14 Khasiat Buah Pisang Yang Kaya Dengan Nutrisi Penting Yang Diperlukan Oleh Tubuh Badan Anda

Kongsi artikel ini

Pisang merupakan salah satu buah yang sangat dikenali dan digemari ramai. Bukan sahaja rasanya sedap ia juga mengandungi banyak khasiat kesihatan. Untuk menikmati buah pisang juga kita tidak perlu menunggu musimnya berbuah kerana pisang berbuah hampir sepanjang tahun.  

Nama saintifik pisang ialah Musa, kerana ia merupakan tumbuhan tropika berbunga dari keluarga Musaceae. Ini kerana buahnya tumbuh berkelompok di bahagian atas tumbuhan. 

Antara trivia menarik mengenai pisang ialah pisang sebenarnya adalah dalam keluarga buah beri botani dan herba! Ini kerana pisang dihasilkan oleh tumbuhan yang secara teknikalnya adalah herba dan bukannya pokok, dan buah itu sendiri memenuhi kriteria beri botani.

Beri botani ditakrifkan sebagai buah berisi yang berkembang daripada satu ovari dan mengandungi biji yang tertanam dalam buah. Sama seperti pisang, bijinya terletak di tengah-tengah buah, dikelilingi oleh bahagian lembut yang mempunyai isi yang boleh dimakan. 

Selain itu, tumbuhan yang menghasilkan pisang mempunyai batang yang lembut dan berair dan bukannya batang berkayu, yang selanjutnya mengklasifikasikannya sebagai herba.

Bukan sahaja sedap di makan begitu sahaja, buah pisang sangat versatil kerana ia boleh dipelbagaikan. Di Malaysia buah pisang sering ditambah pada smoothie, dijadikan kek dan kuih, manakala pisang muda pula sering dijadikan lauk atau kerepek.  

Antara khasiat pisang yang biasa kita dengar pula ialah ia kaya dengan nutrien, membantu mengekalkan gula pada tahap yang baik serta ia baik untuk kesihatan kardiovaskular.

Dalam artikel ini, kita akan mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana pisang dapat membantu memberi manfaat kepada kesihatan kita. Sama ada dinikmati sebagai snek, ditambah ke dalam smoothie atau masakan, buah pisang pasti menjanjikan kebaikan untuk tubuh badan kita. 

Nilai Nutrisi Makanan Pisang Yang Perlu Anda Tahu

khasiat pisang

Buah pisang sangat berkhasiat kerana ia menawarkan vitamin, mineral, dan serat penting. Ia juga merupakan sumber antioksidan yang baik, yang boleh membantu melindungi tubuh badan daripada kerosakan akibat radikal bebas. 

Sebiji pisang membekalkan kira-kira 112 kalori dan air dan karbohidrat. Ia mengandungi sedikit protein dan tanpa lemak.

Karbohidrat dalam pisang yang masih hijau kebanyakannya dalam bentuk kanji dan kanji tahan iaitu sejenis serat yang tidak boleh dihadam berbeza dengan pisang yang bewarna kuning. Apabila buah pisang masak sepenuhnya, rasanya lebih manis dan kandungan seratnya menurun.

Berikut merupakan pecahan nilai makanan sebiji pisang dengan anggaran berat 118 gram: 

  • Lemak: 0 gram
  • Protein: 1 gram
  • Karbohidrat: 29 gram
  • Serat: 3 gram
  • Vitamin C: 12 peratus daripada Nilai Harian (DV)
  • Riboflavin: 7 peratus daripada DV
  • Folat: 6 peratus daripada DV
  • Niacin: 5 peratus daripada DV
  • Kuprum: 11 peratus daripada DV
  • Kalium: 10 peratus daripada DV
  • Magnesium: 8 peratus daripada DV
     

Jenis – Jenis Pisang Yang Terdapat Di Malaysia 

Terdapat lebih dari 1000 jenis pisang di dunia. Tapi di Malaysia, terdapat banyak jenis pisang yang biasa kita dengar.

Antara pisang yang paling popular di Malaysia termasuklah pisang Berangan, Pisang Mas, Pisang Montel (Cavendish), Pisang Emas, Rastali, Tanduk, Pisang Nangka, Pisang Awak, Pisang Susu dan Pisang Abu/Nipah.

