Khasiat Durian – Raja Buah Yang Bukan Sahaja Sedap Tapi Mempunyai Banyak Manfaat Kesihatan

Kongsi artikel ini

Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus, juga dikenali sebagai “raja buah-buahan,” adalah buah tropika berduri yang sangat terkenal di rantau Asia Tenggara. Siapa yang tak kenal dengan raja buah ini. Kalau musim durian pasti ramai yang seronok membeli dan menikmati buah ini. 

Ia bukan sahaja sedap di makan begitu sahaja tetapi ia sesuai dijadikan pemanis mulut, seperti aiskrim, bubur dan kek. Kalau dah masak sangat boleh disimpan untuk dijadikan tempoyak pula. Kiranya durian ni memang versatil sebab boleh dinikmati dengan pelbagai cara. 

Durian bukan sahaja mempunyai rasa yang unik tetapi ia mempunyai aroma yang kuat. Ada yang suka makan durian tetapi tidak tahan akan baunya. 

Tapi walaupun bau buah durian sangat kuat, ia sebenarnya mempunyai banyak manfaat kesihatan jika dimakan secara sederhana.

Buah durian kaya dengan nutrien penting seperti vitamin B, vitamin C, mineral, sebatian tumbuhan, lemak sihat dan juga serat.  [1]

Bukan sahaja isinya tetapi bahagian lain pada buah durian seperti daun, sekam, akar — telah digunakan dalam perubatan tradisional di Malaysia untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk demam panas, jaundis dan masalah kulit. [2].

Ok jom kita ketahui lebih lanjut mengenai khasiat durian, profil nutrisi serta kepentingan mengetahui kesan daripada pengambilan alkohol bersama durian. 

Profil Nutrisi Buah Durian

khasiat durian

Setiap 243 gram hidangan isi durian menyediakan :

Kalori: 357
Lemak: 13 gram
Karbohidrat: 66 gram
Serat: 9 gram
Zat besi – 2.43-4.86g
Kalsium: 40mg
Protein: 4 gram
Vitamin C: 80% daripada Nilai Harian (DV)
Tiamin: 61% daripada DV
Mangan: 39% daripada DV
Vitamin B6: 38% daripada DV
Kalium: 30% daripada DV
Riboflavin: 29% daripada DV
Kuprum: 25% daripada DV
Folat: 22% daripada DV
Magnesium: 18% daripada DV
Niasin: 13% daripada DV

Durian juga padat dengan kandungan sebatian tumbuhan seperti antosianin, karotenoid, polifenol dan flavonoid yang masing-masing berfungsi sebagai antioksidan. 

Durian mempunyai kandungan fosforus yang sederhana berbanding dengan buah-buahan lain seperti avocado dan buah delima. 

Kenapa Durian Mempunyai Bau Yang Kuat?

Durian mempunyai bau yang kuat kerana kehadiran sebatian sulfur yang meruap, terutamanya hidrogen sulfida dan etanethiol. Sebatian ini membuatkan bau durian sangat kuat, seringkali digambarkan seperti bau “busuk” atau “seperti bawang”. 

Selain itu, durian mengandungi sebatian organik lain yang seperti ester dan alkohol, yang menyumbang kepada bau nya yang unik. Selalunya durian yang telah masak mempunyai bau yang lebih kuat. 

Terdapat beberapa jenis durian yang boleh didapati di Malaysia antaranya Musang King, D24, Udang Merah dan banyak lagi. Setiap jenis mempunyai rasa, tekstur dan aroma yang tersendiri, menjadikan ia buah yang menarik dan unik untuk dinikmati oleh peminat tegar durian. 

Khasiat Durian Untuk Penghadaman Dan Mengurangkan Risiko Gastrik Serta Sembelit

Durian mengandungi serat yang dapat membantu dalam sistem penghadaman dan menggalakkan pergerakan usus yang lebih teratur. Kandungan serat ini membantu mencegah sembelit dan mengekalkan sistem usus yang sihat serta mengurangkan risiko gastrik.

