Spaghetti Bolognese merupakan salah satu hidangan tradisional orang Itali yang telah menjadi makanan kegemaran orang Malaysia.
Kita semua tahu rasa spaghetti Bolognese memang sedap dan lazat. Tetapi tahu tak yang ia juga salah satu hidangan yang sihat? Nak tahu sebab apa?
- Ia penuh dengan kandungan nutrien. Spaghetti Bolognese sarat dengan nutrien penting seperti protein, serat dan juga vitamin.
- Ia merupakan sumber tenaga yang sangat baik. Spaghetti Bolognese merupakan karbohidrat kompleks, bermaksud ia dapat memberikan sumber tenaga yang berpanjangan.
- Ia boleh membantu anda menurunkan berat badan. Jika anda cuba menurunkan berat badan, spaghetti Bolognese boleh menjadi pilihan hidangan yang baik. Ia rendah kalori dan lemak, tetapi tinggi dengan kandungan protein dan serat, yang boleh membantu anda berasa kenyang dengan lebih lama.
- Ia baik untuk jantung anda. Spaghetti Bolognese adalah makanan yang menyihatkan jantung kerana ia mengandungi rendah lemak tepu serta kolesterol.
Kebanyakkan resepi spaghetti Bolognese yang ada kebiasaannya menggunakan bahan-bahan yang hampir sama tetapi dengan cara dan twist masakan yang berbeza.
Apa Itu Sos Bolognese?

Sos Bolognese ialah masakan tradisional negara Itali. Ia merupakan sos yang berasaskan tomato dan daging kisar serta dimasak bersama-sama dengan herba kemudian dihidangkan bersama pasta.
Kebaikan Sos Bolognese
Sos Bolognese kaya dengan kandungan sayur-sayuran. tomato, bawang, bawang putih dan herba-herba yang merupakan antara bahan-bahan utama yang terdapat dalam sos spaghetti.
Ia juga sumber likopena yang baik kerana ia dimasak menggunakan sos tomato. Buah tomato kaya dengan kandungan antioksidan yang dapat membantu mengurangkan risiko kanser.
Cara Untuk Menyediakan Sos Bolognese
Walaupun terdapat pelbagai cara untuk menyediakan sos Bolognese, versi tradisional biasanya dimasak dengan daging lembu, lobak merah, saderi, susu segar dan herba-herba seperti oregano, bay dan rosemary.
Sos Bolognese juga sering dihidangkan dengan pasta tagliatelle, tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengisi pasta ravioli atau lasagna. Ia lebih enak dimakan bersama keju parmesan kering dan roti bawang putih.
Sos Bolognese Homemade vs Sos Segera Yang Mana Lebih Sedap?

Jika anda ingin mendapatkan rasa sos yang segar dan sedap serta kaya dengan khasiat gunakan tomato segar dan bukannya sos segera untuk menyediakan sos Bolognese. Tomato segar mempunyai lebih banyak antioksidan daripada buah tomato yang telah diproses dan rasanya lebih enak.
Apabila memilih tomato segar untuk sos Bolognese anda, cari buah tomato yang masak dan masih pejal. Elakkan memilih buah tomato yang terlalu lembut takut nanti rasa sos yang dimasak kurang segar atau terlalu masam.
Jika mengikut resepi asal tradisional Itali, sos tomato disediakan menggunakan buah tomato segar dan ia dimasak berjam-jam dan sangat lama. Ini untuk memastikan tomato tersebut mendapat konsistensi seperti sos, dan membolehkan air yang keluar dari buah tomato betul-betul masak.
Sos yang terhasil juga kaya dengan rasa umami. Ia juga untuk membantu mengimbangi tahap gula dan keasidan sos tomato tersebut.
Mungkin anda tidak mempunyai banyak masa untuk mereneh buah tomata berjam-jam. Jadi anda boleh gunakan tomato puree organik yang biasanya mengandungi ketulan buah tomato segar.
Ia biasanya tidak mengandungi gula tambahan dan sangat sesuai digunakan untuk menyediakan Bolognese. Puri tomato biasanya tidak mengandungi bahan-bahan sampingan lain berbanding dengan sos segera yang ada di pasaran.
Kalau anda biasa menyediakan sos Bolognese dengan sos segera, kini anda boleh cuba guna puri tomato dan tomato segar. Walaupun mengambil masa sikit nak buat, tapi hasilnya lebih memuaskan.
Pasta Yang Sesuai Dihidangkan Bersama Sos Bolognese?

