Bukan Hanya Sekadar Tumbuhan Herba – Kajian Mendapati Khasiat Halia Hitam Banyak Manfaat Kesihatan

Kongsi artikel ini

Halia merupakan sejenis tumbuhan akar yang sangat dikenali kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan dalam masakan mahupun perubatan.

Walaupun kita sering melihat halia yang berwarna kuning, jangan tak tahu halia hitam ini sangat digemari oleh ramai orang terutama bagi mereka yang tahu mengenai kebaikannya. 

Dalam artikel ini kita akan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai khasiat halia hitam dan bagaimana ia dapat membantu kita daripada serangan penyakit dan meningkatkan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan. 

Apa Itu Tumbuhan Herba Halia Hitam?

khasiat halia hitam

Halia hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, merupakan tumbuhan herba saka yang berasal dari  kebanyakkan negara di Asia Tenggara. Ia juga telah digunakan sejak dulu lagi sebagai ubatan dalam rawatan tradisional.

Kajian telah mendapati pengambilan ekstrak halia hitam boleh membantu meningkatkan kesihatan badan, termasuklah membantu menurunkan tahap kolesterol, mengurangkan keradangan, dan memperbaiki masalah pencernaan.

Ia juga boleh mengganti semula tahap tenaga dan membantu meningkatkan sistem imuniti badan. 

Salah satu sebatian aktif utama dalam halia hitam ialah 5,7-dimethoxyflavone, yang telah terbukti mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang.

Kompaun ini telah dikaitkan dengan pelbagai potensi manfaat kesihatan, termasuklah membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser.

Selain itu, halia hitam mengandungi sebatian lain yang boleh membantu meningkatkan fungsi otak dan melindungi daripada penurunan kognitif yang berkaitan dengan usia.

Jangan keliru halia hitam dan kunyit hitam kerana ia adalah dua jenis tumbuhan herba yang berbeza dengan manfaat dan khasiat yang berlainan walaupun ia kelihatan hampir sama.

Ketahanan Fizikal yang Lebih Baik dengan Halia Hitam

Ekstrak halia hitam telah terbukti dapat membantu meningkatkan daya tahan fizikal dengan meningkatkan metabolisme tenaga dan daya tahan otot. Ia kaya dengan polymethoxyflavones (PMFs), yang didapati dapat meningkatkan daya tahan dan metabolisme tenaga dalam model haiwan. 

PMF didapati dapat meningkatkan pengeluaran Adenosine triphosphate (ATP), iaitu sumber tenaga utama untuk sel otot, yang boleh meningkatkan daya tahan badan ketika bersenam.

Selain sifatnya yang dapat meningkatkan tenaga, ekstrak halia hitam juga mengandungi flavonoid yang mempunyai pelbagai bioaktiviti, termasuk mengurangkan keradangan dan meningkatkan prestasi kardiovaskular.

Bagi mereka yang berumur lebih dari 60 tahun, ekstrak halia hitam telah dikatakan baik untuk meningkatkan fungsi dan prestasi kardiovaskular, menjadikannya suplemen yang bagus bagi individu yang ingin mengekalkan ketahanan fizikal mereka seiring dengan usia yang kian meningkat. 

Penyelidikan tentang kesan ekstrak halia hitam terhadap ketahanan fizikal juga sangat memberangsangkan.

Satu kajian mendapati ekstrak halia hitam mempunyai kesan terhadap prestasi kecergasan fizikal dan daya tahan otot pada tikus. Tikus jantan diberi ekstrak selama empat minggu dan kemudian menjalani pelbagai ujian fizikal.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa ekstrak halia hitam meningkatkan masa berenang, motilitas selepas berenang, dan kekuatan cengkaman.

Kajian ini mencadangkan bahawa ekstrak halia hitam mungkin merupakan suplemen yang bagus untuk atlet yang ingin meningkatkan prestasi fizikal dan daya tahan badan mereka. [1]

Rumusan

Ekstrak halia hitam, yang mengandungi polymethoxyflavones, boleh meningkatkan daya tahan fizikal dengan meningkatkan metabolisme tenaga dan daya tahan otot, dan ianya terbukti  berkesan dapat meningkatkan fungsi dan prestasi kardiovaskular bagi mereka yang berumur lebih dari 60 tahun.

