Resepi nasi briyani yang kami kongsikan ini sangat mudah untuk disediakan. Ia mempunyai rasa yang sangat sedap hasil daripada gabungan rempah ratus yang digunakan. Sedap dinikmati bersama ayam masak merah, acar timun nenas atau kari kambing tanpa santan.

Terdapat banyak variasi resepi nasi briyani seperti nasi beriani gam, nasi beriani ayam atau daging, nasi beriani pakistan dan sebagainya, tetapi kunci untuk membuat biryani yang lazat terletak pada pemilihan bahan dan teknik memasak yang digunakan.
Untuk menjadikan hidangan ini benar-benar lazat, anda mestilah menggunakan beras basmati atau beras putih yang berkualiti. Ia perlu dimasak dengan betul untuk memastikan keseimbangan rempah-ratus dan herba yang sempurna supaya ia mendapat rasa lazat yang maksimum.
Nasi biryani klasik biasanya dimasak menggunakan beras panjang yang berkualiti atau beras wangi seperti beras basmati atau Jasmine.
Sedikit Latar Belakang Mengenai Nasi Briyani

Kalau kita pergi kenduri kahwin pasti akan ada hidangan nasi beriani. Selalunya dihidangkan bersama lauk-pauk seperti daging masak hitam, ayam tomato, acar timun nenas dan lain-lain lagi. Tetapi nasi briyani ni asal dari mana?
Nasi Biryani adalah hidangan lazat yang telah dinikmati sejak berabad lalu. Ia berasal dari India, tetapi banyak negara dengan budaya yang berbeza yang telah mengolah resepi nasi beriani mengikut bahan-bahan dan citarasa masing-masing.
Nasi biryani mempunyai sejarah yang panjang dan menarik yang boleh dikesan sejak zaman Mughal India pada abad ke-16 lagi.
Ia dipercayai telah dikenalkan oleh orang Mughals yang menggabungkan gaya masakan masyarakat Parsi dengan bahan-bahan dari negara India seperti jintan manis, kunyit, bunga cengkih, buah pelaga dan kayu manis. Gabungan ini menghasilkan hidangan aromatik yang popular di kalangan diraja.
Kini terdapat pelbagai variasi dicipta di seluruh dunia menggunakan bahan-bahan seperti saffron atau yogurt bersama-sama dengan rempah seperti biji ketumbar dan garam masala.
Petua Menyediakan Nasi Briyani Yang Sedap
Nak masak nasi briyani ni memang nampak seperti susah tapi sebenarnya senang je nak buat. Bila dah cuba masak sendiri sekali pasti dah tak pergi mamak kalau nak makan nasi briyani.

- Pilih beras basmati atau beras panjang yang berkualiti untuk membuat biryani. Gunakan nisbah air dan beras yang betul semasa memasak nasi basmathi membantu mendapatkan nasi yang gebu dan tidak berkepul. Dan jangan masak nasi terlalu lama nanti nasi lembik.
- Menambah bawang goreng ke dalam nasi sebelum mula memasak. Ini bukan sahaja memberikan aroma yang wangi tetapi juga memberi rasa yang lebih sedap.
- Gunakan minyak sapi atau mentega, susu, susu cair , stok daging, air mawar untuk memberi kelembapan pada nasi tanpa rasa berminyak atau lembik.
- Beri perhatian kepada masa memasak. Biryani yang dimasak terlalu lama tidak akan kelihatan cantik dan rasanya juga kurang sedap. Masak terlalu lama boleh membuatkan bahagian bawah nasi berkerak atau masak terlalu sekejap nasi akan mentah.
- Tambah saffron. Menambah saffron ke dalam briyani anda adalah salah satu cara untuk mendapatkan aroma dan rasa lazat yang sempurna. Saffron memberikan warna nasi yang cantik. Selain itu saffron mempunyai banyak khasiat antaranya ia kaya dengan antioksidan.
Gabungan bahan-bahan ini menghasilkan hidangan yang harum dan lazat yang sukar untuk ditolak. Untuk peminat nasi beriani wajib cuba resepi ini kerana pasti jadi dan yang penting sangat mudah untuk disediakan.
Sama ada anda ingin menghidangkannya sebagai jamuan hari raya atau menikmatinya sebagai makan tengah hari, resepi ni pasti menepati citarasa dan selera anda sekeluarga!
Bahan-bahan
- 3 cawan beras basmathi (ikut arahan penyediaan beras pada pek)
- 2 sudu besar rempah Briyani
- 2 biji buah pelaga
- 2 biji Bunga cengkih
- 1 batang kayu manis
- 3 sudu besar minyak sapi
- 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
- 3 ulas bawang putih (dihiris nipis)
- 1 inci halia (hiris nipis)
- 2 helai daun pandan (ikat simpul)
- Sedikit garam
- Air secukupnya
- Kismis
- Kacang badam
- Telur rebus 3 biji (opsyenal)
- 2 tangkai cili hijau
- Daun ketumbar dan bawang goreng sebagai hiasan (opsyenal)
Cara-cara
- Bersihkan beras, toskan airnya dan ketepikan.
- Panaskan minyak sapi, tumis bawang besar, bawang putih, dan halia hingga layu.
- Kemudian masukkan rempah beriani, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis dan daun pandan. Tumis semua bahan-bahan hingga naik bau dan pecah minyak.
- Kemudian masukkan beras yang telah dicuci bersih.
- Kacau semua bahan-bahan dan kemudian pindahkan ke dalam periuk nasi.
- Masukkan air yang mencukupi bersama garam, telur rebus, kacang badam, kismis dan cili hijau ke dalam bahan-bahan rempah dan beras tadi.
- Masak seperti biasa.
- Bila nasi betul-betul masak tutup api dan biarkan 10 minit. Kemudian gaul dengan garpu perlahan-lahan supaya nasi gebu.
- Tabur daun ketumbar dan bawang goreng ke atas nasi yang telah dimasak.
Nota
Jika ingin tambah ayam atau daging pastikan ia diperap terlebih dahulu. Untuk nasi briyani ayam, boleh perap ayam dengan bahan-bahan seperti yogurt, garam masala dan serbuk cili. Biarkan 1-2 jam atau semalaman. Kemudian masukkan ayam selepas menumis rempah rempah dan baru tambah beras dan air. Masak seperti biasa.
Jika suka boleh gunakan saffron, Setelah semua bahan ditumis, masukkan beras yang telah dibersihkan bersama 10-12 helai daun saffron dan masak seperti biasa. Selain rempah ratus yang disenaraikan di atas, boleh juga tambah bunga lawang atau rempah 4 sekawan jika suka.
Jika anda menggunakan periuk tekanan buka penutup apabila nasi sudah masak dan buang air pada tudung periuk dan kembangkan nasi dengan garpu dengan lembut supaya nasi tidak pecah.
Boleh tambah serbuk kunyit sebagai ganti saffron untuk mendapatkan warna kuning kemerahan. Anda juga boleh menambah air mawar untuk lebih aroma.
Kuantiti air berbeza mengikut jenis dan kuantiti beras. Untuk 1 cawan beras basmati guna 1 ½ hingga 2 cawan air dalam periuk tekanan dan 1.75 cawan hingga 2 cawan untuk memasak dalam periuk biasa.
Terima kasih kepada yg empunya resepi. Insyaa Allah, saya akan cuba masak dan memrberi maklum balas akan hasilnya.