12 Khasiat Madu Lebah Yang Mampu Meningkatkan Kesihatan Badan Anda Secara Semulajadi

Kongsi artikel ini

Madu adalah sejenis sirap pekat yang dihasilkan oleh lebah madu daripada nektar tumbuhan. Ia sangat digemari di seluruh dunia kerana rasa manisnya yang semulajadi. Oleh sebab itu ia banyak digunakan dalam pelbagai hidangan makanan dan minuman.

Bau, warna, komposisi pemakanan, sumber, kaedah pemprosesan serta rasa madu berbeza-beza bergantung pada jenis bunga ia dihasilkan, sebab itu terdapat banyak jenis madu yang ada di pasaran. 

Antara jenis-jenis madu yang boleh didapati di pasaran adalah madu Manuka –  mengandungi kandungan methylglyoxal (MGO) dan dihydroxyacetone yang tinggi, madu Acacia, madu semanggi, madu tualang dan banyak lagi. 

Madu juga boleh didapati dalam bentuk cecair, ketulan, atau dalam bentuk yang tidak diproses (madu sisir).

Madu mempunyai beberapa manfaat kesihatan dan ia memainkan peranan penting dalam rawatan tradisional dan rawatan perubatan alternatif.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat madu, sejarah, kegunaan dan profil pemakanan madu dan mengapa ia antara makanan semulajadi yang sangat luar biasa.

Sejarah Madu Lebah Dan Kegunaannya Secara Tradisional

khasiat madu

Madu telah digunakan oleh manusia sejak beribu tahun dahulu. Penemuan madu yang pertama kali ditemui adalah pada lukisan dinding Mesir Purba yang membuktikan bahawa madu telah digunakan sebagai sumber makanan dan ubat sejak 3,000 SM. 

Sepanjang sejarah, madu telah digunakan dalam pelbagai cara termasuklah:

  • Digunakan sebagai agen pemanis: Madu telah digunakan sebagai pemanis semulajadi sebelum gula tebu dan gula bit diperkenalkan.
  • Dalam perubatan: Madu digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat luka, ulser, batuk, dan sakit tekak.
  • Dalam kosmetik: Madu digunakan dalam produk penjagaan kulit dan rambut kerana sifat melembapkan dan antioksidannya.

Profil Nutrisi Madu

Madu merupakan sumber nutrien dan bahan bioaktif yang sangat baik. Ini kerana ia kaya dengan pelbagai nutrien penting yang diperlukan oleh badan. 

Walaupun jumlah nutrien yang terdapat dalam madu agak kecil bagi setiap hidangan, 31 jenis mineral telah ditemui dalam madu, antaranya fosforus, kalsium, kalium dan magnesium.

Berikut adalah profil pemakanan madu:

  • Karbohidrat: Madu mengandungi karbohidrat dalam bentuk fruktosa dan glukosa yang merupakan sumber tenaga yang baik.
  • Vitamin dan mineral: Madu mengandungi beberapa vitamin dan mineral seperti vitamin B, vitamin C, kalsium, zink, dan besi.
  • Antioksidan: Madu kaya dengan antioksidan seperti flavonoid dan asid fenolik yang mampu melindungi sel-sel tubuh badan daripada kerosakan oksidatif.
  • Enzim: Madu mengandungi enzim yang dapat membantu meningkatkan proses pencernaan dan menggalakkan penyerapan nutrien yang baik.

Ini jelas menunjukkan bahawa madu adalah sumber nutrien dan bahan bioaktif yang baik untuk pelbagai tujuan kesihatan dan kecantikan. 

Pengetahuan tentang sejarah madu dan profil pemakanannya dapat membantu kita memahami betapa istimewanya madu dan mengapa ia masih popular dalam pemakanan dan perubatan moden hingga ke hari ini.

Khasiat Madu Dalam Merawat Luka 

Sejak zaman dahulu lagi madu telah digunakan secara tradisional untuk merawat luka. Tetapi, tahukah anda mengapa madu berkesan dalam membantu merawat luka? 

Berikut merupakan beberapa sebab mengapa madu baik dalam merawat luka secara semulajadi:

  • Antibakteria: Madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu membantu membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan. Kandungan glukosa oksidase dalam madu menghasilkan hidrogen peroksida, sejenis antiseptik semula jadi. [1]
  • Mengurangkan keradangan: Madu dapat membantu mengurangkan keradangan pada luka dan mempercepatkan proses penyembuhan. Ini kerana madu kaya dengan flavonoid dan polifenol yang bertindak sebagai anti-radang [2]
  • Melembapkan kulit: Madu bertindak sebagai humektan, yang dapat membantu menjaga kelembapan luka. Kelembapan penting untuk membantu menyembuhkan luka dengan cepat dan lebih efektif. [3]

Cara Penggunaan Madu dalam Merawat Luka

Sebelum menggunakan madu, pastikan ia adalah madu asli yang belum diproses dan bebas dari sebarang bahan tambahan. 

