Tidak seperti sup tom yum yang menggunakan banyak campuran rempah ratus, gaeng som atau kengsom tidak menggunakan banyak herba dan rempah ratus untuk disediakan. Kengsom ni merupakan antara menu masakan Thai selatan yang sangat popular.

Berbeza juga dengan masak asam pedas yang perlu ditumis dahulu resepi siakap kengsom ni tak masak guna minyak ya.
Resepi ikan siakap kengsom ini menggunakan campuran serai, kunyit hidup, halia, cili padi dan jus limau nipis. Bahan-bahan ini kemudian dikisar untuk mendapatkan pes yang mempunyai aroma yang segar.
Dalam resepi ikan siakap kengsom ini kami kisar sekali 4 hingga 5 ketul buah nanas supaya rasa kuah manis sedikit.
Kenapa Masakan Kengsom Ni Antara Menu Makanan Sihat?

Terdapat banyak sebab mengapa kengsom ini hidangan yang sihat. Ia dimasak dengan menggunakan herba segar dan dimasak tanpa minyak. Dan ia biasanya dihidangkan bersama nasi maka ia dapat membekalkan karbohidrat kompleks yang dapat memberikan anda tenaga berterusan sepanjang hari.
Antara ramuan yang berkhasiat yang digunakan dalam masakan kengsom:




- Kunyit mempunyai sifat anti-radang dan kandungan antioksidan yang kuat. Ia telah terbukti berkesan dalam merawat arthritis, pedih ulu hati, ulser perut, dan masalah keradangan lain. Ia juga boleh membantu mencegah penyakit Alzheimer serta kanser.
- Serai adalah sumber antioksidan dan vitamin A dan C yang baik. Ia juga mengandungi sebatian yang mempunyai ciri anti-radang, antibakteria dan antikulat. Serai telah digunakan secara tradisional untuk merawat masalah pencernaan, selsema, dan sakit kepala.
- Halia sering digunakan untuk mengurangkan rasa loya dan muntah. Ia juga berkesan dalam melegakan kesakitan akibat arthritis, senggugut, dan sakit kepala. Selain itu, halia telah terbukti membantu dalam menurunkan paras gula dalam darah, membantu mengurangkan keradangan, dan meningkatkan sistem imun.
- Nanas bukan sahaja buah yang sedap, tetapi ia juga mempunyai banyak manfaat kesihatan. Ia dapat meningkatkan imun badan kerana ia kaya dengan Vitamin C, ia juga mengandungi enzim yang dikenali sebagai bromelain, yang membantu dalam proses penghadaman. Selain itu nanas juga membantu mengurangkan risiko kanser.
Ikan Yang Sedap Untuk Masak Kengsom

Oleh sebab kengsom ni masakan berasaskan ikan, jadi mestilah guna ikan ya. Ikan yang biasa digunakan untuk menyediakan kengsom ialah ikan siakap.
Tapi kalau tak suka ikan siakap boleh je nak guna ikan laut yang lain. Ikan bawal, ikan kerapu, ikan tenggiri, ikan kembung atau ikan selar juga boleh.
Ikan air laut lebih sesuai kerana ia lebih pejal dan tidak mudah pecah apabila direbus.
Kalau tiada ikan segar, boleh juga guna ikan siakap frozen.
Untuk resepi kengsom kali ini kami menggunakan ikan siakap kerana ia mudah didapati dan harganya juga berpatutan. Untuk resepi rebus ala Thai memang biasa menggunakan ikan siakap.
Pastikan ikan dibersihkan untuk mengelak kuah berasa hanyir, kemudian potong kepada 4 bahagian. Tapi kalau ada pan atau kuali yang besar dan nak hidangan nampak cantik tak nak potong pun boleh.
Kami potong ikan kepada 4 bahagian termasuk bahagian kepala. Pastikan ikan benar-benar bersih dan buang segala darah dan kekotoran ikan supaya kuah kengsom tidak hanyir.
Boleh lumur ikan dengan garam kemudian bilas dengan air.
Kebaikan Ikan Siakap
Ikan siakap atau dikenali juga dengan nama Asian Seabass atau barramundi ialah ikan yang tergolong dalam kumpulan ikan yang sihat. Ini kerana ia mempunyai kandungan lemak yang rendah.
Kebaikan kesihatan ikan siakap menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang mencari pilihan makanan laut yang lebih sihat. Selain itu, ikan siakap juga merupakan sumber protein dan asid lemak omega-3 yang baik.
Ikan siakap tidak mengandungi kandungan lemak tepu, walaupun ia mengandungi 70 miligram kolesterol, iaitu 23 peratus daripada jumlah yang perlu diambil oleh seorang dewasa yang sihat.
Seperti ikan laut lain, ikan siakap merupakan sumber vitamin dan mineral penting yang mampu membantu menyokong sistem imun badan, kardiovaskular dan sistem saraf. Ia juga kaya dengan selenium, zink, magnesium, vitamin A dan juga kalsium.
Sayur-Sayuran Yang Boleh Ditambah Ke Dalam Kengsom
Sebab kengsom ini masakan yang berkuah sayur atau bahan sampingan lain yang boleh ditambah ialah buah nanas, buah betik muda, rebung, nanas dan kangkung.
Dalam kebanyakkan resepi yang disediakan di Malaysia rata-ratanya menggunakan buah nanas dan sayur kangkung.
Jika anda menggunakan buah nanas, kengsom anda akan rasa lebih manis, dan jika anda menggunakan betik muda kengsom anda akan rasa lebih pedas dan masam.
Terpulang kepada citarasa dan cara masakan masing-masing, boleh sahaja tambah apa jenis sayuran yang anda suka.
Resepi Siakap Kengsom ala Thai Guna Betik Muda