Pisang Raja antara pisang yang jarang kita temui. Kalau pergi pasaraya memang susah nak dapatkan Pisang Raja ini. Kalau ada pun mungkin di pasar tani. Rasanya sedap dan berlemak. Ia sesuai dimakan begitu sahaja atau dijadikan kek atau kuih-muih.  

Pisang Montal atau Cavendish adalah jenis yang paling kerap dimakan kerana ia sangat mudah didapati. Ia mengandungi jumlah serat yang tinggi dan sesuai bagi anak-anak kecil kerana rasanya yang manis dan tekstur nya yang lembut.

Pisang Cavendish juga sesuai dijadikan jemput-jemput pisang atau pancake pisang sihat

Pisang tanduk pula dikenali dengan saiznya yang besar dan lebih panjang. Sesisir pisang tanduk mempunyai lima hingga tujuh biji sahaja. Ia juga tidak sesuai dimakan mentah sebaliknya lebih sesuai dijadikan kerepek.  

Walaupun terdapat banyak jenis pisang di Malaysia kesemuanya mempunyai khasiat dan manfaat. Yang pastinya buah pisang merupakan antara buah kegemaran rakyat Malaysia tidak mengira usia atau golongan. 

Berikut merupakan khasiat pisang yang baik untuk kesihatan kita. 

Pisang Kaya Dengan Kandungan Khasiat Dan Nutrien Penting 

Pisang dikenali sebagai salah satu buah yang sangat berkhasiat dan kajian menyokong dakwaan ini. Menurut pelbagai kajian yang dijalankan, telah mendapati bahawa pisang merupakan sumber serat, kalium, dan vitamin B6 yang sangat baik.

Ia juga mengandungi vitamin C dan antioksidan, yang sangat bermanfaat untuk kesihatan badan secara keseluruhan.

Selain vitamin dan mineral penting, pisang juga membekalkan flavonoid, karotenoid dan polisakarida, yang menawarkan pelbagai manfaat kesihatan. [1]

Rumusan 

Buah pisang sangat berkhasiat kerana ia kaya dengan dengan serat, kalium, vitamin, dan antioksidan. 

Khasiat Pisang Dalam Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Pisang bukan sahaja boleh dijadikan snek ringan yang lazat dan mudah tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan yang boleh membantu mengawal paras gula dalam darah.

Kajian mendapati bahawa walaupun ia mengandungi gula, dengan satu hidangan pisang setiap hari untuk sarapan pagi dapat mengurangkan paras gula dalam darah. [2]

Walaupun demikian, pisang yang masak mempunyai indeks glisemik yang agak tinggi berbanding pisang hijau atau tidak masak sepenuhnya.

Ini kerana pisang hijau mengandungi rendah karbohidrat dan mempunyai kandungan kanji tahan yang tinggi, yang boleh membantu mengimbangkan paras gula darah.

Mengambil kuantiti pisang yang banyak boleh menyebabkan paras gula darah meningkat kerana ia mempunyai beban glisemik yang tinggi.

Walau bagaimanapun jika diambil secara sederhana ia boleh menjadi sumber serat yang baik di samping membekalkan mineral dan vitamin yang berpotensi melawan penyakit.

Rumusan

Pisang boleh membantu mengawal paras gula dalam darah, terutamanya pisang yang belum masak, tetapi hendaklah diambil dalam kuantiti yang sederhana.

Khasiat Buah Pisang Dalam Merawat Masalah Penghadaman

Pisang dikenali sebagai buah yang berkhasiat yang dapat membantu melegakan masalah penghadaman seperti sembelit, cirit-birit, dan kembung perut. Ia padat dengan serat dan kalium yang dapat membantu dalam menggalakkan fungsi saraf dan memulihkan fungsi usus yang normal. 

Kanji tahan dalam buah pisang hijau yang belum masak memainkan peranan penting dalam membebaskan penyerapan dalam usus kecil dan memindahkannya ke usus besar dan ini dapat meningkatkan kesihatan serta fungsi sistem penghadaman yang baik. [3]

Selain itu, pisang juga boleh membantu menambah kalium yang hilang semasa muntah atau cirit-birit, membantu mengurangkan risiko penyakit serta merangsang fungsi imun. 

Oleh itu, dengan memakan sebiji pisang sehari boleh mengelakkan masalah pencernaan. Apabila digabungkan dengan makanan bijirin penuh dan buah-buahan rendah fruktosa seperti epal dan oren, boleh menggalakkan kesihatan sistem pencernaan secara keseluruhan.