Kedua, durian mengandungi sebatian semula jadi seperti polifenol dan antioksidan, yang mempunyai sifat anti-radang. Ciri-ciri ini boleh membantu mengurangkan keradangan akibat gastrik dan mengurangkan risiko ulser gastrik terjadi.

Tambahan lagi, durian juga mengandungi vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin C, vitamin A, vitamin B kompleks, kalium, dan magnesium. Nutrien ini menyokong kesihatan keseluruhan usus dan mengurangkan berlakunya masalah gastrik.

Tetapi jika anda mempunyai masalah gastrik yang teruk adalah dinasihatkan untuk mengambil durian secara sederhana dan berbincang dengan pakar kesihatan sebelum menikmati buah kegemaran ramai ini. 

BACA  5 Khasiat Psyllium Husk - Bukan Hanya Bagus Untuk Sistem Pencernaan Tapi Ia Banyak Manfaat Kesihatan Lain

Membantu Dengan Masalah Anemia

Durian mungkin dapat memberi manfaat kepada individu yang mempunyai masalah anemia kerana kandungan zat besinya. [4]

Zat besi adalah mineral penting dalam menghasilkan hemoglobin yang bertanggungjawab dalam membawa oksigen dalam darah. Dengan mengambil makanan yang kaya dengan zat besi seperti durian boleh membantu kepada peningkatan tahap zat besi dan berpotensi membantu mengurangkan risiko anemia.

Jika anda penghidap anemia dan penggemar durian mungkin ini merupakan salah satu cara untuk meningkatkan pengambilan zat besi. Tetapi dapatkan nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu. 

Mengurangkan Risiko Kanser

Durian mengandungi antioksidan yang dapat meneutralkan radikal bebas yang menggalakkan sel kanser membiak. 

Ia kaya dengan antioksidan, seperti vitamin C dan vitamin E, serta pelbagai fitokimia lain seperti flavonoid dan karotenoid. Antioksidan membantu melindungi sel daripada kerosakan oleh radikal bebas, yang merupakan molekul tidak stabil yang boleh menyumbang kepada perkembangan kanser. [4]

Masalah keradangan yang kronik sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

Sesetengah kajian mencadangkan bahawa sebatian tertentu yang terdapat dalam durian, seperti flavonoid dan sebatian bioaktif lain, mungkin mempunyai sifat anti-radang yang boleh membantu mengurangkan risiko perkembangan kanser terjadi.

Mencegah Penyakit Kardiovaskular Dan Jantung

Seperti buah-buahan lain, durian juga boleh menyumbang kepada jantung yang sihat dan mampu membantu dalam mencegah penyakit kardiovaskular jika diambil dalam kuantiti yang sederhana. [5]

Durian mengandungi sebatian yang dapat membantu mengurangkan paras kolesterol dan risiko aterosklerosis, iaitu pengerasan arteri. 

Antioksidan yang terdapat dalam buah durian juga membantu melindungi sel daripada kerosakan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas, yang boleh menyebakan penyakit kardiovaskular terjadi.

Dengan mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan, antioksidan boleh membantu meningkatkan kesihatan jantung.

Durian juga kaya dengan kalium bagi mengekalkan jantung yang sihat dan tahap tekanan darah yang baik.

Pengambilan kalium yang mencukupi boleh membantu mengatasi kesan natrium dan menyokong keseimbangan cecair yang betul, secara tidak langsung menurunkan tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

Sifat Anti Mikrob Durian Yang Membantu Melawan Jangkitan

Durian merupakan buah yang kaya dengan pelbagai nutrien dan sebatian bioaktif, yang sebahagian daripadanya mungkin mempunyai sifat antimikrob. 