- Spaghetti: Ini adalah pasta klasik yang sangat sesuai digandingkan dengan sos Bolognese. Potongan spageti yang panjang dan nipis menyerap sos dan daging dengan baik.
- Rigatoni: Rigatoni ialah satu lagi pilihan yang baik untuk digandingkan dengan sos Bolognese. Pasta besar berbentuk tiub meresap sos dengan baik.
- Fusilli: Fusilli ialah pasta spiral yang juga sesuai dengan sos Bolognese.
- Tagliatelle:Tagliatelle juga digunakan untuk digandingkan dengan sos Bolognese kerana seperti pasta spaghetti ia juga meresap sos dan daging dengan baik.
Bagaimanakah Cara Terbaik Untuk Memasak Spaghetti?
Terdapat banyak cara untuk memasak spaghetti. Menurut Chef Gordon Ramsay cara yang terbaik untuk memasak spaghetti ialah dengan memasukkan pasta dalam periuk yang mengandungi air mendidih.
Kemudian, tambah sedikit minyak zaitun dan bawang putih ke dalam pasta dan masak pasta sehingga al-dente atau rasa kenyal. Memasak pasta agak mudah, tetapi bagaimana untuk memasaknya dengan cara yang betul supaya ia mendapat konsistensi yang betul?
Mengikut orang Itali pasta yang masak harus lah al-dente atau “to the tooth”. Maknanya pasta tidak sepatutnya rasa keras, tetapi mempunyai sedikit rasa kenyal.
Berikut merupakan beberapa petua untuk membantu anda mendapat pasta yang al dente:
- Mulakan dengan mendidihkan air dalam periuk besar. Masukkan garam dan minyak zaitun ke dalam air. Jangan masukkan pasta ke dalam air yang belum mendidih kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk masak dan pasta akan jadi terlalu lembut.
- Setelah air mendidih, masukkan spaghetti dan kacau sekali sekala. Kalau spaghetti melekat, pisahkan supaya apabila sudah masak ia tidak lagi melekat. Sebab kalau melekat jadi tak sedap nak makan.
- Rebus pasta selama 6-7 minit, atau sehingga ia al dente. Toskan lebihan air sebelum dihidangkan bersama sos Bolognese.
- Rasa pasta setiap 2-3 minit untuk mengelak dari terlebih masak
Aroma dari herba dan rasa daging menjadikan hidangan spaghetti Bolognese anda lebih menyelerakan.
Hidangan ini pasti menjadi kegemaran seisi keluarga terutama kanak- kanak.
Bahan-bahan
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 2 biji tomato yang telah didadu
- 1 biji bawang besar atau bawang Holland, potong dadu
- 5 ulas bawang putih, dicincang
- 1 batang saderi, potong dadu
- 1 batang lobak merah, potong dadu
- 1/2 sudu kecil oregano kering
- 2 helai daun bay
- 1/2 sudu kecil lada hitam
- 400 gram daging lembu kisar
- 1 tin pes tomato organik
- 1 cawan air
- Garam dan lada hitam secukup rasa
- 1 cawan keju Parmesan
Cara-cara
- Panaskan kuali atau periuk yang sederhana besar.
- Tuang minyak zaitun. Bila minyak dah panas masukkan daging kisar.
- Masak daging hingga keperangan.
- Bila daging dah nampak masak dan keperangan kecilkan api dan masukkan bawang besar, lobak merah, batang saderi dan bawang putih kemudian masak selama 10 minit. Tumis seketika.
- Sentiasa kacau sehingga saderi, lobak merah dan bawang lembut.
- Bila saderi dan lobak merah dah lembut dan naik bau masukkan tomato, pes tomato organik, air, oregano kering dan daun bay.
- Kacau rata.
- Tutup periuk atau kuali dengan penutup. Kecilkan api dan masak hingga sos mendidih.
- Masak selama 30 minit dan kacau sekali-sekala, sehingga anda mendapat sos yang pekat.
- Apabila sos sudah pekat dan terbit minyak, masukkan keju parmesan, garam dan lada hitam. Kacau hingga sebati.
- Sos harus mempunyai tekstur dan kelihatan seperti sloppy joe. Jika air kurang sebelum daging empuk sepenuhnya, tambahkan lagi ½ cawan air dan teruskan memasak.
- Hidangkan sos Bolognese bersama dengan spaghetti dan taburkan sedikit daun parlesy segar dan keju parmesan kering.
- Selamat mencuba!



Nota
Selain daging anda juga boleh gunakan daging ayam untuk menyediakan sos Bolognese ini. Kalau tak nak letak daging atau ayam pun boleh jika inginkan sos vegetarian – gantikan daging atau ayam dengan cendawan.
Anda juga boleh menambah herbs lain seperti Italian seasoning, thyme atau basil.
Sos ini juga boleh digunakan sebagai sos pizza atau lasagna.
Selain lobak merah dan saderi, anda juga boleh tambah lada benggala dan cendawan shitake.
Jika suka rasa pedas boleh tambah 1 sudu cili kering (chili flakes) atau sos cili ke dalam sos Bolognese anda.