Resepi nasi ayam Thai ini disediakan dengan herba segar seperti daun ketumbar yang menambah aroma dan rasa hidangan yang unik.
Sos cili nasi ayam Thai ini mempunyai rasa masin, manis dan pedas yang seimbang. Taburan daun ketumbar dan daun bawang memberikan rasa segar pada nasi ayam Thai ini.
Nasi ayam Thai ni memang sedap sangat, patutlah viral. Kalau makan mesti tak perasan mak mertua panggil..
Apa Itu Nasi Ayam Thai?

Nasi Ayam Thai, atau Khao Man Gai ialah hidangan popular Thailand. Hidangan ringkas tetapi sangat sedap ini terdiri daripada ayam yang telah dikukus dihidangkan bersama nasi Jasmine dan sos yang penuh aroma.
Gabungan ayam, nasi yang dan sos yang sedap menjadikan nasi ayam Thai ini menu kegemaran seisi keluarga.
Khao Man Gai berasal dari sentral Thailand di mana ia telah menjadi makanan ruji masyarakat Thai sejak dulu lagi. Walaupun terdapat beberapa variasi tentang cara menyediakan Khao Man Gai, semua versi mempunyai bahan asas yang hampir sama.
Sos tradisional Thai yang dikenali sebagai ‘nam jim‘ sangat berbeza dengan sos nasi ayam biasa atau nasi ayam hainan yang selalu kita makan tu. Ini kerana ia mempunyai aroma dari daun dan akar ketumbar dan limau nipis.
Apa Beza Resepi Nasi Ayam Thai Dengan Nasi Ayam Biasa Kita Masak?

Siapa penggemar dan suka makan nasi ayam pasti tahu yang membuatkan nasi ayam tu sedap ialah ayam, nasi dan sos nya. Dan setiap nasi ayam mempunyai rasa dan tekstur nasi, ayam dan sos yang tersendiri.
Bahan utama yang perlu ada untuk masak nasi ayam tentulah ayam, halia dan bawang putih. Yang membuatkan cara masak nasi ayam Thai berbeza dengan nasi ayam biasa ialah penyediaan ayam dan sos nya serta penggunaan herba seperti daun ketumbar.
Nasi Ayam style Thai sedap dimasak menggunakan air rebusan ayam, daun bawang, halia dan bawang putih. Sos nya pula biasanya dibuat daripada cili padi, bawang putih dan akar daun ketumbar serta jus limau nipis.
Berbeza dengan nasi ayam yang biasa atau Hainan yang mempunyai rasanya yang tersendiri. Ia dimasak menggunakan bahan-bahan seperti halia dan minyak bijan.
Nasi ayam versi Melayu pula rata-ratanya menggunakan herba seperti bunga lawang, daun pandan, serai, kayu manis dan pelaga. Ada juga yang menggunakan butter untuk dapatkan nasi yang berlemak dan wangi. Ayam nya pula diperap dengan kicap dan madu kemudian di goreng.
Kegunaan Daun Ketumbar Dalam Resepi Nasi Ayam Thai