Untuk menggunakan madu dalam merawat luka sila rujuk langkah-langkah di bawah: [4]

  • Bersihkan luka dengan air bersih atau larutan antiseptik terlebih dahulu.
  • Sapukan madu secara terus pada luka atau gunakan kain kasa yang telah direndam dalam madu.
  • Balut luka dengan pembalut atau kain kasa untuk mengekalkan kelembapan dan melindungi luka dari sebarang kotoran.
  • Ganti balutan sekurang-kurangnya sekali sehari atau mengikut keperluan.

Rumusan

Madu bukan sahaja mempunyai rasa yang sedap dan segar, tetapi ia juga berkhasiat dalam merawat luka. Sifat antibakteria, anti-radang, dan humektan menjadikan madu pilihan semulajadi yang baik dan sangat efektif dalam merawat luka. 

Jadi, jika anda ingin mencari rawatan semulajadi untuk merawat luka, anda boleh memilih madu sebagai antara pilihan rawatan.

Madu Membantu Meningkatkan Kesihatan Kulit Secara Semulajadi

Madu bukan sahaja baik untuk kesihatan dalaman, tetapi ia juga baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. 

Ini kerana madu mengandungi nutrien, enzim, dan sebatian yang baik menjadikannya berguna untuk aplikasi terapeutik dan kosmetik.

Sifat humektan semulajadi madu menjadikannya pelembap yang sangat baik untuk kulit. Aktiviti enzim dalam madu membolehkan ia meresap jauh ke dalam kulit dan memberi kelembapan pada lapisan kulit. Ini memberikan kulit yang lebih sihat dan lembut dengan tona berseri semula jadi.

Kalau tak percaya cuba pergi Sephora atau mana-mana farmasi yang berdekatan dengan rumah anda, mesti ada jual masker, pencuci muka atau pelembab yang berasaskan madu. 

Berikut merupakan sebab mengapa madu sangat baik untuk kulit:

  • Melembapkan kulit: Madu merupakan humektan semulajadi yang dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit dan menjadikannya lebih lembut dan licin secara semulajadi. [5].
  • Mencegah jerawat: Sifat antibakteria madu membantu melawan bakteria yang menyebabkan jerawat, seperti Propionibacterium acnes. Madu juga dapat membantu mengurangkan keradangan dan kemerahan yang disebabkan oleh jerawat [6]
  • Mengurangkan penampakan garis halus dan kedutan: Madu kaya dengan antioksidan yang membantu melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas. Penggunaan madu pada kulit secara teratur dapat membantu mengurangkan garis halus serta kedutan.
  • Jeragat dan ekzema : Madu yang tidak dipasteurisasi boleh mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan keradangan.
  • Memudarkan parut : Madu boleh membantu proses penyembuhan dengan membantu memudarkan parut jerawat. Anda boleh menggunakan madu sebagai rawatan untuk mengurangkan parut.

Cara Menggunakan Madu Sebagai Rutin Penjagaan Kulit

Untuk mendapatkan manfaat madu untuk kulit yang sihat, rujuk langkah-langkah berikut:

  • Pembersih makeup: Campurkan madu dengan minyak kelapa, minyak jojoba, atau minyak zaitun dan gunakan sebagai pembersih makeup semulajadi.
  • Masker: Campurkan 2 sudu madu dengan 1 sudu jus lemon dan sapukan pada muka yang telah dibersihkan. Biarkan selama 20-30 minit pada muka, kemudian bilas dengan air suam.
  • Scrub: Campurkan 2 sudu madu dengan 1 sudu gula halus dan urut perlahan-lahan pada kulit. Bilas dengan air suam. Gunakan scrub ini pada bibir kering untuk bibir yang lebih sihat dan menawan!

Pastikan anda melakukan ujian tampalan sebelum menggunakan madu secara topikal pada kulit. Ini kerana ia mungkin akan menyebabkan iritasi bagi mereka yang mempunyai alahan dengan madu. 

