Resepi cucur sayur ini memang sangat mudah disediakan. Cucur sayur yang sarat dengan sayur-sayuran seperti lobak merah, bawang, jagung manis dan daun bawang ini sesuai dijadikan hidangan minum petang seisi keluarga. Cucur sayur lebih sedap dicicah dengan sos cili, kuah kacang atau kuah kari.

Menikmati cucur sayur merupakan salah satu cara yang sedap dan mudah untuk anak-anak kecil menikmati lebih banyak sayur-sayuran dalam diet mereka.
Bila nak buat cucur sayur di rumah, adalah sangat penting untuk menggunakan bahan-bahan segar untuk hasil yang lebih baik. Baru rasanya lebih sedap.
Sayur Yang Sesuai Ditambah Ke Dalam Cucur Sayur?
Terdapat banyak jenis sayur-sayuran yang boleh ditambah ke dalam cucur sayur untuk memberikan rasa, warna dan tekstur yang lebih menarik. Lobak merah, daun bawang, kucai, taugeh dan bawang adalah beberapa jenis sayuran yang sering ditambah ke dalam cucur.




- Lobak merah – Memberikan rasa rangup dan manis. Ia boleh diparut atau dipotong halus dan memanjang (julienne) supaya senang digaul dalam adunan cucur.
- Daun bawang – Pula memberikan rasa manis seperti bawang dengan rasa lembut dan warna hijau yang menarik.
- Taugeh – Mempunyai rasa yang sedikit manis dan mengandungi lebih banyak nutrien dan menjadikannya sesuai untuk diet yang sihat.
- Zucchini – Jika anda ingin memberi hidangan cucur sayur anda satu kelainan tambahan anda boleh cuba tambahkan zucchini.
- Jagung manis – Bukan sahaja sedap apabila ditambah ke dalam adunan cucur tetapi ia juga memberikan rasa manis rangup yang menarik. Jagung manis mempunyai kandungan vitamin C, serat pemakanan, zat besi dan antioksidan yang sangat baik.
- Cili merah – Menambah cili merah pada cucur sayur boleh memberikan rasa pedas-pedas manja. Sebab cili akan dihiris nipis jadi tak rasa pedas sangat. Selain itu cili merah juga menambah daya tarikan visual pada sebarang hidangan.
- Bawang – Merupakan bahan wajib kalau buat cucur. Tak kisah samada cucur sayur, cucur udang atau cucur ikan bilis, pasti akan letak bawang. Rasa manis bawang tu yang menyedapkan lagi rasa cucur sayur. Gunakan bawang besar atau bawang merah kerana ia lebih lembut berbanding bawang Holland.
- Kucai – Daun kucai lembut dan rasa agak sama dengan bawang putih dan antara bahan yang sangat biasa ditambah ke dalam cucur. Kalau nak buat cucur kucai mesti kena ada daun kucai ya.
Nak buat cucur sayur ni senang je. Ok jom kita buat cucur sayur untuk minum petang nanti. Selamat mencuba!
Bahan-bahan
- 2 cawan minyak sayuran
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung beras
- 3 batang daun bawang – dipotong halus
- 1 biji bawang besar – dipotong halus
- 1 batang lobak – dihiris halus (julienne)
- 2 tangkai cili merah – dihiris nipis
- Garam secukup rasa
- baking soda (dalam secubit sahaja)
- 2 cawan air sejuk (air dari peti ais)
Cara-cara
- Basuh bersih semua sayur-sayuran.
- Setelah dibersihkan dan dipotong, masukkan semua bahan-bahan kecuali air sejuk ke dalam mangkuk adunan yang besar.
- Gaul rata semua bahan-bahan.
- Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Sesuaikan tahap kepekatan atau kecairan adunan. Pastikan adunan tidak terlalu keras atau terlalu cair.
- Panaskan minyak. Minyak mesti kena betul-betul panas ya, kalau tak nanti cucur berminyak.
- Apabila adunan sudah sebati dan minyak sudah panas masukkan adunan cucur tadi ke dalam kuali dalam anggaran satu sudu kecil setiap satu.
- Goreng cucur hingga warna keperangan.
- Angkat dan toskan cucur yang dah masak dan letak di atas kertas tisu. Goreng sehingga habis semua adunan tadi.
- Sedia dihidangkan bersama sos cili biasa atau lebih sedap lagi dengan sos cili Thai.
Nota
Bahan tambahan lain yang boleh ditambah ke dalam adunan cucur ialah ikan bilis, isi udang, kimchi dan daun sup. Kalau suka tambah protein seperti isi ayam pun boleh juga tapi nanti namanya bukan cucur sayur.
Tidak perlu kerap terbalikkan cucur, nanti cucur berminyak. Masak cucur satu bahagian dan terbalikkan bila bahagian sebelah lagi dah keperangan.
Jangan overcrowd kuali bila nak goreng cucur ya. Kuali yang penuh akan menjadi lebih cepat sejuk dan apabila kuali jadi sejuk, makanan anda akan mudah melekat, lambat masak dan semua kelembapan dari adunan cucur menyebabkan anda mendapat cucur yang lembik dan berminyak.
Pastikan api sederhana dan jangan guna api besar ye takut nanti cucur cepat hangus tapi isi dalamnya lembik atau tidak masak sepenuhnya.
Kalau tak nak guna minyak yang banyak untuk menggoreng, boleh guna teknik shallow frying. Gunakan pan dan tuang cucur ke atas pan dan tekan seperti pancake supaya ia leper. Terbalikkan dan pastikan kedua-dua belah masak sepenuhnya. Cucur sayur yang dimasak menggunakan teknik shallow frying sama teksturnya macam Korean pancake.
.