Rumusan  

Pisang sangat berkhasiat kerana ia boleh membantu dalam memberikan kelegaan dalam merawat masalah penghadaman. Ini kerana ia kaya dengan kandungan serat dan kalium, manakala kanji tahan dalam pisang yang belum masak membantu meningkatkan fungsi sistem penghadaman.

Manfaat Pisang Dalam Mengurangkan Berat Badan

Pisang dikatakan dapat membantu mengurangkan kalori. Pisang yang bersaiz sederhana mengandungi sekitar 105 kalori, sangat baik dalam membekalkan badan dengan gula semula jadi. Ini dapat memberikan badan tenaga yang diperlukan untuk melakukan aktiviti harian. 

Selain itu, pisang yang bersaiz sederhana juga mempunyai 3 gram serat, penting untuk kesihatan sistem pencernaan dan membantu rasa kenyang lebih lama.  

Ini menjadikan pisang pilihan snek yang sangat ideal bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Penyelidikan juga mendapati bahawa serat yang terdapat dalam pisang dapat membantu menyekat selera makan dan mengurangkan kembung perut, dan secara tidak langsung membantu mendapatkan berat badan yang sihat. [4]

Pakar kesihatan juga bersetuju bahawa pisang mempunyai protein, vitamin dan mineral — serta ia rendah kandungan lemak menjadikannya snek tambahan yang baik bagi semua orang.

Rumusan 

Pisang ialah penggalak tenaga yang baik dan ia rendah kalori. Ia membantu anda rasa kenyang lebih lama, mengurangkan selera makan dan mengurangkan gejala perut kembung, menjadikannya snek yang ideal bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Pisang Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Tahukah anda bahawa dengan menambahkan pisang dalam diet anda boleh membantu mencegah serangan jantung dan strok? Ini kerana nutrien seperti kalium, serat, dan vitamin dan mineral lain adalah sangat penting untuk kesihatan kardiovaskular

BACA  Khasiat Quinoa : Makanan Superfood Untuk Kesihatan Yang Lebih Baik

Diet yang kaya dengan kalium didapati dapat membantu menurunkan tekanan darah pada wanita dengan ketara dan juga boleh mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular. [5] 

Selain itu, pisang adalah komponen penting dalam diet yang dapat menyihatkan jantung seperti DASH, yang menekankan kepentingan pengambilan natrium rendah, kalium dan serat tinggi. 

Memakan satu biji pisang setiap hari, bersama-sama dengan buah avocado boleh membantu mencegah pengerasan arteri. [6] 

Rumusan  

Menambah pisang ke dalam diet anda boleh membantu mencegah risiko serangan jantung dan strok. Ini kerana kalium, serat dan nutrien penting yang terdapat dalam buah pisang baik untuk kesihatan kardiovaskular.

Pisang Mengandungi Kandungan Antioksidan Yang Tinggi 

Menurut kajian, pisang kaya dengan antioksidan yang boleh melindungi tubuh daripada radikal bebas, yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti diabetes, kanser, dan penyakit kardiovaskular.

Selain itu, pisang mengandungi beberapa sebatian bioaktif seperti fenolik, karotenoid, dan amina biogenik, yang sangat penting dalam diet kerana ia menyokong kesihatan badan secara keseluruhan. [7] 

Kulit pisang adalah satu lagi sumber fitokimia antioksidan yang mampu meningkatkan kesihatan seperti antosianin dan sebatian lain.  

Oleh itu, adalah penting untuk menambah pisang ke dalam diet sihat anda kerana sifat antioksidannya yang tinggi bagi memastikan kesejahteraan keseluruhan tubuh badan kita. 

Rumusan 

Pisang padat dengan nutrien penting, termasuk antioksidan serta sebatian bioaktif seperti fenolik, karotenoid dan amina biogenik yang boleh melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit serius. 

Kebaikan Pisang Dalam Membantu Meningkatkan Fungsi Buah Pinggang Sihat

Menurut kajian, pisang mungkin mempunyai kesan positif terhadap fungsi buah pinggang. Pisang kaya dengan kalium, yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan buah pinggang dengan memastikan jumlah kalium yang diperlukan kekal di dalam badan. [8] 

Pisang bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 422 miligram kalium, menjadikannya makanan tambahan yang baik bagi mengekalkan kesihatan buah pinggang.

