tak perlu goreng ayam dalam minyak yang banyak.