Rumusan

Madu adalah bahan semulajadi yang baik untuk menjaga kesihatan kulit. Dengan sifat pelembapan semulajadi, antibakteria, dan antioksidan, madu dapat membantu kulit menjadi lebih sihat, bersih, bebas jerawat, dan kelihatan awet muda. 

Khasiat Madu Lebah Dalam Merawat Masalah Penghadaman

Madu mengandungi mineral, enzim dan asid amino. Bukan itu sahaja, madu juga dikenali dengan sifat anti-bakteria dan penyembuhan.

Penyelidikan mendapati bahawa asid refluks berlaku disebabkan oleh radikal yang merosakkan sel-sel pada saluran pencernaan. Dengan memakan madu boleh membantu mengawal kerosakan dan menghalang pembentukkan radikal bebas.

Berikut merupakan beberapa sebab mengapa madu baik untuk merawat masalah penghadaman:

  • Mengurangkan ketidakselesaan perut: Madu mempunyai sifat anti-radang yang dapat membantu mengurangkan kekejangan otot dan ketidakselesaan pada perut. Kajian mendapati madu mungkin membantu mengurangkan asid dalam perut. [7]
  • Mengurangkan risiko masalah sembelit: Madu dapat membantu melegakan sembelit dengan meningkatkan pergerakan usus. Ia juga mempunyai sifat pelincir yang menjadikannya julap semulajadi yang baik.
  • Merawat gastroenteritis: Kajian klinikal yang dijalankan mendapati madu boleh membantu merawat gastroenteritis bakteria, yang disebabkan oleh bakteria seperti Escherichia coli dan Salmonella [8]

Cara Menggunakan Madu untuk Merawat Masalah Penghadaman

Untuk mendapatkan manfaat madu bagi masalah penghadaman, anda boleh cuba cara-cara berikut:

  • Madu dan air suam: Campurkan 1-2 sudu madu dalam segelas air suam dan minum setiap hari pada waktu pagi sebelum sarapan.
  • Madu dan kayu manis: Campurkan 1 sudu madu dengan ½ sudu serbuk kayu manis dan minum sebelum tidur untuk melegakan sembelit.
  • Madu dan halia: Campurkan 1 sudu madu dengan ½ sudu serbuk halia dan minum sebelum makan untuk mengurangkan rasa ketidakselesaan perut.

Madu dan lemon: Campur 2 sudu madu dan perahan air lemon ke dalam 1 cawan air suam. Ini dapat membantu membersihkan kolon, dan membuang makanan yang tidak dicerna dan toksin dari badan. 

Rumusan

Madu merupakan penawar semulajadi yang sangat berpotensi dalam merawat masalah penghadaman. Dengan sifat antispasmodik, julap semulajadi serta antibakteria, madu dapat membantu mengatasi ketidakselesaan perut, sembelit, dan gastroenteritis. 

Jika anda mempunyai masalah sembelit mungkin anda boleh menambah madu ke dalam diet harian anda bagi memastikan sistem penghadaman anda kekal sihat.

Madu Kaya Dengan Kandungan Antioksidan

Madu bukan sahaja mempunyai rasa manis semulajadi, tetapi ia juga mengandungi pelbagai antioksidan yang baik untuk kesihatan badan kita. [9]

Antioksidan yang terdapat dalam madu dapat memberikan kebaikan kepada badan kita melalui pelbagai cara antaranya:

  • Melawan radikal bebas: Antioksidan dalam madu membantu melindungi sel-sel tubuh badan daripada kerosakan akibat radikal bebas. Radikal bebas boleh menyebabkan proses penuaan terjadi secara pra-matang serta ia juga boleh menyebabkan penyakit kronik lain terjadi seperti kanser.
  • Mengurangkan risiko penyakit jantung: Antioksidan dalam madu membantu meningkatkan kesihatan jantung dengan mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) [10]
  • Meningkatkan sistem imun: Antioksidan dalam madu dapat meningkatkan sistem imun tubuh badan dengan melawan bakteria, virus, dan keradangan. [2]
BACA  9 Khasiat Minyak Ikan Dengan Asid Lemak Omega-3 Yang Baik Untuk Badan Dan Otak Yang Sihat

Cara Menggunakan Madu untuk Manfaat Antioksidan

Untuk menikmati manfaat antioksidan madu, anda boleh mencuba cara-cara berikut:

  • Tambah madu ke dalam minuman: Campurkan 1-2 sudu madu ke dalam air suam, teh hijau, atau jus lemon untuk minuman yang kaya dengan antioksidan. Bukan sahaja ia sedap dan menyegarkan tetapi ia baik untuk melegakan sakit tekak.
  • Pengganti gula: Gantikan gula dengan madu dalam resepi masakan untuk menambah kandungan antioksidan dalam hidangan yang anda sediakan. Madu juga boleh diambil bersama makanan kegemaran anda seperti pancake sihat, oat dan sebagainya.