Selain itu, pisang juga mempunyai kandungan oksalat yang rendah. Diet rendah oksalat telah dikaitkan dengan penurunan risiko batu karang terjadi.

Secara keseluruhannya, pisang menggalakkan peningkatan fungsi buah pinggang, menjadikannya pilihan buah yang baik untuk ditambah ke dalam diet yang sihat. 

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai penyakit buah pinggang, adalah penting untuk berbincang dengan doktor sebelum menjadikan pisang sebahagian dari diet penting anda. 

Ini kerana pisang mengandungi kalium, dan buah pinggang anda mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik jadi ia tidak dapat mengeluarkan kalium tambahan daripada badan yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.  

Rumusan

Pisang kaya dengan kalium, yang boleh membantu mengekalkan kesihatan buah pinggang yang sihat dengan memastikan jumlah kalium yang betul dikekalkan di dalam badan. Kandungan oksalatnya yang rendah pula membantu mengurangkan risiko batu karang.

Pisang Boleh Meningkatkan Mood 

Ramai yang tidak tahu pisang boleh membantu meningkatkan mood! Penyelidikan mendapati bahawa pisang boleh membantu mengekalkan mood yang stabil semasa anda sedang merasa tertekan. 

Ini kerana tryptophan asid amino yang terhasil secara semula jadi dalam pisang dapat membantu badan menghasilkan serotonin – hormon yang bertanggungjawab dalam memberikan perasaan gembira.  

Menurut satu kajian yang telah dijalankan, penurunan mood mungkin berkait rapat dengan tahap penurunan hormon serotonin. Oleh sebab itu adalah jelas bahawa tahap tryptophan boleh memberi kesan yang ketara pada mood.

Dengan mengekalkan tahap tryptophan dan serotonin yang sihat boleh membantu meningkatkan mood dan kesejahteraan keseluruhan seseorang. [9]

Rumusan  

Pisang mempunyai manfaat dalam menstabilkan mood disebabkan oleh tryptophan yang membantu menghasilkan serotonin yang bertanggungjawab dalam mengawal mood.

Dengan mengekalkan tahap tryptophan dan serotonin yang sihat boleh membantu meningkatkan mood dan kesejahteraan seseorang individu itu. 

Pisang Boleh Membantu Mengatasi Anemia 

Anemia merupakan keadaan di mana badan tidak mempunyai sel darah merah atau hemoglobin yang cukup untuk membawa oksigen ke tisu badan. 

Apabila seseorang mengalami anemia, mereka mungkin berasa sejuk dan letih kerana kekurangan oksigen dalam darah mereka. Gejala lain mungkin termasuk sesak nafas, kulit wajah kelihatan pucat, pening, degupan jantung yang tidak teratur, sakit dada, degupan jantung yang cepat dan kekeliruan.

Satu kajian yang telah dijalankan di Malaysia melibatkan 102,388 orang peserta yang berumur antara 35 dan 70 tahun. Darah vena diambil untuk kiraan darah penuh. Kelaziman anemia didapati 13.8%, dengan kebanyakan kes adalah jenis mikrositik-hipokromik (59.7%).

Kaum India mempunyai prevalens anemia tertinggi (19.9%), diikuti oleh Melayu (13.1%) dan Cina (12.0%). Kaum wanita mempunyai prevalens anemia yang jauh lebih tinggi (20.1%) berbanding dengan kaum lelaki (4.9%). [10] 

Pisang merupakan sumber zat besi yang hebat menjadikannya makanan yang baik untuk mereka yang mengalami anemia.

Dengan mengambil dua pisang sehari boleh menyediakan jumlah zat besi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan diet harian.

Selain itu, pisang juga kaya dengan vitamin B6, yang mampu membantu mengawal tahap glukosa darah bagi mereka yang mempunyai anemia. [11]

Pisang juga tinggi dengan folat dan B12, yang penting untuk penghasilan sel darah merah yang sihat. Selain itu, pisang kaya dengan antioksidan, lutein, vitamin A, dan karotenoid, yang boleh menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan.

Rumusan

Pisang merupakan buah yang sangat berkhasiat kerana ia boleh memberi manfaat kepada individu yang mengalami anemia kerana kandungan zat besi dan vitamin C nya yang tinggi, serta ia mudah dihadam.

Walau bagaimanapun, pisang sahaja tidak mencukupi untuk merawat anemia. Bagi kes yang kritikal mungkin memerlukan rawatan perubatan. 