Penghidap Disfungsi Erektil Mencari Lega dengan Halia Hitam

Disfungsi erektil (ED) merupakan masalah yang sangat digeruni oleh kaum lelaki. Tetapi dengan kajian perubatan oleh pakar telah dapat membuktikan bahawa ekstrak halia hitam boleh memberikan kelegaan bagi mereka yang mengalami masalah ED ringan.

Dalam satu kajian rintis yang diterbitkan dalam Journal of Integrative Medicine mendapati bahawa ekstrak halia hitam boleh meningkatkan kepuasan seksual dan prestasi pada lelaki pertengahan umur yang mengalami disfungsi erektil ringan.

Kajian tersebut melibatkan 14 orang lelaki yang mengambil 100mg ekstrak selama 30 hari. Kajian melaporkan peningkatan yang ketara secara statistik dalam fungsi erektil, kepuasan hubungan seks, dan jumlah markah pada soal selidik International Index of Erectile Function.

Walaupun kesannya tidak begitu ketara seperti ubat preskripsi, kajian mendapati bahawa suplemen halia hitam ini selamat dan boleh diterima dengan baik. [2]

Ekstrak halia hitam mengandungi sifat afrodisiak dan boleh bertindak sebagai perangsang dalam meningkatkan peredaran darah pada lelaki yang sudah meningkat usia. Ini boleh membantu meningkatkan aliran darah ke zakar, yang penting untuk mencapai dan mengekalkan ereksi.

Selain itu, dengan menggabungkan halia hitam dengan asid amino tertentu seperti L-citrulline atau L-arginine telah didapati berkesan dalam merawat ED, malah terbukti mampu membalikkan kesannya. 

Kajian-kajian ini merumuskan bahawa ekstrak halia hitam boleh memberikan alternatif semula jadi untuk lelaki yang ingin meningkatkan fungsi seksual dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Rumusan 

Ekstrak halia hitam telah membuktikan potensi nya dalam meningkatkan kepuasan seksual dan prestasi pada lelaki pertengahan umur dengan disfungsi erektil ringan. Walaupun demikian ujian klinikal terperinci sangat diperlukan untuk membuktikan dakwaan ini sepenuhnya. 

Halia Hitam Mungkin Meringankan Simptom Alahan

Halia hitam mengandungi sebatian anti-radang yang boleh membantu mengurangkan gejala yang disebabkan oleh alahan, seperti masalah hidung berair, bersin dan mata merah. 

Sebatian ini berfungsi dengan menghalang pembebasan histamin, yang merupakan salah satu bahan kimia yang menyebabkan keradangan dalam badan.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Ethnopharmacology mengkaji sifat anti-alergi tumbuhan dan mendapati bahawa salah satu derivatifnya ialah 5-hydroxy-3,7,3′, 4′-tetramethoxyflavone.

Ia menunjukkan aktiviti anti-alergi tertinggi terhadap antigen – pelepasan beta-hexosaminidase yang disebabkan dalam sel RBL-2H3. [3]

Ini jelas menunjukkan bahawa halia hitam mungkin berkesan dalam mengurangkan pembebasan histamin. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu diperlukan untuk memahami sepenuhnya keberkesanan dan keselamatan menggunakan halia hitam bagi merawat alahan.

Rumusan 

Halia hitam mengandungi sebatian anti-radang yang boleh mengurangkan gejala yang disebabkan oleh alahan dengan menghalang pembebasan histamin. 

Halia Hitam Tinggi Kandungan Anti-oksidan

Halia hitam merupakan sumber antioksidan yang sangat baik. 

Ini kerana penyelidik telah membuktikan bahawa kedua-dua etanol dan ekstrak air daripada halia hitam mempunyai keupayaan dalam menghilangkan radikal bebas DPPH. [4]

Terdapat korelasi yang baik antara jumlah aktiviti antioksidan dan aktiviti antiradikal oleh TBARS dan glikasi. Ini menunjukkan bahawa halia hitam mungkin mempunyai potensi yang besar dalam membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan.

Tekanan oksidatif berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara radikal bebas di dalam tubuh dan antioksidan dalam badan, yang boleh menyebabkan kerosakan sel dan penyakit kronik.