Ambil madu setiap hari: Makan 1-2 sudu madu setiap hari juga sangat baik untuk mendapatkan manfaat antioksidannya.

Rumusan

Madu adalah sumber antioksidan semulajadi yang baik yang dapat membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas, mengurangkan risiko penyakit jantung, dan meningkatkan sistem imun.

Kebaikan Madu Untuk Pengurusan Tahap Gula Dalam Darah

Walaupun madu adalah pemanis semulajadi, ia mungkin mempunyai kesan yang lebih baik pada pengurusan gula dalam darah berbanding gula biasa. Ini terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis.

Berikut merupakan antara sebab mengapa madu baik untuk pengurusan tahap gula dalam darah:

  • Indeks glisemik (GI) yang lebih rendah: Madu mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah berbanding gula. Ini bermakna ia tidak menyebabkan peningkatan gula darah dengan cepat seperti gula biasa. [11]
  • Mengurangkan risiko diabetes: Menggantikan gula dengan madu dalam diet anda boleh mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dengan mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan kolesterol baik (HDL). [12]
  • Meningkatkan sensitiviti insulin: Madu boleh membantu meningkatkan sensitiviti insulin, yang penting dalam mengawal tahap gula dalam darah yang lebih efektif. [13]

Rumusan

Madu boleh menjadi pilihan yang lebih baik berbanding gula apabila berkaitan dengan pengurusan tahap gula dalam darah. Dengan indeks glikemik yang lebih rendah, madu mampu mengurangkan risiko diabetes, dan meningkatkan sensitiviti insulin.

Walaupun begitu adalah sangat penting untuk diingat bahawa madu masih mempunyai rasa manis, jadi pengambilannya mestilah dalam dos yang sederhana.

Manfaat Madu Dalam Membantu Melegakan Batuk dan Sakit Tekak

Penggunaan madu dalam perubatan tradisional untuk merawat batuk dan sakit tekak memang digunakan sejak dulu lagi. Ini kerana ia mempunyai sifat antibakteria dan mampu mengurangkan keradangan. [14]

Bila tekak rasa pahit akibat batuk, minum minuman campuran madu dapat memberikan kelegaan pada tekak. 

Berikut adalah beberapa sebab mengapa madu baik untuk melegakan batuk dan sakit tekak:

  • Melegakan batuk: Madu mempunyai sifat menyembuhkan serta sifat ekspektoran yang dapat mengurangkan kerengsaan tekak dan membantu mengeluarkan lendir dari saluran pernafasan.
  • Merawat sakit tekak: Sifat antimikrob dan anti-radang madu membantu mengurangkan pembengkakan dan kemerahan yang disebabkan oleh jangkitan tekak.
  • Meningkatkan kualiti tidur: Madu dapat membantu meningkatkan kualiti tidur pada individu yang mengalami masalah batuk dan sakit tekak dengan membantu mengurangkan frekuensi dan tahap batuk pada waktu malam.

Untuk melegakan batuk dan sakit tekak dengan madu, tambah 1-2 sudu madu asli ke dalam 1 cawan suam dan minum ketika ia masih suam. Anda juga boleh tambah hirisan halia dan lemon untuk rasa yang lebih segar. 

Rumusan

Madu adalah penawar semulajadi yang baik bagi melegakan batuk dan sakit tekak. Dengan sifat ekspektoran, antimikrob, dan anti-radang, madu dapat membantu memberikan keselesaan pada tekak, mencairkan lendir dan kahak, dan meningkatkan kualiti tidur.

Madu Baik Untuk Perut Dan Usus Anda Kerana Sifat Prebiotiknya

Prebiotik dan probiotik membantu menyokong fungsi badan dalam membina dan mengekalkan perkembangan bakteria dan mikroorganisma untuk menyokong usus dan membantu penghadaman. [15]

Makanan seperti madu mampu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dengan mewujudkan persekitaran di mana mikroorganisma boleh berkembang.

Madu bukan sahaja kaya dengan antioksidan, ia juga mempunyai kesan prebiotik yang baik untuk kesihatan usus. 

