Ketahui 7 Khasiat Durian Belanda Yang Baik Dalam Mencegah Kanser Serta Manfaatnya Dalam Meningkatkan Kesihatan Anda Secara Keseluruhan

Kongsi artikel ini

Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata, adalah buah tropika yang dikenali ramai kerana manfaat kesihatan.  

Berasal dari sekitar Peru dan Amerika Tengah, ia biasanya ditanam di banyak kawasan tropika dan subtropika, termasuklah di bahagian Amerika Selatan, Afrika, Asia dan juga di Australia.

Buah belanda biasanya mempunyai kulit yang berwarna hijau dan berduri. Ia mempunyai profil rasa yang unik kerana rasa masam-masam manis nya. Isinya pula berwarna putih dengan tekstur yang lembut seperti buah pisang.

Buah durian belanda mempunyai kandungan vitamin C, B1, dan B2, serta mineral penting seperti kalium, magnesium, dan kalsium. Ia juga mengandungi fitokimia yang bermanfaat antaranya acetogenin, yang mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang. 

Buah durian belanda mengandungi kandungan niasin, riboflavin, folat dan juga zat besi, tetapi dalam jumlah yang sedikit. 

khasiat durian belanda

Sebatian-sebatian ini menyumbang kepada manfaatnya dalam meningkatkan sistem imun, usus, menggalakkan kulit yang sihat, dan mencegah anti-kanser. 

Setiap bahagian pada buah durian belanda boleh digunakan dalam perubatan, termasuklah daun, buah dan batang nya.

Dalam artikel ini kita akan meneroka apakah khasiat durian belanda dan bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada pengambilannya.  

Khasiat Durian Belanda Yang Mempunyai Sifat Anti-Radang

Durian belanda mempunyai sifat anti-radang kerana ia kaya dengan antioksidan dan mineral yang berfungsi secara sinergi untuk melawan keradangan dalam tubuh badan menjadikannya rawatan semula jadi yang baik untuk merawat pelbagai penyakit. 

Ia juga kaya dengan vitamin B1 dan B2 yang dapat membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan. 

Kajian telah mendapati penggunaan daun durian belanda boleh melegakan gejala keradangan. [1]

Daun buah durian belanda mengandungi sebatian fenolik dan sering digunakan untuk menyembuhkan gejala buasir dalam rawatan tradisional. Walau bagaimanapun, kajian lanjut perlu dijalankan lagi membuktikan dakwaan ini. [2].

Dalam satu kajian lain, ekstrak durian belanda didapati dapat mengurangkan bengkak dan mengurangkan keradangan pada tikus yang dikaji. [3]

Kebaikan Durian Belanda Sebagai Antioksidan

Beberapa kajian menunjukkan antioksidan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko penyakit, jantung, kanser dan diabetes. [4] 

Durian belanda mengandungi sebatian seperti fenol, flavonoid, dan vitamin C, yang mempunyai sifat antioksidan.

Antioksidan membantu meneutralkan radikal bebas berbahaya dalam badan, yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif dan merosakkan sel.

Satu kajian tabung uji mendapati sifat antioksidan buah ini mampu melindungi tubuh badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. [5] 

Meningkatkan Kesihatan Usus Dan Sistem Penghadaman

Durian belanda bukan hanya mempunyai rasa yang sedap tetapi juga merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang ingin meningkatkan kesihatan sistem penghadaman. [6]

Ia merupakan buah yang kaya dengan kandungan serat makanan yang tinggi yang dapat membantu dalam penghadaman dan mencegah sembelit.

Serat menambah pukal pada najis dan pukal ini membantu menggerakkan najis melalui sistem pencernaan dengan lebih cekap.

Tambahan lagi, buah durian belanda juga mempunyai sifat anti-radang semula jadi yang boleh membantu menenangkan lapisan perut dan usus. Jadi ia boleh membantu mengurangkan gejala kembung perut, kekejangan, dan senak.

Selain kandungan seratnya, durian belanda tinggi dengan antioksidan yang dapat membantu melindungi sel-sel yang melapisi saluran penghadaman daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas yang berbahaya. 

Antioksidan ini mengurangkan keradangan dalam usus dan menggalakkan keseimbangan bakteria usus yang sihat.

Menstabilkan Kadar Gula Dalam Darah

Buah belanda juga dikatakan dapat membantu mengawal paras gula dalam darah.

Ini kerana ia mengandungi sebatian semula jadi yang boleh membantu dalam mengawal tahap glukosa darah, menjadikan ia baik untuk individu yang menghidap diabetes atau mereka yang berisiko untuk menghidap diabetes.  

BACA  Kekal Bertenaga Sepanjang Hari Dengan Kurma: Ketahui 12 Khasiat Kurma Yang Baik Untuk Kesihatan Badan Yang Optimum!

Kandungan serat yang tinggi dalam durian belanda boleh melambatkan penyerapan gula dalam saluran darah, mencegah lonjakan paras glukosa dalam darah secara mendadak. 

Selain itu, ia mengandungi antioksidan yang mampu melindungi sel pankreas dan meningkatkan sensitiviti insulin. 

Dalam satu kajian yang pernah dijalankan ke atas tikus yang mempunyai kencing manis telah diberikan ekstrak durian belanda selama dua minggu.

Kajian mendapati tikus yang menerima ekstrak durian belanda mempunyai paras gula dalam darah yang lima kali lebih rendah berbanding dengan kumpulan yang tidak menerima ekstrak durian belanda. [7]

Satu lagi kajian mendapati pemberian ekstrak durian belanda kepada tikus yang menghidap diabetes dapat mengurangkan tahap gula dalam darah sehingga 75%. [8]

Buah durian belanda juga boleh menyumbang kepada berat badan yang sihat yang juga merupakan faktor penting dalam mengawal gula dalam darah. 