Jika anda pernah ke Thailand atau makan di restoran yang menyediakan masakan asli Thai, pasti kengsom atau gaeng som yang disediakan akan ditambah dengan buah betik muda.
Sama seperti menyediakan kerabu betik hijau ala Thai, anda memerlukan betik hijau yang betul-betul hijau maknanya isinya masih keras dan masam.
Untuk menggunakan betik muda dalam resepi kengsom, kupas dan bersihkan betik muda kemudian potong betik dalam saiz kiub (setebal satu inci). Tambah betik muda ke dalam kuah kengsom dan biar ia masak sehingga separuh lembut. Tapi jangan terlalu lembut pula.
Ok jom kita lihat resepi siakap kengsom ni. Jangan lupa kongsi resepi ni tau! Terima kasih.
Ia sesuai dimakan bagi mereka yang nak diet atau sedang tak sihat sebab hidangan ini tidak menggunakan minyak.
Asyik masak lemak je sesekali kita tukar menu. Kalau belum pernah cuba patut cuba siakap kengsom Thai ni sebab dah cuba sekali pasti nak masak lagi!
Bahan-bahan
- 1 ekor ikan siakap ( dalam anggaran 600-800g)
- 1/2 biji nenas yang dah dihiris setebal 1 inci
- 2 batang serai diketuk
- 2 helai daun limau purut
- 2 sudu besar air perahan limau nipis
- 2 batang daun ketumbar
- 1 biji bawang merah saiz sederhana besar
- 5 ulas bawang putih
- 2 tangkai cili masak
- 5 tangkai cili padi (kalau suka pedas boleh letak lebih)
- 1 inci kunyit hidup
- 1 inci halia
- 1 cawan air
- 2 sudu besar sos ikan
- 1/2 sudu garam
Cara-cara
- Kisar bawang merah, bawang putih, cili masak, halia, kunyit hidup, cili padi dan 4-5 ketul biji nenas bersama 1 cawan air.
- Panaskan kuali. Apabila kuali sudah panas masukkan bahan-bahan yang telah dikisar bersama serai dan limau purut. Pastikan api sederhana besar.
- Kemudian masukkan buah nenas. Jika suka kuah kengsom yang pekat boleh tambah lagi 1/2 cawan air.
- Biar mendidih seketika dan masukkan ikan siakap.
- Kemudian perasakan dengan sos ikan dan garam, dan kacau kuah perlahan-lahan.
- Tutup api apabila semua bahan-bahan sudah sebati.
- Pastikan anda masukkan air limau nipis semasa api sudah ditutup. Langkah ini penting bagi mengekalkan rasa segar dan masam limau nipis ya.
- Akhir sekali tabur daun ketumbar dan sedia untuk dihidangkan.
Nota
Petua dalam untuk mendapatkan kuah kengsom ikan siakap yang sedap ialah selepas memasukkan ikan jangan kacau untuk mengelakkan ikan pecah. Biar ikan masak sepenuhnya dan kacau kuah di sekitar ikan sahaja.
Untuk mengekalkan rasa masam dan manis limau nipis, tambah perahan air limau ketika api sudah ditutup.
Kalau suka boleh juga letak asam keping supaya serasi rasa masam manis nya. Tapi kami suka guna limau nipis sebab ada rasa sitrus dan segar.
Boleh juga tambah sayur kangkung dan apa-apa jenis sayur yang sesuai seperti timun dan buah betik muda.
Resepi siakap kengsom memang guna ikan, tapi tak guna ikan dan nak gantikan dengan udang atau makanan laut lain pun sedap juga.