Dengan mengambil makanan yang kaya dengan antioksidan, seperti halia hitam, mungkin dapat membantu mengurangkan tekanan oksidatif dan menggalakkan kesihatan yang lebih baik.

Rumusan

Halia hitam didapati mempunyai sifat antioksidan yang tinggi, dalam keupayaannya menghalang radikal bebas DPPH dan mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan.

Ini menjadikannya sumber antioksidan semula jadi yang baik serta mungkin boleh dijadikan sebagai rawatan terapeutik sampingan yang berpotensi dalam merawat penyakit berkaitan tekanan oksidatif.

Khasiat Halia Hitam Dalam Membantu Mengurangkan Berat Badan 

Bagi sesetengah individu untuk menurunkan berat badan boleh menjadi satu cabaran. Tetapi ekstrak halia hitam mungkin boleh menjadi antara alternatif penyelesaian semula jadi yang baik dan berkesan.

Penyelidikan telah membuktikan bahawa dengan pengambilan harian ekstrak halia hitam boleh membantu mengurangkan lemak viseral dengan ketara. Lemak viseral adalah lemak bahaya yang mengelilingi organ penting pada badan. 

Dalam sebuah kajian terkawal rawak dua buta plasebo yang dijalankan ke atas individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan di Jepun mendapati bahawa dengan pentadbiran polymethoxy flavone yang disuling daripada halia hitam boleh mengurangkan lemak viseral.

Kajian ini melibatkan 80 subjek yang berumur 20-64 tahun dengan indeks jisim berat badan (BMI) antara 23-30 kg/m², dan hasil ketara yang dapat dilihat ialah pengurangan pada lemak visceral (VFA). [5]

Ekstrak halia hitam juga mungkin mempunyai kesan pencegahan terhadap obesiti pada tikus dengan meningkatkan penggunaan tenaga (EE). Pada manusia, pengambilan ekstrak halia hitam secara akut berpotensi meningkatkan EE seluruh badan, mungkin melalui pengaktifan tisu adiposa perang (BAT).

Kajian ini juga menunjukkan bahawa ekstrak halia hitam boleh meningkatkan EE seluruh badan dan mencegah obesiti dengan mengaktifkan BAT.

Ekstrak halia hitam telah membuktikan manfaatnya sebagai komponen anti-obesiti dan penyelesaian semula jadi bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Rumusan

Ekstrak halia hitam dapat membantu mengurangkan lemak visceral, meningkatkan penggunaan tenaga, dan meningkatkan metabolisme, menjadikannya antara pilihan semula jadi yang berkesan bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Kajian Mendapati Halia Hitam Mungkin Mempunyai Sifat Neuroprotektif

Halia hitam didapati mempunyai sifat neuroprotektif, bermakna ia dapat membantu melindungi otak daripada kerosakan serta membantu mengekalkan fungsinya.

BACA  8 Khasiat Kunyit Yang Wajib Anda Tahu Dan Bagaimana Ia Bermanfaat Dalam Melawan Penyakit Dan Memelihara Tubuh Badan

Satu kajian, yang diterbitkan oleh Journal of Traditional and Complementary Medicine pada Oktober 2017, melihat kesan ekstrak etanol halia hitam pada otak tikus Sprague Dawley.

Secara khususnya, para penyelidik mengkaji bagaimana ekstrak halia hitam dapat mempengaruhi tahap bahan kimia tertentu yang dikenali sebagai neurotransmitter.

Kajian mendapati bahawa rawatan dengan ekstrak halia hitam dapat membantu meningkatkan tahap tiga neurotransmitter – dopamin, norepinephrine, dan serotonin – yang penting untuk pelbagai fungsi otak seperti mood, pergerakan, dan ingatan.

Selain itu, ekstrak halia hitam dapat mengubah suai tindak balas pelbagai protein yang terlibat dalam pembezaan neuron dan keplastikan sinaptik, yang merupakan proses yang membolehkan sel otak menyesuaikan diri dan berkomunikasi secara berkesan antara satu sama lain. [6]

Penemuan ini menunjukkan bahawa halia hitam mungkin mempunyai nilai terapeutik yang berpotensi dalam merawat gangguan neurodegeneratif, seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson, di mana terdapat kehilangan dalam sel otak yang menyebabkan komunikasi pada otak terganggu.