Tetapi harus diingat, walaupun buah durian belanda boleh membantu mengawal gula dalam darah, ia tidak seharusnya digunakan sebagai rawatan utama dalam merawat diabetes. 

Khasiat Durian Belanda Dalam Merawat Dan Mencegah Kanser

Walaupun hampir semua kajian yang dijalankan adalah kajian tabung uji, beberapa kajian yang pernah dijalankan mendapati bahawa durian belanda baik dalam membantu membunuh sel-sel kanser.

Satu kajian tabung uji yang dijalankan ke atas sel kanser payudara dengan ekstrak durian belanda mendapati ia mampu membunuh sel kanser payudara. Saiz tumor dan sel-sel kanser berkurangan dan sistem imun badan juga meningkat. [9] 

Durian belanda mempunyai sifat anti kanser kerana ia mengandungi sebatian yang mungkin berkesan terhadap beberapa jenis sel kanser seperti kanser payudara dan kanser prostat.

Sebagai contoh, buah durian belanda telah didapati dapat menghalang pertumbuhan sel kanser payudara dan prostat dalam kajian makmal.

Selain itu, beberapa kajian mencadangkan bahawa durian belanda boleh meningkatkan kesan ubat kemoterapi, menjadikan ia pilihan rawatan sampingan yang baik. 

Walaupun lebih banyak kajian manusia diperlukan untuk memahami sepenuhnya tentang kesan durian belanda terhadap pencegahan dan merawat kanser, maklumat yang ada daripada kajian yang pernah dijalankan sangat memberangsangkan. 

Khasiat Buah Durian Belanda Sebagai Anti-Bakteria

Buah durian belanda mempunyai sifat anti-bakteria kerana kandungan sebatian bioaktifnya seperti acetogenin, alkaloid, dan sebatian fenolik. [10]

Kajian mencadangkan bahawa ekstrak buah durian belanda boleh membantu menghalang jangkitan bakteria dengan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bakteria, menjadikannya agen anti-bakteria semula jadi yang baik.

Walau bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan untuk meneroka potensi durian belanda dan dos penggunaan yang optimum.

Meningkatkan Kesihatan Mata

Tahukah anda buah durian belanda dikatakan dapat membantu meningkatkan kesihatan mata.  Ini kerana ia mempunyai tahap antioksidan yang tinggi, seperti vitamin C dan beta-karotena. [11]

Buah durian belanda juga boleh membantu meningkatkan kesihatan mata dengan melindungi tisu halus daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.

Antioksidan ini membantu mengurangkan risiko degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (AMD) dan katarak, dua keadaan mata biasa yang boleh mengurangkan tahap penglihatan. 

Selain itu, vitamin C yang terdapat dalam durian belanda juga boleh menggalakkan penghasilan kolagen dalam mata dan membantu mengekalkan struktur dan kekuatannya.

Cara Menambah Durian Belanda Ke Dalam Diet Anda

Anda boleh menikmati durian belanda dengan pelbagai cara seperti dijadikan jus, di makan segar begitu sahaja atau ditambah ke dalam salad atau pemanis mulut kegemaran anda. 

Selain itu anda juga boleh mencuba teh durian belanda. Teh daun durian belanda dihasilkan daripada daun pokok durian belanda. Ia dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, termasuklah dalam membantu proses penghadaman, meningkatkan sistem imun, dan memberikan rasa kesegaran. 

BACA  5 Khasiat Psyllium Husk - Bukan Hanya Bagus Untuk Sistem Pencernaan Tapi Ia Banyak Manfaat Kesihatan Lain

Untuk mengambil teh durian belanda, rendam 1-2 sudu teh daun belanda kering dalam air panas selama 5-10 minit. Tapis dan nikmati suam atau sejuk. 

Elakkan memakan biji durian belanda kerana ia mengandungi annonacin sejenis neurotoksin yang boleh meningkatkan risiko penyakit Parkinson. [12]

Kesan Sampingan dan Risiko Pengambilan Durian Belanda

Buah durian belanda menawarkan pelbagai manfaat kesihatan. Tetapi seperti setiap makanan lain ia juga perlu diambil secara sederhana. 

Pengambilan buah durian belanda lebih dari sepatutnya boleh menyebabkan gejala seperti loya dan masalah saraf. Ia juga boleh memberi kesan terhadap jenis ubat tertentu, seperti menjejaskan keberkesanan ubat tersebut. Ini sering kali terjadi terhadap ubat tekanan darah dan antibiotik. 

Reaksi alahan, walaupun jarang berlaku, boleh terjadi kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap buah durian belanda. 

Wanita hamil juga haruslah mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan sebelum mengambil buah durian belanda. 

Walaupun buah durian belanda boleh dinikmati secara sederhana, adalah penting untuk mengetahui risiko ini untuk mengelak dari kesan sampingan yang tidak diingini. 

Kesimpulan

Secara kesimpulan, buah durian belanda sememangnya buah tropika yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.

Ia padat dengan vitamin dan mineral penting yang dapat membantu meningkatkan sistem imun tubuh badan, mengurangkan keradangan, menggalakkan kesihatan penghadaman, menstabilkan tekanan darah, dan juga mencegah kanser.

Antioksidan yang terdapat dalam buah durian belanda juga dapat memberikan kelebihan tambahan untuk kesihatan badan secara keseluruhan. 

Sama ada anda memilih untuk menikmati durian belanda segar atau menambahkannya ke dalam jus atau salad ia pastinya pilihan yang baik untuk diet dan gaya hidup yang sihat.

Soalan Lazim Mengenai Durian Belanda

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

15 + fourteen =