Masakan Thai terkenal dengan hidangan yang unik dan berperisa kerana gabungan pelbagai bahan. Terdapat banyak komponen dalam masakan Thai, tetapi salah satu yang paling penting ialah penggunaan akar dan daun ketumbar.
Cilantro atau daun ketumbar adalah herba asli negara Thailand, dan ia telah menjadi bahan penting dalam identiti masakan negara tersebut. Daun ketumbar sering digunakan dalam penyediaan tom yum, nasi ayam, salad, sos cili Thai dan sup.
Akar ketumbar mempunyai rasa yang lebih kuat berbanding daunnya, jadi ia sering digunakan sebagai pes atau sos dalam masakan Thai.
Akar ketumbar boleh dihancurkan atau dikisar hingga menjadi serbuk dan kemudian ditambah ke dalam sup, kari, rebusan, salad, dan hidangan lain sebagai penambah rasa.
Daunnya juga popular kerana ia memberikan kesegaran dan aroma kepada hidangan salad atau ditaburkan di atas makanan sebelum dihidangkan.
Jangan tak tahu daun ketumbar mempunyai pelbagai manfaat kesihatan tau. Daun dan batang ketumbar kaya dengan antioksidan, yang dapat membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Daun ketumbar juga kaya dengan vitamin A, K, dan C yang menyokong penglihatan yang sihat dan fungsi imun badan. Dalam satu penyelidikan mengatakan bahawa dengan pengambilan daun ketumbar secara kerap boleh membantu menurunkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan jantung secara keseluruhan.
Ok jom kita cuba buat nasi ayam Thai ni. Senang je. Dah cuba jangan lupa share resepi ni ya. Terima kasih kerana sudi cuba resepi yang kami kongsi.
Bahan-bahan
Bahan-bahan untuk ayam
- 1 ekor ayam (dipotong kepada 8 bahagian)
- 3 inci halia
- 4 batang daun bawang
- garam Himalayan
- 1 liter air
Bahan-bahan Untuk Nasi
- ¼ cawan kulit ayam
- 6 ulas bawang putih, cincang halus
- 2 cawan beras Jasmine / beras wangi
Bahan-bahan untuk sos
- 2 akar ketumbar (cilantro).
- 2 ulas bawang putih
- ½ sudu kecil garam
- 1 inci halia, dicincang halus
- 2 sudu besar kicap manis
- ½ sudu kecil gula
- 1 sudu kecil sos ikan
- 1 sudu besar cuka masak
- 2-3 biji cili api, dihiris halus
- 1 sudu air perahan limau nipis
- 1 sudu besar daun ketumbar dicincang halus
Bahan-bahan untuk sup
- Air rebusan ayam
- Daun bawang
- 2 ulas bawang putih dipotong dadu
- ½ biji bawang merah dihiris nipis
- Garam
Cara-cara
Cara masak ayam
- Cuci ayam dengan bersih. Asingkan kulit dan lemak ayam yang berlebihan dan ketepikan. Sediakan ayam dengan melumurkan ayam dengan garam. Ini untuk membuang rasa dan bau hanyir apabila ia direbus.
- Dalam periuk besar, panaskan 1 liter air. Kalau guna periuk besar, tambah air lagi. Bila air dah menggelegak, kecil kan api kemudian masukkan daun bawang dan halia. Kemudian rebus ayam ke dalam air rebusan tadi. Tukar api kepada sederhana dan rebus sehingga ayam betul-betul masak.
- Pastikan anda keluarkan buih-buih yang timbul di permukaan rebusan dengan kerap.
- Apabila ayam sudah masak, keluarkan ayam dengan perlahan-lahan supaya ia tidak pecah. Ketepikan.
Cara masak nasi
- Cuci beras dalam periuk nasi hingga bersih. Toskan air nya dan ketepikan.
- Panaskan pan atau kuali. Tuang sedikit minyak dan kemudian masukkan bahagian kulit dan lemak ayam yang telah dicuci bersih. Sautee hingga keperangan. Kemudian masukkan bawang putih. Tutup api apabila bawang putih sudah keperangan.
- Keluarkan kulit dan lemak ayam tadi. Tuang minyak hasil dari kulit dan lemak ayam serta bawang putih ke dalam periuk berisi beras tadi.
- Ambil air rebusan mengikut kesesuaian beras yang digunakan. Kami guna 2 1/2 cawan air rebusan ayam. Masukkan air rebusan ayam bersama halia dan daun bawang serta sedikit garam. Gaul sebati dan masak nasi seperti biasa. Bila nasi dah masak, biarkan 10 minit baru gaul dengan garfu untuk bagi nasi ringan dan fluffy.
Cara menyediakan sos
- Tumbuk hingga halus akar daun ketumbar cili padi, bawang putih dan halia. Satukan gula, kicap manis, garam, cuka makan dan sos ikan. Kemudian masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi ke dalam campuran sos. Jika suka sos cair sedikit boleh tambah sedikit air rebusan ayam. Masukkan air limau nipis dan tabur daun ketumbar. Sedia untuk dihidangkan.
Cara menyediakan sup
- Panaskan pan kemudian tuang satu sudu minyak. Apabila minyak dah panas masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis hingga keperangan.
- Apabila bahan tumisan dah keperangan tuangkan semua termasuk minyak ke dalam baki air rebusan. Reneh air rebusan sebentar, Tabur daun bawang dan perasakan dengan garam. Tutup api.
- Hidangkan nasi ayam Thai ini dengan daun ketumbar segar, tomato serta timun.
Nota
Ayam yang telah direbus boleh juga dikukus semula. Selepas keluarkan ayam yang telah direbus, gaulkan ayam bersama sedikit kicap manis, halia dan bawang putih yang telah dicincang halus serta daun bawang. Perap selama kira-kira 10 minit kemudian kukus selama 5-8 minit.
Untuk sup ayam, nak tambah sayur-sayuran seperti lobak merah pun boleh juga.
Nasi ayam ni boleh juga disediakan menggunakan rice cooker.
Gula perang boleh digantikan dengan gula Thai atau gula nissan.