Satu lagi kajian melihat kesan ekstrak halia hitam pada sel neuron hippocampal HT-22 tikus.

Para penyelidik mendapati bahawa ekstrak halia hitam melindungi tikus tersebut daripada ketoksikan yang disebabkan oleh glutamat, yang merupakan sejenis kerosakan sel otak yang boleh berlaku dalam penyakit neurodegeneratif. [7]

Secara keseluruhan, kajian-kajian ini membuktikan bahawa ekstrak halia hitam berpotensi untuk digunakan sebagai agen terapeutik untuk rawatan gangguan neurodegeneratif.

Walau bagaimanapun, kajian lebih lanjut dan terperinci diperlukan untuk memahami sepenuhnya mekanisme yang mendakwa kesan ini serta bagaimana untuk menghasilkan rawatan yang berkesan dalam merawat gangguan neurodegeneratif menggunakan ekstrak halia hitam.

Rumusan

Ekstrak halia hitam didapati mempunyai sifat neuroprotektif, dan mungkin mempunyai nilai terapeutik yang berpotensi dalam merawat masalah gangguan neurodegeneratif.

Halia Hitam Boleh Meningkatkan Kesihatan Jantung Anda

Halia hitam dikatakan bermanfaat untuk kesihatan jantung. Kajian telah mendapati bahawa halia hitam mempunyai sebatian antioksidan dan kardio protektif.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Ethnopharmacology mendapati ekstrak halia hitam yang diberikan kepada tikus pertengahan umur melalui mulut menyebabkan saluran darah mereka lebih mudah mengendur dan kurang mengecut.

Kesan ini disebabkan oleh peningkatan dalam pengeluaran nitrit oksida, yang membantu meningkatkan aliran darah dan mungkin mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. [8]

Halia hitam juga didapati mempunyai kesan positif terhadap kesihatan metabolik, yang berkait rapat dengan kesihatan jantung. Ia boleh membantu menurunkan paras lemak, paras gula dalam darah, dan paras trigliserida dalam darah, serta mengurangkan jumlah lemak dalam hati.

Halia hitam juga boleh membantu meningkatkan kesihatan jantung dengan cara lain.

Ia telah membuktikan kebaikannya dalam mencegah kerosakan jantung yang disebabkan oleh kekurangan aliran darah, mengurangkan kesan berbahaya radikal bebas, dan meningkatkan keupayaan saluran darah untuk berehat pada tikus dengan tekanan oksidan.

Kesan ini boleh membantu mengurangkan risiko serangan jantung, kegagalan jantung dan masalah berkaitan jantung yang lain. [9]

Kebaikan – kebaikan yang dijelaskan di atas menunjukkan bahawa ekstrak halia hitam mungkin merupakan suplemen kesihatan yang baik untuk individu  pertengahan umur dalam membantu mengurangkan risiko obesiti, diabetes jenis II dan penyakit kardiovaskular.

Ia juga boleh dijadikan sebagai rawatan sampingan bagi merawat kecederaan reperfusi.

Rumusan 

Ekstrak halia hitam mempunyai khasiat semula jadi dalam membantu meningkatkan kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan meningkatkan pengeluaran nitrit oksida dan meningkatkan fungsi vaskular.

Ia juga mempunyai kesan positif terhadap kesihatan metabolik.

Halia Hitam Membantu Mencegah Dan Merawat Ulser Gastrik

Kajian terbaru mendapati bahawa halia hitam juga boleh menjadi rawatan semulajadi yang baik bagi merawat ulser gastrik. Ulser gastrik adalah luka yang menyakitkan yang terbentuk pada lapisan perut dan boleh menyebabkan ketidakselesaan serta pendarahan.

Penyelidikan menunjukkan bahawa halia hitam boleh membantu mencegah pembentukan ulser gastrik pada tikus yang disebabkan oleh faktor yang berbeza seperti indometasin, HCl/EtOH, dan tekanan rendaman air.

Ia mencegah pembentukan ulser dengan memelihara lapisan mukus pelindung yang melapisi perut. Lapisan mukus bertindak sebagai penghalang untuk melindungi lapisan perut daripada asid perut.