Berikut adalah beberapa manfaat prebiotik madu:

  • Merangsang pertumbuhan bakteria baik: Madu mengandung polisakarida yang berfungsi sebagai prebiotik, membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik seperti Bifidobacteria dan Lactobacilli dalam usus.
  • Mengurangkan keradangan usus: Kandungan prebiotik dalam madu dapat membantu mengurangkan keradangan dalam usus dan melindungi dari penyakit radang usus.
  • Meningkatkan sistem imun tubuh badan: Prebiotik dalam madu dapat membantu meningkatkan sistem imun badan dengan membantu meningkatkan aktiviti bakteria baik dalam usus.

Tambah madu dalam yogurt untuk manfaat prebiotik. Jika anda tidak boleh mengambil sebarang produk tenusu, anda boleh tambah ke dalam teh anda. 

Rumusan

Madu adalah sumber prebiotik semulajadi yang hebat kerana ia dapat membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik, mengurangkan keradangan usus, dan meningkatkan sistem imun tubuh badan.

Madu Membantu Meningkatkan Tenaga

Madu bukan sahaja manis dan sedap, tetapi ia juga merupakan sumber tenaga semulajadi yang sangat baik. 

Ini kerana madu kaya dengan kandungan fruktosa dan glukosa yang diperolehi dari karbohidrat. 

Selain itu ia juga kaya dengan pelbagai nutrien penting yang lain. 

  • Mempunyai kandungan karbohidrat: Madu mengandungi kombinasi glukosa dan fruktosa yang merupakan sumber karbohidrat, yang penting dalam membekalkan tenaga kepada tubuh badan. [16]
  • Pembebasan tenaga secara berterusan: Berbeza dengan gula, madu mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah. Ini bermakna ia dapat membekalkan tenaga yang berterusan dan mengelakkan penurunan tenaga secara mendadak.
  • Kandungan vitamin dan mineral: Madu juga kaya dengan vitamin dan mineral penting seperti vitamin B, vitamin C, zat besi, dan kalsium yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga.

Ambil sesudu madu sebelum bersenam untuk meningkatkan tenaga dan ketahanan semasa aktiviti fizikal. Anda juga boleh mengambil madu sebagai snek dengan menyapunya ke atas roti, pancake, atau buah-buahan untuk meningkatkan tenaga.

Rumusan

Madu adalah sumber tenaga semulajadi yang baik kerana kemampuannya dalam membantu badan membebaskan tenaga secara berterusan serta ia mempunyai kandungan vitamin dan mineral penting yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga. 

Madu Membantu Meningkatkan Memori dan Fungsi Otak Yang Sihat

Madu digunakan bukan sahaja dalam produk pemakanan dan kecantikan tetapi ia juga digunakan dalam banyak produk kesihatan secara meluas. Ini kerana madu dikatakan dapat membantu meningkatkan fungsi otak dan memori. [17]

Madu mempunyai kesan penggalak ingatan yang penting dalam membantu merawat gejala demensia dan kemerosotan kognitif. Madu berfungsi dalam meningkatkan sistem kolinergik dan aliran darah pada otak kerana kandungan antioksidannya yang sangat baik.

  • Antioksidan: Madu mengandungi antioksidan seperti flavonoid dan fenolik yang dapat melindungi otak dari tekanan oksidatif dan radang, yang berpotensi meningkatkan fungsi memori.
  • Meningkatkan peredaran darah: Madu membantu meningkatkan peredaran darah ke otak, yang penting untuk memori dan fungsi otak yang baik.
  • Meningkatkan neuroplastisiti: Madu mungkin dapat membantu meningkatkan neuroplastisiti, kemampuan otak untuk beradaptasi dan membentuk hubungan baru, yang merupakan aspek penting dalam pembelajaran dan memori.

Rumusan

Kemampuannya dalam membantu meningkatkan peredaran darah, dan potensi peningkatan neuroplastisiti nya menjadikan madu antara makanan tambahan yang baik untuk kesihatan otak. 

Madu Membantu Mencegah Obesiti Dan Membantu Memastikan Berat Badan Ideal

Madu adalah pemanis semulajadi yang boleh memberi manfaat bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Ini kerana ia dapat membantu mengurangkan keinginan untuk memakan makanan yang manis-manis. 

