Bahan-bahan yang disenaraikan boleh diubah-suai sesuai dengan citarasa tersendiri. Anda boleh sahaja menambah apa-apa jenis sayur-sayuran, protein atau rempah-ratus yang anda suka!

Memasak Di Rumah Lebih Sihat Dan Terjamin Kebersihannya
Terdapat banyak sebab mengapa hidangan yang dimasak di rumah lebih lazat daripada yang dibeli di kedai. Pertama, apabila anda memasak di rumah, anda boleh mengawal kualiti bahan yang digunakan.
Anda boleh memilih untuk menggunakan bahan-bahan segar dan organik yang bebas daripada bahan tambahan seperti MSG serta pengawet untuk mengurangkan rasa masin dan mengurangkan pengambilan kalori.
Kedua, anda boleh mengawal proses memasak. Apabila masak di rumah, anda tidak perlu risau sayur atau makanan laut yang terlebih masak sehingga kurang rasa segar dan manis semula jadinya.
Memasak di rumah, di dapur sendiri membolehkan anda memasak makanan kegemaran anda dan keluarga dengan tepat mengikut kesukaan anda.
Apabila anda memasak di rumah, anda boleh menambah sentuhan peribadi anda sendiri pada setiap hidangan. Ini menjadikan hidangan lebih istimewa dan unik. Bukan itu sahaja memasak di rumah lebih terjamin kebersihannya.
Melihat seisi keluarga menjamu hidangan yang dimasak membuatkan kita rasa lebih puas hati dan seronok. Lebih-lebih lagi jika makanan yang dimasak sihat, berkhasiat dan menggunakan bahan-bahan yang terjamin kebersihan dan kualitinya.
Sentiasa cuba memasukkan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan segar dalam makanan anda, serta protein tanpa lemak dan bijirin penuh. Biasakan anak-anak kecil dengan makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan dari rumah.
Memasak di rumah menggalakkan anda sentiasa mencari resepi baru untuk dicuba, dan bereksperimen dengan kombinasi rasa yang berbeza.
Mungkin sekali dua memasak rasanya tidak seperti yang kita mahukan, tapi dengan praktis dan kesungguhan dalam menyediakan masakan, lama-lama kita akan biasa dan sudah mahir dan tahu dalam hal-hal memasak – macam mak-mak kita!
Hidangan nasi goreng ini sarat dengan kandungan serat yang sihat, protein, lemak baik, dan karbohidrat yang baik, serta kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan.

Alternatif Sihat Bahan-Bahan Nasi Goreng Sihat
Baiklah, untuk resepi nasi goreng kali ini, kami kongsikan resepi nasi goreng sihat yang bukan sahaja mudah, ringkas tetapi sangat sedap. Kalau makan panas-panas sepinggan sahaja pasti memang tidak cukup.
Makan nasi goreng di restoran biasanya lebih masin kerana kebanyakannya menggunakan banyak minyak, sos, dan garam serta perasa tambahan menjadikan ia kurang sihat dan berminyak.
Walaupun rasanya enak, ia kurang sihat dan tidak elok untuk nutrisi badan dan melambatkan kita untuk mendapatkan berat badan ideal.
Versi resipi nasi goreng sihat yang kami kongsikan tidak memerlukan banyak minyak dan perasa tambahan, tetapi ia mampu menghasilkan rasa nasi goreng yang sedap seperti di kedai.
Nasi
Anda boleh gunakan nasi perang atau basmati yang telah dimasak sehari sebelum anda ingin memasak nasi goreng. Nasi yang telah dibiarkan semalaman memberikan tekstur dan rasa nasi goreng yang lebih berderai dan mudah dimasak.
Nak gunakan nasi putih juga boleh. Ikut selera dan keperluan diet masing-masing ya.
Selain nasi terdapat banyak alternatif lain untuk nasi yang mempunyai tekstur seperti nasi antaranya ialah quinoa, lentil, barli dan cauliflower rice. Jika anda ingin jaga badan atau kurangkan makan nasi putih, maka bolehlah pilih alternatif nasi ini ya.
Hidangan nasi goreng ini sarat dengan kandungan serat yang sihat, protein, lemak baik, dan karbohidrat yang baik, serta kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan.
Kicap
Untuk memastikan kandungan garam terkawal, gunakan kicap rendah natrium dalam nasi goreng sihat anda.
Protein
Antara protein sihat lain yang boleh anda tambah dalam nasi goreng ini ialah isi dada ayam, udang, seafood, tofu dan lain-lain pilihan protein yang anda gemari.
Tambah Cili Api Untuk Rasa Pedas
Jika anda suka makan pedas-pedas, boleh tambah cili padi. Boleh juga tambah segenggam ikan bilis yang telah digoreng ke dalam nasi goreng ni.
Bahan-bahan
- 3 cawan nasi basmati yang telah dimasak
- 5-6 batang daun bawang, dipotong halus (kira-kira ½ cawan)
- 2 sudu besar minyak sayuran (minyak zaitun, minyak kelapa dara)
- 1 sudu besar minyak bijan
- 1/2 biji bawang kecil, dihiris
- 4 ulas bawang putih, dihiris
- 1 cawan cendawan Shiitake, dihiris nipis
- 1 lada benggala hijau, dipotong dadu (atau apa-apa pilihan sayuran yang anda suka seperti brokoli, edamame, kacang peas atau tomato)
- 1 batang lobak merah dipotong dadu
- 2 biji telur
- garam himalayan
- serbuk lada hitam
- 1 sudu besar kicap sihat dan organik
Cara-cara
- Sediakan bahan-bahan seperti bawang, bawang putih, cendawan serta sayur-sayuran dan ketepikan.
- Leraikan nasi dan campurkan nasi dengan sedikit garam terlebih dahulu dan ketepikan.
- Panaskan kuali dengan api sederhana, dan tuang minyak.
- Pukul 2 biji telur dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuali. Goreng telur seketika sehingga masak dan keluarkan.
- Dalam kuali yang sama, masukkan cendawan dan masak sehingga lembut, kira-kira 2-3 minit.
- Kemudian masukkan lada benggala dan lobak merah dan masak selama lebih kurang 2 minit lagi, kacau sekali-sekala.
- Apabila cendawan, lobak merah dan lada benggala kelihatan masak dan warna keperangan masukkan bawang putih dan merah serta daun bawang. Masak sehingga naik bau.
- Apabila sudah naik bau, masukkan nasi putih / basmathi / perang. Gaul rata kemudian masukkan semula telur yang telah digoreng ke dalam kuali.
- Tuang kicap dan minyak bijan. Perasakan dengan garam dan lada hitam. Gaul rata.
- Kuat kan api dan masak lagi sehingga nasi goreng masak dan sebati dengan semua bahan-bahan. Jangan biarkan api kuat dengan lama untuk mengelakkan nasi goreng hangus.
- Hidang bersama bawang goreng dan kepingan timun. Nasi goreng ini sedap dimakan ketika masih panas.
Nota
Siapa kata bila nak kuruskan badan atau risau berat badan berlebihan tak boleh makan sedap! Yang penting kesederhanaan dan portion yang sesuai.
Jika anda ingin mengurangkan garam atau tidak mahu menggunakan kicap, anda boleh menggunakan pengganti garam. Terdapat banyak pilihan pengganti garam yang sesuai dalam masakan nasi goreng ini antaranya ialah serbuk bawang putih dan serbuk cili. Baca artikel ini untuk ketahui pengganti garam dalam masakan.