Kajian juga mendapati halia hitam boleh melindungi lapisan perut dengan meningkatkan rembesan lendir gastrik. Ini membantu mengelakkan kerosakan daripada asid perut dan juga boleh membantu mencegah perkembangan ulser. [10]

Rumusan 

Halia hitam telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam keupayaannya dalam membantu menghalang pembentukan ulser gastrik dengan memelihara lapisan mukus pelindung yang melapisi perut dan meningkatkan rembesan mukus gastrik.

Sifat Anti Kanser Halia Hitam

Kajian telah mendapati bahawa halia hitam dapat memberikan beberapa kebaikan dalam membantu melawan jenis – jenis kanser tertentu. Ini bermaksud ia berpotensi untuk dijadikan rawatan alternatif sampingan bagi merawat kanser pankreas dan ovari.

Salah satu cara halia hitam bertindak melawan kanser adalah dengan membunuh sel terprogram dalam sel kanser. Proses ini dikenali sebagai apoptosis, dan ia boleh membantu mencegah pertumbuhan dan penyebaran kanser.

Halia hitam juga dapat membantu mengurangkan aktiviti enzim yang berkait dengan sel kanser dan metastasis, yang boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser. [11]

Sebatian kimia 5-hydroxy-7-methoxyflavone, yang terdapat dalam halia hitam, telah dikenal pasti sebagai agen anti-kanser yang sangat baik. Kajian mendapati halia hitam boleh mencegah pertumbuhan sel kanser pankreas dan menghalang pembentukan koloni sel kanser. [12]

Halia hitam telah menunjukkan kebaikannya sebagai anti-kanser yang menjanjikan. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menyiasat mekanisme tindakan dan potensi penggunaannya sebagai rawatan anti-kanser yang baru. 

Rumusan 

Halia hitam telah didapati mempunyai ciri-ciri anti-kanser yang berpontensi dalam merawat kanser pankreas dan ovari dengan menggalakkan apoptosis dalam sel-sel kanser dan mengurangkan aktiviti enzim yang terlibat dalam pengembangan sel kanser serta metastasis.

Halia Hitam Boleh Meringankan Sakit Osteoartritis

Osteoartritis (OA) adalah penyakit sendi yang menyebabkan kesakitan. Ia boleh menjejaskan tahap kesihatan seseorang. Kajian mengenal pasti halia hitam boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keterukan gejala OA.

Satu kajian telah mengkaji kesan ekstrak halia hitam pada model OA tikus asid mono iodoacetic dan kondrosit yang berasal dari lutut manusia yang dirawat dengan IL-1β. Keputusan menunjukkan bahawa ekstrak halia hitam mengurangkan rasa kesakitan dan keterukan tisu tulang rawan. [13]

Komponen aktif halia hitam, 5,7-dimethoxyflavone dan 5,7,4′-trimethoxyflavone, didapati bertanggungjawab dalam menyebabkan kesan ini.

Komponen ini dapat membantu mengurangkan ekspresi matriks metalloproteinase, iaitu enzim yang merendahkan kolagen dalam tulang rawan. Ini bermakna halia hitam boleh bertindak untuk mengurangkan kesakitan OA dan degradasi tulang rawan.

Penemuan ini diharapkan dapat memberikan harapan bagi mereka yang mengalami kesakitan OA. Walaupun tiada ubat yang benar-benar dapat mengubati penyakit ini, halia hitam mungkin dapat memberikan rawatan alternatif semula jadi untuk meredakan gejala.

Walaupun demikian, kajian lanjut diperlukan untuk menentukan kesan jangka panjang pengambilan halia hitam apabila digunakan dalam merawat OA. 

Rumusan

Ekstrak halia hitam boleh membantu mengurangkan kesakitan osteoarthritis dan melambatkan degradasi tulang rawan dengan mengurangkan ekspresi enzim yang memecahkan kolagen dalam tulang rawan.

Halia Hitam Mungkin Membantu Merawat Jerawat

Ekstrak halia hitam didapati dapat membantu individu yang menghadapi masalah jerawat. Satu kajian menganalisis sifat ekstrak dan mendapati bahawa ia mempunyai beberapa manfaat untuk mereka yang mempunyai masalah jerawat.