Pisang Boleh Membantu Menguruskan Tahap Tekanan Darah

Pisang mengandungi kandungan kalium yang tinggi. Satu pisang bersaiz sederhana mengandungi anggaran 422 kalium. 

Mineral penting ini didapati mempunyai kesan positif terhadap pengurusan tekanan darah. Dengan mengambil makanan yang kaya dengan kalium, seperti pisang, dapat membantu menurunkan tekanan darah kerana peranan kalium yang memberi kesan terhadap penurun darah tinggi.  

Kalium secara umumnya dapat membantu mengimbangi kesan pengambilan garam yang tinggi, yang merupakan penyumbang biasa kepada tekanan darah tinggi. [12]

Jadi, jika anda sedang mencari cara semula jadi untuk menguruskan tekanan darah anda, menambahkan pisang pada diet anda setiap hari mungkin boleh menjadi penyelesaian yang mudah dan berkesan.

Rumusan 

Pisang mengandungi kalium yang tinggi, sejenis mineral yang mampu membantu menurunkan tekanan darah dengan mengawal kesan natrium dalam diet. Selain itu, pisang adalah sumber serat yang baik yang sering dikaitkan dengan penurunan darah tinggi. 

Pisang Mungkin Menawarkan Faedah Kepada Semput Dalam Kanak-Kanak Asma 

Pisang bukan sahaja lazat tetapi juga menawarkan pelbagai manfaat kesihatan, terutamanya untuk kanak-kanak yang menghidap asma. 

Menurut penulisan yang diterbitkan oleh Jurnal Pernafasan Eropah (European Respiratory Journal), pisang mungkin dapat membantu mengurangkan semput pada kanak-kanak yang menghidap asma dengan meningkatkan fungsi paru-paru.

Ini mungkin disebabkan oleh kandungan antioksidan dan kalium nya. Malah, dengan sebiji pisang sehari boleh mengurangkan kemungkinan mengalami gejala asma sebanyak 34%. [13]

Terdapat bukti saintifik yang terhad dalam menyokong dakwaan bahawa pisang boleh membantu dengan asma pada kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, sesetengah pakar mencadangkan bahawa vitamin C, antioksidan dan nutrien lain dalam pisang mungkin mempunyai kesan anti-radang yang berpotensi meningkatkan fungsi paru-paru pada penghidap asma. 

Rumusan

Pisang adalah sumber serat makanan yang baik, yang telah dikaitkan dengan pengurangan risiko asma dan kesihatan pernafasan yang lebih baik.

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa pisang sahaja tidak boleh merawat asma, dan kanak-kanak yang menghidap asma harus mengikut pelan rawatan yang disyorkan oleh doktor mereka.

Kebaikan Buah Pisang Dalam Membantu Memulihkan Otot Badan Selepas Bersenam 

Menurut penyelidikan, pisang adalah pilihan yang bagus untuk pemulihan selepas bersenam.

Ia bukan sahaja mudah didapati, tetapi ia juga mengandungi karbohidrat dan kalium yang bermanfaat untuk pemulihan otot.

Mengambil pisang selepas bersenam boleh menyumbang kepada peningkatan pengeluaran glikogen otot dan secara tidak langsung membantu mengurangkan keradangan dan menggalakkan penggunaan protein yang lebih baik.

Tambahan lagi, penyelidikan baru-baru ini telah menunjukkan bahawa pisang mungkin mempunyai kesan yang sama dengan minuman sukan yang berfungsi dalam memulihkan otot atlet selepas bersenam.

Pisang mengandungi gula dan fitokimia yang boleh membantu atlet semasa melakukan senaman berat. Di samping itu, beberapa sebatian dalam pisang boleh membantu mengurangkan keradangan. [14]

Rumusan  

Pisang adalah sumber karbohidrat yang baik, yang boleh membantu menambah tahap glikogen badan selepas bersenam.

Selain itu, pisang mengandungi kalium, yang boleh membantu mengurangkan kesakitan otot dan kekejangan dengan menggalakkan keseimbangan cecair dalam badan.

Makan Pisang Untuk Mengekalkan Penglihatan Yang Sihat 

Menurut penyelidikan, memakan pisang mungkin mempunyai manfaat yang besar untuk mengekalkan penglihatan yang sihat. 