Walaupun penyelidikan khusus mengenai kesan antimikrob durian masih lagi sedang diteliti, tetapi hasil penyelidikan yang pernah dijalankan mendapati sebatian tertentu yang terdapat dalam durian mungkin berpotensi membantu mencegah jangkitan.

Kulit durian mengandungi senyawa yang mempunyai sifat antibakteria dan antijamur. Ini bermakna durian dapat membantu melawan jangkitan bakteria dan kulat dalam badan. [6]

Ia juga merupakan sumber vitamin C yang baik yang dapat membantu meningkatkan sistem imun badan dan memainkan peranan penting dalam melawan jangkitan dan mengekalkan kesihatan badan secara keseluruhan.

Durian juga merupakan sumber serat makanan yang baik. Ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem pencernaan yang sihat.

Mikrobiota usus yang sihat adalah penting untuk fungsi imun dan boleh membantu mencegah jangkitan tertentu dengan menyokong persekitaran mikrob yang seimbang.

Buah Durian Membantu Mengawal Tekanan Darah

Durian merupakan sumber kalium yang baik yang dapat berfungsi untuk mengawal tekanan darah dengan mengimbangi kesan natrium. [5]

Ia juga mengandungi antioksidan seperti vitamin C yang dapat mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan dan menggalakkan kesihatan kardiovaskular yang lebih baik.

Kandungan serat durian pula menurunkan tahap tekanan darah dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan.

Buah durian mengandungi kalori dan karbohidrat yang tinggi, jadi individu yang mempunyai masalah kencing manis atau mereka yang sedang mengawal berat badan haruslah mengambilnya secara sederhana.

BACA  Bukan Hanya Sekadar Tumbuhan Herba - Kajian Mendapati Khasiat Halia Hitam Banyak Manfaat Kesihatan

Membantu Menurunkan Paras Gula Dalam Darah

Buah durian juga mempunyai indeks glikemik (IG) yang lebih rendah berbanding dengan banyak buah tropikal lain. Ini bermakna durian dapat membantu mengawal paras gula yang naik mendadak selepas makan. [7]

Durian mengandungi pelbagai fitokimia, termasuk tanin dan saponin, yang merupakan sebatian semula jadi yang telah dikaji kesan antimikrobnya. Sebatian ini boleh membantu menghalang pertumbuhan mikroorganisma tertentu dan berpotensi untuk mencegah jangkitan.

Durian ialah sumber serat makanan yang baik kerana ia boleh membantu melambatkan penyerapan gula ke dalam aliran darah dan menggalakkan kawalan gula  di dalam darah yang lebih baik.

Menambah makanan yang kaya dengan serat seperti durian boleh membantu mengurangkan kenaikan gula darah secara mendadak.

Risiko Pengambilan Durian Bersama Alkohol

Makan durian dan kemudian mengambil alkohol perlu dielakkan kerana ia berpotensi memberikan kesan yang buruk pada kesihatan. [8]  

Ia mungkin berkaitan dengan kandungan sebatian sulfur dalam kedua-dua durian dan minuman beralkohol. Gabungan ini boleh menyebabkan gangguan usus yang boleh menyebabkan rasa mual dan muntah-muntah.   

Selain dari itu, individu yang mempunyai sensitiviti atau alahan dengan buah durian atau alkohol mungkin akan mengalami gejala yang lebih teruk. 

Adalah dinasihatkan untuk mengelak daripada mengambil durian dan makanan atau minuman beralkohol untuk mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini. 

Kesimpulan

Walaupun baunya kuat, buah berduri ini mempunyai banyak manfaat kesihatan. Ia kaya dengan antioksidan dan nutrien penting seperti vitamin B, vitamin C, mineral, sebatian tumbuhan, lemak sihat dan juga serat yang boleh mengurangkan risiko kanser dan sebatian yang membantu mencegah penyakit jantung dan melawan jangkitan. 

Soalan Lazim Mengenai Durian

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

four × 1 =