Ia mempunyai ciri anti-radang, ini bermakna ia boleh membantu mengurangkan masalah keradangan yang dihadapi oleh badan. Keradangan merupakan antara penyumbang utama kepada masalah jerawat.

Ekstrak halia hitam boleh membantu mengurangkan ekspresi dua enzim, iNOS dan COX-2, yang menyebabkan keradangan. Selain itu, ia boleh mengurangkan tahap sitokin pro-radang yang dikenali sebagai TNF-α, yang memberikan kesan terhadap jerawat. [14]

Ekstrak halia hitam juga didapati dapat membantu menghalang pertumbuhan bakteria yang menjadi penyebab jerawat dan mengurangkan pengeluaran sebum, minyak yang dihasilkan oleh kulit.

Kesimpulan dalam penggunaan halia hitam dalam merawat jerawat menunjukkan bahawa ia boleh dikaji dan dikembangkan untuk dijadikan agen anti-jerawat semulajadi.

Dengan menangani punca jerawat, termasuk keradangan dan pengeluaran sebum yang berlebihan, ia mungkin memberikan alternatif yang berkesan dan semula jadi kepada rawatan jerawat.

Rumusan 

Ekstrak halia hitam mempunyai ciri anti-radang dan boleh menghalang pertumbuhan bakteria penyebab jerawat dan mengurangkan pengeluaran sebum, menjadikannya agen anti-jerawat semula jadi yang berpotensi.

Khasiat Anti-Radang Halia Hitam

Halia hitam adalah tumbuhan yang mengandungi sebatian sifat anti-radang, yang bermaksud ia boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan.

Dua daripada sebatian ini, 5,7-dimethoxyflavone (DMF) dan 5-hydroxy-3,7,3′,4′-tetramethoxyflavone (TMF), telah didapati berkesan terutamanya dalam menghalang pengeluaran mediator keradangan. [15]

Sebatian ini berfungsi dengan mengganggu tindak balas imun terhadap alergen. Dalam erti kata lain, ia membantu mengurangkan pembebasan mediator keradangan, yang boleh menyebabkan keradangan terjadi. 

Rumusan

Halia hitam mengandungi sebatian yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan dengan menghalang pembebasan mediator keradangan, menjadikannya rawatan semula jadi yang berpotensi mengurangkan masalah keradangan.

Aktiviti Adaptogenik Halia Hitam

Adaptogen adalah bahan semula jadi yang boleh membantu badan menangani tekanan dengan lebih baik dan memberi banyak manfaat kesihatan.

BACA  Ketahui 11 Khasiat Ginseng: Manfaat Ginseng Untuk Kesihatan Tubuh Badan

Ia boleh melindungi otak, mengurangkan keletihan, meningkatkan mood, mengurangkan kebimbangan, meningkatkan fungsi otak, dan merangsang sistem saraf pusat.

Ia juga membantu badan mengekalkan keseimbangannya dengan mengawal selia proses tertentu yang berkaitan dengan cara kita mengawal tekanan. Proses ini dikaitkan dengan dengan paksi hipotalamus-pituitari-adrenal dan cara badan bertindak balas terhadap tekanan. [16]

Halia hitam didapati mempunyai sifat adaptogenik. Kesan adaptogenik halia hitam dikaitkan dengan bahagian utamanya, termasuk terpenes dan germacrene D, β-elemene, α-copaene, serta E-caryophyllene.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa ekstrak halia hitam boleh meningkatkan aktiviti adaptogenik pada tikus semasa ujian renang.

Malah, pecahan ekstrak yang kaya dengan terpene mempunyai aktiviti adaptogenik tertinggi, yang setanding dengan serbuk akar ginseng mentah yang digunakan sebagai kawalan rujukan.

Ini menunjukkan bahawa halia hitam mungkin mempunyai kebaikan yang hampir sama dengan ginseng, iaitu salah satu herba adaptogenik yang terkenal. [17]

Rumusan 

Halia hitam merupakan tumbuhan herba dengan sifat adaptogenik yang boleh membantu meningkatkan daya tahan fizikal dan mental. Bahagian utamanya termasuklah terpenes yang menyumbang kepada kesan adaptogeniknya.