Makanan tertentu yang kaya dengan serat larut, vitamin, mineral dan antioksidan seperti sayur-sayuran berdaun, oat penuh, biji chia, lemon, dan kekacang dan madu boleh membantu membakar lemak pada perut, sekali gus mengurangkan berat badan dan mengurangkan risiko penyakit lain terjadi. [18]

Berikut bagaimana dengan mengamalkan madu boleh membantu mengurangkan lemak pada perut dan memastikan berat badan yang sihat dan ideal:

  • Mengurangkan lemak pada perut: Penyelidikan mendapati bahawa dengan menggantikan gula dengan madu ke dalam diet harian boleh mengurangkan lemak pada perut dan menurunkan berat badan.
  • Meningkatkan metabolisme: Madu dapat meningkatkan metabolisme dan membantu tubuh badan membakar kalori dengan lebih efektif, sekali gus membantu mengurangkan berat badan.
  • Mengawal selera makan: Madu mungkin mampu membantu mengawal selera makan dengan meningkatkan hormon kenyang seperti leptin, yang dapat mengurangkan keinginan untuk makan.

Cara Menggunakan Madu untuk Mengatasi Obesiti

Gantikan gula dalam minuman, masakan, dan untuk mengurangkan kalori. Minum segelas air lemon dengan madu setiap pagi untuk membantu meningkatkan metabolisme dan mengurangkan berat badan dan mengurangkan keinginan untuk makan secara berlebihan.

Rumusan

Madu merupakan pilihan yang lebih sihat berbanding gula kerana ia menawarkan manfaat dalam mengelak obesiti dan menjaga berat badan. Dengan menggantikan gula dengan madu dapat membantu meningkatkan metabolisme, dan mengendalikan mengawal selera makan.

Madu Membantu Merawat Ulser Kronik Kerana Sifat Anti-Radangnya

Ulser gastrik merupakan masalah kesihatan yang mengganggu ramai orang di seluruh dunia. Jika ia dibiarkan tanpa rawatan, ulser gastrik mungkin boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan yang lain. 

Penggunaan madu dalam merawat ulser telah lama diamalkan bagi mereka yang inginkan rawatan yang kurang invasif. 

Kandungan flavonoid yang tinggi dalam madu dipercayai mempunyai nilai aktiviti farmakologi termasuklah dalam membantu mencegah pembentukan ulser gastrik melalui mekanisme antisecretory dan antioksidannya. [19]

Berikut merupakan antara sebab mengapa madu berpontensi dalam merawat ulser gastrik:  

  • Sifat antibakteria: Madu mengandungi sifat antibakteria yang baik kerana ia dapat membantu memerangi bakteria yang menjadi penyebab ulser kronik, seperti Helicobacter pylori.
  • Sifat anti-radang: Madu mengurangkan keradangan dan bengkak yang disebabkan oleh ulser kronik. Madu juga dikatakan membantu dalam proses penyembuhan.
  • Meningkatkan pertumbuhan sel: Madu mempunyai sifat merangsang pertumbuhan sel yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka serta mengurangkan risiko jangkitan berlaku.
BACA  7 Kebaikan Dan Khasiat Sacha Inchi Oil Untuk Kesihatan Badan Anda Secara Alami

Cara Menggunakan Madu untuk Merawat Ulser Kronik

Untuk menikmati manfaat madu dalam merawat ulser kronik, anda boleh mencuba cara-cara berikut:

  • Ambil madu secara oral: Makan 1-2 sudu madu setiap hari untuk membantu memerangi bakteria yang menyebabkan ulser dan untuk mengurangkankan keradangan.
  • Mencampurkan madu dalam minuman: Campurkan madu ke dalam air, teh, atau susu suam dan minum dua kali sehari untuk merawat ulser kronik.

Madu sebagai cataplasm: Untuk ulser kulit kronik, sapukan madu ke atas kawasan yang terjejas dan balut bahagian luka dengan kain yang bersih. Gantikan pembalut dan sapukan madu setiap hari untuk mempercepatkan proses penyembuhan. 

Rumusan

Madu adalah sumber semulajadi yang baik dalam membantu merawat ulser kronik kerana sifat antibakteria dan anti-radang serta kebaikannya dalam menggalakkan pertumbuhan sel.

Madu Tualang: Kesan Inhibitori terhadap Kanser Payudara Eksperimental

Penyelidikan terkini mendapati madu tualang, iaitu sejenis madu hutan yang boleh ditemui di Malaysia, mungkin mempunyai kesan inhibitori terhadap kanser payudara eksperimental. 

