Resepi acar timun nenas merupakan resepi yang sangat mudah disediakan. Dan ia adalah hidangan yang sering dihidangkan sebagai sampingan kepada hidangan lain seperti nasi tomato.
Gabungan timun dan nanas ini merupakan salah satu versi acar tradisional yang sangat popular, dan ia juga mempunyai banyak variasi.
Resepi Acar Timun Nenas Yang Sangat Klasik

Kalau kita makan nasi orang kahwin menu acar timun dan nenas memang selalu kita jumpa. Acar ni nak buat nya memang nampak mudah, tapi nak seimbangkan rasa masam, masin, pedas dan manis tu yang penting. Di samping memastikan buah nenas dan timun kekal segar.
Ada yang panggil hidangan ni jelatah, pineapple pickle, cucumber pickle, acar darat dan ada yang panggil acar timun nanas mentah. Walau apa pun nama nya, cara hidangan dan bahan-bahan hampir sama. Kalau yang berlainan mungkin ada yang tambah buah asam boi, kacang tumbuk dan lain-lain.
Acar nenas dan timun biasanya dihasilkan dengan memotong nipis timun dan buah nanas yang dicampur dengan bahan-bahan lain seperti cili padi, cili hidup, bawang, cuka, gula dan garam. Gabungan semua bahan-bahan ini menghasilkan rasa pedas yang manis dan masam pada masa yang sama.
Untuk memastikan semua bahan-bahan sebati dan semuanya cukup rasa acar timun dan nanas biasanya perlu diperap beberapa jam di dalam peti ais sebelum dimakan. Selepas diperap rasanya lebih sedap dan segar.
Makan Nanas Untuk Sihat

Buah nanas kaya dengan antioksidan yang baik seperti vitamin C dan mangan, yang boleh membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Ia juga merupakan sumber serat yang sangat baik kerana ia dapat membantu mengawal sistem penghadaman dan membuatkan anda rasa lebih kenyang dengan lama.
Selain itu, kajian menunjukkan bahawa pengambilan nanas boleh menggalakkan pertumbuhan tulang yang lebih sihat kerana kandungan bromelain nya yang tinggi. Bromelain dapat membantu mengurangkan bengkak akibat kecederaan atau selepas pembedahan serta membantu mengurangkan gejala yang berkaitan dengan serangan arthritis atau asma.
Ok jom kita cuba resepi acar timun nenas mentah ni.
Bahan-bahan
- 1 batang timun jepun – hiris nipis
- 1/2 biji nanas – dipotong nipis
- 2 tangkai cili merah
- 2 biji bawang merah – dihiris nipis
- 3 tangkai cili api di potong nipis
- 2 sudu besar cuka masak
- 1 sudu kecil gula
- Garam secukup rasa
Cara-cara
- Bersihkan timun, nenas, bawang, cili padi dan cili merah sebelum dipotong. Buang biji cili merah ya.
- Satukan timun, nanas, cili api, cili merah dan bawang dalam mangkuk.
- Dalam mangkuk yang lain gaul cuka, gula, garam hingga sebati. Kemudian tuangkan ke dalam mangkuk yang berisi timun, nanas, cili api, cili merah dan bawang tadi. Gaul hingga sebati.
- Hidangkan bersama hidangan nasi kegemaran anda.
Nota
Simpan ke dalam peti ais 2-3 jam sebelum dihidangkan supaya semua bahan-bahan mesra.
Boleh tabur kacang tanah yang dihancurkan jika suka.
Kalau anda gemar buah tomato boleh juga tambah ke dalam acar jelatah ni.