Nota Penting

Seperti mana-mana herba atau rawatan semulajadi, semua orang harus sedar tentang potensi risiko yang berkaitan dengan penggunaannya. Halia hitam boleh berinteraksi dengan ubat tertentu, seperti ubat cair darah, dan ia juga boleh menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah individu.

Di samping itu, dos halia hitam yang tinggi boleh menyebabkan kesan sampingan seperti masalah gastrousus, pening, dan boleh menyebabkan jantung berdebar-debar. 

Adalah penting untuk berunding dengan doktor atau pakar kesihatan sebelum menggunakan halia hitam, terutamanya jika anda sedang mengambil ubat atau mempunyai keadaan kesihatan yang tertentu.

Kesimpulannya

Halia hitam telah digunakan sejak dulu lagi sebagai rawatan penyakit secara semula jadi. Ia mempunyai banyak khasiat dan manfaat, antaranya membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular.

Ia boleh ditambah ke dalam makanan atau diambil sebagai suplemen tambahan. Bukan sahaja ia mudah didapati ianya juga terdapat dalam pelbagai bentuk seperti tablet, cecair dan juga serbuk. 

Halia hitam secara amnya selamat untuk diambil bagi kebanyakan orang apabila diambil dalam dos yang disyorkan, menjadikannya pilihan yang baik bagi mereka yang ingin meningkatkan kesihatan keseluruhan mereka menggunakan sumber dari alam semulajadi. 