Berikut adalah antara penemuan penting yang diperolehi daripada kajian terhadap madu tualang dan kanser payudara:

  • Apoptosis sel kanser: Dalam satu kajian yang telah dijalankan ke atas sekumpulan tikus mendapati madu tualang dapat meningkatkan apoptosis (kematian sel terkawal) dalam sel kanser payudara, serta menghalang pertumbuhan dan perkembangan kanser baru. [20]
  • Anti-proliferatif: Madu tualang menunjukkan kesan anti-proliferatif pada sel kanser payudara. Ini bermaksud ia mampu membantu mengurangkan pertumbuhan sel kanser dengan menghalang pembahagian sel.
  • Sifat antioksidan: Kandungan antioksidan yang tinggi dalam madu tualang dapat melindungi sel-sel baik dari kerosakan akibat kesan oksidatif, dan mengurangkan risiko kanser payudara.

Bagaimanakah Cara Untuk Menggunakan Madu Tualang Dalam Rawatan Kanser Payudara

Walaupun kajian mengenai madu tualang dan rawatan kanser payudara masih dalam peringkat awal, hasil kajian telah menunjukkan potensi madu tualang sebagai agen terapeutik dalam rawatan kanser payudara. 

Berikut adalah beberapa cara bagaimana madu tualang boleh digunakan dalam rawatan kanser payudara secara tradisional:

  • Sebagai suplemen: Madu tualang boleh diambil sebagai suplemen ketika menjalani rawatan hospital untuk meningkatkan kesan rawatan konvensional seperti kemoterapi dan radioterapi.
  • Sebagai agen penyembuhan semulajadi: Boleh digunakan untuk membantu mengurangkan rasa loya dan keletihan akibat kesan rawatan konvensional. 

Rumusan

Madu tualang mempunyai kesan inhibitori terhadap kanser payudara eksperimental melalui apoptosis sel kanser, kesan anti-proliferatif, dan sifat antioksidan.

Walaupun lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan keberkesanan madu tualang dalam rawatan sampingan kanser payudara, hasil kajian sedia ada telah menunjukkan potensi madu tualang sebagai agen terapeutik dalam rawatan kanser payudara.

Potensi Risiko dan Langkah Keselamatan Dalam Pengambilan Madu

Walaupun madu mempunyai banyak manfaat kesihatan, terdapat beberapa risiko yang berkaitan dengan pengambilan madu.

Tanda-tanda alergi mungkin termasuk gatal-gatal, bengkak, dan kesukaran bernafas. Jika anda mengalami sebarang tanda alergi selepas mengambil madu, hentikan penggunaan dan dapatkan rawatan serta merta. 

Madu mungkin mengandungi spora bakteria yang dikenali sebagai Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan botulisme pada bayi di bawah usia satu tahun. Botulisme adalah sejenis penyakit yang serius dan boleh membawa maut. 

Jangan sesekali memberikan madu kepada bayi di bawah usia satu tahun.
Madu mengandungi kalori yang agak tinggi, dan pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan kenaikan berat badan.

Kesimpulan

Madu adalah sumber makanan yang luar biasa kerana ia mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dalam membantu mengurangkan batuk dan sakit tekak, pengurusan tahap gula dalam darah, meningkatkan daya ingatan, serta banyak lagi. 

Dengan memahami kepentingan madu dari alam semulajadi, kita dapat menikmati manfaat madu dengan lebih bijak dan selamat.