BACA  11 Khasiat Kacang Walnut Yang Sangat Baik Untuk Tubuh Badan Dan Diet Harian Yang Lebih Sihat

Pisang mengandungi karotenoid, sebatian yang boleh ditukar menjadi vitamin A, yang penting untuk kesihatan mata. Malah, karotenoid adalah prekursor vitamin penting yang boleh membantu mencegah penyakit berkaitan penglihatan dan mengurangkan kekurangan vitamin A. [15] 

Vitamin A dalam pisang boleh membantu memastikan mata anda kekal sihat. Malah, beberapa kultivar pisang sangat kaya dengan karotenoid provitamin A, seperti pisang Fe’i yang memiliki isi yang bewarna oren. Pisang jenis ini boleh didapati dari rantau Pasifik.

Rumusan 

Pisang adalah sumber karotenoid yang baik, yang boleh ditukar kepada vitamin A untuk mengekalkan penglihatan yang sihat dan mencegah penyakit berkaitan penglihatan. 

Pisang Untuk Kesihatan Kulit

Menurut kajian, pisang mempunyai beberapa manfaat untuk kesihatan kulit. Kulit pisang padat dengan antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas yang menjadi penyebab kanser dalam badan.

Selain itu, kajian yang telah dijalankan pada 2015 menunjukkan bahawa kulit pisang mempunyai sifat antibakteria. [16]

Pisang juga kaya dengan nutrien yang baik untuk kulit seperti zink, vitamin B6 dan B12, dan antioksidan yang boleh membantu merawat pelbagai masalah kulit.

Tanin yang terdapat dalam pisang adalah astringen semula jadi yang boleh membantu menegangkan dan menenangkan kulit.

Pisang juga tinggi dengan antioksidan, yang mampu memberikan perlindungan terhadap radikal bebas akibat pendedahan cahaya matahari dan keadaan sekeliling yang dipenuhi dengan pencemaran.

Rumusan

Pisang mempunyai sifat antioksidan dan antibakteria yang mampu membantu melawan radikal bebas. Selain itu, tanin dalam pisang boleh merawat kulit.

Nota Penting

Pisang adalah sejenis buah yang lazat dan penuh dengan khasiat yang boleh memberikan banyak manfaat terhadap kesihatan kita. Tetapi seperti apa juga makanan, apabila diambil dengan terlalu banyak boleh memberi kesan negatif terhadap badan. 

Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui kesan kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan pisang secara berlebihan.

Beberapa kesan sampingan pisang yang berkaitan dengan pengambilan buah pisang secara berlebihan termasuklah kerosakan gigi dan migrain.

Selain itu, pisang juga mengandungi tyramine yang boleh menyebabkan darah tinggi bagi individu yang memang sudah mempunyai masalah darah tinggi.  

Walaupun ini jarang berlaku, sesetengah individu mungkin mengalami alahan, bengkak, ruam kulit atau sesak nafas selepas makan pisang secara berlebihan.  

Pengambilan pisang yang keterlaluan juga boleh menyebabkan masalah penghadaman dan kembung perut.

Oleh itu, adalah disyorkan untuk mengambil pisang secara sederhana dan mengekalkan kebersihan gigi yang baik untuk mendapatkan manfaat kesihatan tanpa sebarang kesan sampingan.

Kesimpulan 

Kesimpulannya, pisang mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan badan kita. Ia bukan sahaja merupakan sumber tenaga dan serat pemakanan yang hebat, tetapi ia juga kaya dengan vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh tubuh badan kita. 

Ia merupakan sumber serat yang baik, yang boleh membantu dengan penghadaman dan pengurusan berat badan, serta mengandungi beberapa vitamin dan mineral, termasuk kalium, vitamin C dan vitamin B6. 

Ia juga mengandungi antioksidan dan sebatian seperti tryptophan, yang boleh menyumbang kepada tidur yang lebih baik, manakala kanji tahan dapat membantu meningkatkan gula darah dan kesihatan usus. 

Menggabungkan pisang ke dalam diet seimbang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sihat boleh menjadi cara yang baik untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan tubuh badan. Bukan sahaja rasanya sedap tetapi ia sangat sesuai untuk seisi keluarga.