Soalan Lazim Mengenai Halia Hitam

Rujukan/ Reference

  1. Toda K, Hitoe S, Takeda S, Shimoda H. Black ginger extract increases physical fitness performance and muscular endurance by improving inflammation and energy metabolism. Heliyon. 2016 May 24;2(5):e00115. doi: 10.1016/j.heliyon.2016.e00115. PMID: 27441286; PMCID: PMC4946221. 
  2. Stein RA, Schmid K, Bolivar J, Swick AG, Joyal SV, Hirsh SP. Kaempferia parviflora ethanol extract improves self-assessed sexual health in men: a pilot study. J Integr Med. 2018 Jul;16(4):249-254. doi: 10.1016/j.joim.2018.05.005. Epub 2018 May 26. PMID: 29880257.
  3. Tewtrakul S, Subhadhirasakul S, Kummee S. Anti-allergic activity of compounds from Kaempferia parviflora. J Ethnopharmacol. 2008 Feb 28;116(1):191-3. doi: 10.1016/j.jep.2007.10.042. Epub 2007 Nov 6. PMID: 18077118.
  4. Kusirisin W, Srichairatanakool S, Lerttrakarnnon P, Lailerd N, Suttajit M, Jaikang C, Chaiyasut C. Antioxidative activity, polyphenolic content and anti-glycation effect of some Thai medicinal plants traditionally used in diabetic patients. Med Chem. 2009 Mar;5(2):139-47. doi: 10.2174/157340609787582918. PMID: 19275712.
  5. Matsushita M, Yoneshiro T, Aita S, Kamiya T, Kusaba N, Yamaguchi K, Takagaki K, Kameya T, Sugie H, Saito M. Kaempferia parviflora extract increases whole-body energy expenditure in humans: roles of brown adipose tissue. J Nutr Sci Vitaminol (Tokyo). 2015;61(1):79-83. doi: 10.3177/jnsv.61.79. PMID: 25994142.
  6. Plaingam W, Sangsuthum S, Angkhasirisap W, Tencomnao T. Kaempferia parviflora rhizome extract and Myristica fragrans volatile oil increase the levels of monoamine neurotransmitters and impact the proteomic profiles in the rat hippocampus: Mechanistic insights into their neuroprotective effects. J Tradit Complement Med. 2017 Jun 15;7(4):538-552. doi: 10.1016/j.jtcme.2017.01.002. PMID: 29034205; PMCID: PMC5634759.
  7. Tonsomboon A, Prasanth MI, Plaingam W, Tencomnao T. Kaempferia parviflora Rhizome Extract Inhibits Glutamate-Induced Toxicity in HT-22 Mouse Hippocampal Neuronal Cells and Extends Longevity in Caenorhabditis elegans. Biology (Basel). 2021 Mar 26;10(4):264. doi: 10.3390/biology10040264. PMID: 33810282; PMCID: PMC8066628.
  8. Yorsin S, Kanokwiroon K, Radenahmad N, Jansakul C. Effects of Kaempferia parviflora rhizomes dichloromethane extract on vascular functions in middle-aged male rat. J Ethnopharmacol. 2014 Oct 28;156:162-74. doi: 10.1016/j.jep.2014.08.020. Epub 2014 Aug 27. PMID: 25169213.
  9. Malakul W, Ingkaninan K, Sawasdee P, Woodman OL. The ethanolic extract of Kaempferia parviflora reduces ischaemic injury in rat isolated hearts. J Ethnopharmacol. 2011 Sep 1;137(1):184-91. doi: 10.1016/j.jep.2011.05.004. Epub 2011 May 10. PMID: 21600275.
  10. Rujjanawate C, Kanjanapothi D, Amornlerdpison D, Pojanagaroon S. Anti-gastric ulcer effect of Kaempferia parviflora. J Ethnopharmacol. 2005 Oct 31;102(1):120-2. doi: 10.1016/j.jep.2005.03.035. PMID: 16023318.
  11. Paramee S, Sookkhee S, Sakonwasun C, Na Takuathung M, Mungkornasawakul P, Nimlamool W, Potikanond S. Anti-cancer effects of Kaempferia parviflora on ovarian cancer SKOV3 cells. BMC Complement Altern Med. 2018 Jun 11;18(1):178. doi: 10.1186/s12906-018-2241-6. PMID: 29891015; PMCID: PMC5996531.
  12. Sun S, Kim MJ, Dibwe DF, Omar AM, Athikomkulchai S, Phrutivorapongkul A, Okada T, Tsuge K, Toyooka N, Awale S. Anti-Austerity Activity of Thai Medicinal Plants: Chemical Constituents and Anti-Pancreatic Cancer Activities of Kaempferia parviflora. Plants (Basel). 2021 Jan 25;10(2):229. doi: 10.3390/plants10020229. PMID: 33503922; PMCID: PMC7911922.
  13. Kobayashi H, Suzuki R, Sato K, Ogami T, Tomozawa H, Tsubata M, Ichinose K, Aburada M, Ochiai W, Sugiyama K, Shimada T. Effect of Kaempferia parviflora extract on knee osteoarthritis. J Nat Med. 2018 Jan;72(1):136-144. doi: 10.1007/s11418-017-1121-6. Epub 2017 Aug 19. PMID: 28823024.
  14. Jin S, Lee MY. Kaempferia parviflora Extract as a Potential Anti-Acne Agent with Anti-Inflammatory, Sebostatic and Anti-Propionibacterium acnes Activity. Int J Mol Sci. 2018 Nov 3;19(11):3457. doi: 10.3390/ijms19113457. PMID: 30400322; PMCID: PMC6274695.
  15. Horigome S, Yoshida I, Tsuda A, Harada T, Yamaguchi A, Yamazaki K, Inohana S, Isagawa S, Kibune N, Satoyama T, Katsuda S, Suzuki S, Watai M, Hirose N, Mitsue T, Shirakawa H, Komai M. Identification and evaluation of anti-inflammatory compounds from Kaempferia parviflora. Biosci Biotechnol Biochem. 2014;78(5):851-60. doi: 10.1080/09168451.2014.905177. Epub 2014 May 15. PMID: 25035989.
  16. Panossian A, Wikman G. Effects of Adaptogens on the Central Nervous System and the Molecular Mechanisms Associated with Their Stress-Protective Activity. Pharmaceuticals (Basel). 2010 Jan 19;3(1):188-224. doi: 10.3390/ph3010188. PMID: 27713248; PMCID: PMC3991026.
  17. Pripdeevech P, Pitija K, Rujjanawate C, Pojanagaroon S, Kittakoop P, Wongpornchai S. Adaptogenic-active components from Kaempferia parviflora rhizomes. Food Chem. 2012 Jun 1;132(3):1150-1155. doi: 10.1016/j.foodchem.2011.11.025. Epub 2011 Nov 22. PMID: 29243594.

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

six + fifteen =