Soalan Lazim Mengenai Madu

Rujukan/ Reference

  1. Lusby P. E., Coombes A. L., Wilkinson J. M. Bactericidal activity of different honeys against pathogenic bacteria. Archives of Medical Research. 2005;36(5):464–467. doi: 10.1016/j.arcmed.2005.03.038. [PubMed] [CrossRef] [Google Scholar]
  2. Yaghoobi R, Kazerouni A, Kazerouni O. Evidence for Clinical Use of Honey in Wound Healing as an Anti-bacterial, Anti-inflammatory Antioxidant and Anti-viral Agent: A Review. Jundishapur J Nat Pharm Prod. 2013 Aug;8(3):100-4. doi: 10.17795/jjnpp-9487. Epub 2013 Jul 17. PMID: 24624197; PMCID: PMC3941901.
  3. Tashkandi H. Honey in wound healing: An updated review. Open Life Sci. 2021 Oct 6;16(1):1091-1100. doi: 10.1515/biol-2021-0084. PMID: 34708153; PMCID: PMC8496555.
  4. Molan P, Rhodes T. Honey: A Biologic Wound Dressing. Wounds. 2015 Jun;27(6):141-51. PMID: 26061489.
  5. Burlando B, Cornara L. Honey in dermatology and skin care: a review. J Cosmet Dermatol. 2013 Dec;12(4):306-13. doi: 10.1111/jocd.12058. PMID: 24305429.
  6. Eady EA, Layton AM, Cove JH. A honey trap for the treatment of acne: manipulating the follicular microenvironment to control Propionibacterium acnes. Biomed Res Int. 2013;2013:679680. doi: 10.1155/2013/679680. Epub 2013 May 14. PMID: 23762853; PMCID: PMC3666392.
  7. Math M.V. and Balasubramaniam.P. viscosity and flow of honey Indian J. of Physiology and Pharmacology. 2001; 45 (5) supplement Abstract—Phy –76.
  8. Meo SA, et al. Role of honey in modern medicine. Saudi Journal of Biological Sciences. 2017;24:975 
  9. Ahmed S, Sulaiman SA, Baig AA, Ibrahim M, Liaqat S, Fatima S, Jabeen S, Shamim N, Othman NH. Honey as a Potential Natural Antioxidant Medicine: An Insight into Its Molecular Mechanisms of Action. Oxid Med Cell Longev. 2018 Jan 18;2018:8367846. doi: 10.1155/2018/8367846. PMID: 29492183; PMCID: PMC5822819
  10. Khalil MI, Sulaiman SA. The potential role of honey and its polyphenols in preventing heart diseases: a review. Afr J Tradit Complement Altern Med. 2010;7(4):315-21. doi: 10.4314/ajtcam.v7i4.56693. Epub 2010 Jul 3. PMID: 21731163; PMCID: PMC3005390.
  11. Nutrient data for 19335, sugars, granulated. USDA National Nutrient Database for Standard Reference. Sugars, granulated . Accessed May 14, 2021
  12. “Sweet: Honey Reduces Cardiometabolic Risks, U of T Study Shows” [Online]. Available from: Sweet: Honey Reduces Cardiometabolic Risks, U of T Study Shows | Temerty Faculty of Medicine 
  13. Ahmed, A., Tul-Noor, Z., Lee, D., et al. (2022). Effect of honey on cardiometabolic risk factors: a systematic review and meta-analysis. Nutrition Reviews. 
  14. Geißler K, Schulze M, Inhestern J, Meißner W, Guntinas-Lichius O. The effect of adjuvant oral application of honey in the management of postoperative pain after tonsillectomy in adults: A pilot study. PLoS One. 2020 Feb 10;15(2):e0228481. doi: 10.1371/journal.pone.0228481. PMID: 32040956; PMCID: PMC7010464.
  15. Anand Mohan, Siew-Young Quek, Noemi Gutierrez-Maddox, Yihuai Gao, Quan Shu, Effect of honey in improving the gut microbial balance, Food Quality and Safety, Volume 1, Issue 2, 1 May 2017, Pages 107–115
  16. Eteraf-Oskouei T, Najafi M. Traditional and modern uses of natural honey in human diseases: a review. Iran J Basic Med Sci. 2013 Jun;16(6):731-42. PMID: 23997898; PMCID: PMC3758027.
  17. Othman Z, Zakaria R, Hussain NHN, Hassan A, Shafin N, Al-Rahbi B, Ahmad AH. Potential Role of Honey in Learning and Memory. Med Sci (Basel). 2015 Apr 9;3(2):3-15. doi: 10.3390/medsci3020003. PMID: 29083387; PMCID: PMC5635760
  18. Ugusman A, Shahrin SAS, Azizan NH, Pillai SB, Krishnan K, Salamt N, Aminuddin A, Hamid AA, Kumar J, Mokhtar MH. Role of Honey in Obesity Management: A Systematic Review. Front Nutr. 2022 Jun 24;9:924097. doi: 10.3389/fnut.2022.924097. PMID: 35811958; PMCID: PMC926356
  19. Almasaudi S. B., El-Shitany N. A., Abbas A. T., et al. Antioxidant, anti-inflammatory, and antiulcer potential of manuka honey against gastric ulcer in rats. Oxidative Medicine and Cellular Longevity. 2016;2016:1–10. doi: 10.1155/2016/3643824.3643824 [PMC free article] [PubMed] [CrossRef] [Google Scholar]
  20. Kadir EA, Sulaiman SA, Yahya NK, Othman NH. Inhibitory effects of Tualang Honey on experimental breast cancer in rats: a preliminary study. Asian Pac J Cancer Prev. 2013;14(4):2249-54. doi: 10.7314/apjcp.2013.14.4.2249. PMID: 23725121.

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

2 × four =