Soalan-Soalan Lazim Mengenai Pisang

Rujukan / Reference

  1. Fahrasmane, L. & Parfait, B. & Aurore, Guylene. (2014). Bananas, a source of compounds with health properties. Acta Horticulturae. 1040. 75-82. 10.17660/ActaHortic.2014.1040.9. 
  2. Cressey R, Kumsaiyai W, Mangklabruks A. Daily consumption of banana marginally improves blood glucose and lipid profile in hypercholesterolemic subjects and increases serum adiponectin in type 2 diabetic patients. Indian J Exp Biol. 2014 Dec;52(12):1173-81. PMID: 25651610.
  3. A.P. Nungent (February 2005) Health properties of resistant starch. Nutrition Bulletin
  4. James W Anderson, Pat Baird, Richard H Davis Jr, Stefanie Ferreri, Mary Knudtson, Ashraf Koraym, Valerie Waters, Christine L Williams (March 2009) Health benefits of dietary fiber. Wiley Online Librabry
  5. Rosa D Wouda, S Matthijs Boekholdt, Kay Tee Khaw, Nicholas J Wareham, Martin H de Borst, Ewout J Hoorn, Joris I Rotmans, Liffert Vogt, Sex-specific associations between potassium intake, blood pressure, and cardiovascular outcomes: the EPIC-Norfolk study, European Heart Journal, Volume 43, Issue 30, 7 August 2022, Pages 2867–2875, https://doi.org/10.1093/eurheartj/ehac313
  6. Jeff Hansen (October 2017) A need for bananas? Dietary potassium regulates calcification of arteries. The University Of Alabama At Birmingham
  7. Singh B, Singh JP, Kaur A, Singh N. Bioactive compounds in banana and their associated health benefits – A review. Food Chem. 2016 Sep 1;206:1-11. doi: 10.1016/j.foodchem.2016.03.033. Epub 2016 Mar 11. PMID: 27041291.
  8. Young SN. The effect of raising and lowering tryptophan levels on human mood and social behaviour. Philos Trans R Soc Lond B Biol Sci. 2013 Feb 25;368(1615):20110375. doi: 10.1098/rstb.2011.0375. PMID: 23440461; PMCID: PMC3638380.
  9. Abdullah, N., Ismail, N., Abd Jalal, N. et al. Prevalence of anaemia and associated risk factors amongst The Malaysian Cohort participants. Ann Hematol 99, 2521–2527 (2020). https://doi.org/10.1007/s00277-020-04279-w
  10. Abdullah, N., Ismail, N., Abd Jalal, N. et al. Prevalence of anaemia and associated risk factors amongst The Malaysian Cohort participants. Ann Hematol 99, 2521–2527 (2020). https://doi.org/10.1007/s00277-020-04279-w
  11.  Spinneker A, Sola R, Lemmen V, Castillo MJ, Pietrzik K, González-Gross M. Vitamin B6 status, deficiency and its consequences–an overview. Nutr Hosp. 2007 Jan-Feb;22(1):7-24. PMID: 17260529.
  12. How Potassium Can Help Control High Blood Pressure. (Oct 31, 2016) American Heart Association
  13. B. J. Okoko, P. G. Burney, R. B. Newson, J. F. Potts, S. O. Shaheen. Childhood asthma and fruit consumption European Respiratory Journal 2007 29: 1161-1168; DOI: 10.1183/09031936.00097806 
  14. Nieman DC, Gillitt ND, Sha W, Esposito D, Ramamoorthy S (2018) Metabolic recovery from heavy exertion following banana compared to sugar beverage or water only ingestion: A randomized, crossover trial. PLoS ONE 13(3): e0194843. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0194843
  15. Thirunavukarasu AJ, Ross AC, Gilbert RM. Vitamin A, systemic T-cells, and the eye: Focus on degenerative retinal disease. Front Nutr. 2022 Jul 18;9:914457. doi: 10.3389/fnut.2022.914457. PMID: 35923205; PMCID: PMC9339908.
  16. Kapadia SP, Pudakalkatti PS, Shivanaikar S. Detection of antimicrobial activity of banana peel (Musa paradisiaca L.) on Porphyromonas gingivalis and Aggregatibacter actinomycetemcomitans: An in vitro study. Contemp Clin Dent. 2015 Oct-Dec;6(4):496-9. doi: 10.4103/0976-237X.169864. PMID: 26681854; PMCID: PMC4678547.

Author

  • Farah Kasman

    Farah Kasman mempunyai sijil Makanan dan Kesihatan daripada Stanford University School of Medicine. Beliau mempunyai minat dalam membantu pembacanya memahami kepentingan menjaga kesihatan dan kebaikan makanan serta diet yang sihat.

Leave a Comment

sixteen − eight =