Apa Itu Ayam Goreng Korea?

Annyeonghaseyo!
Ayam Korea atau Dakgangjeong adalah hidangan snek popular yang berasal dari Korea Selatan. Ia dimasak dengan mencampurkan ayam yang telah digoreng bersama sos gochujang (pes lada merah), kicap manis, bawang putih, dan madu.
Hasilnya ialah sebuah hidangan ayam goreng yang sedap, rangup dan pedas. Ia sesuai dihidangkan bersama nasi, salad atau kentang goreng. Siapa suka layan cerita Korea mesti tahu macam mana layan nya makan ayam goreng Korea ni.

Jika anda tidak pernah makan ayam goreng Korea sebelum ini, anda pasti akan menyukainya.
Apakah Sos Korea Gochujang?

Apabila bercakap tentang masakan Korea, ada kemungkinan besar anda pernah mendengar tentang sos gochujang. Tetapi apa sebenarnya sos Gochujang ni kan? Selalu kalau kita tengok orang Korea masak mesti guna sos gochujang ni.
Mereka guna dalam pembuatan kimchi, masak ramen, bulgogi, stew dan macam-macam lagi. Ia mempunyai rasa yang pedas, masin dan manis. Rasa manis tu hasil dari proses penapaian bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan sos ini.
Antara bahan-bahan yang ada dalam gochujang ni ialah lada cili merah, serbuk cili Korea (Gochugaru), tepung pulut, kacang soya yang diperam serta garam. Gochujang mempunyai konsistensi yang pekat tidak seperti sos cili biasa, sedikit melekit dan mempunyai warna merah yang pekat.
Sos gochujang sering digunakan sebagai perasa dan juga sesuai digunakan sebagai sos pencicah. Ia juga boleh digunakan dalam perapan atau sebagai bahan dalam hidangan lain seperti rebusan atau tumis.
Bahagian Ayam Yang Paling Rangup Dan Sedap Bila Digoreng

Ayam goreng adalah hidangan yang sangat klasik. Hampir semua orang suka dan pernah makan ayam goreng. Tapi kalau nak tahu ada bahagian-bahagian ayam yang memang sesuai untuk digoreng.
Biasanya untuk hidangan ayam goreng Korea bahagian ayam yang sering digunakan adalah dada, peha dan kepak.
Sama ada anda mahukan salutan yang lebih rangup atau kepingan daging ayam yang juicy, terdapat beberapa bahagian ayam yang berbeza yang sesuai untuk masakan ayam goreng Korea.
Jika anda mahukan kulit yang sangat rangup, guna ayam bahagian kepak dan drumette kerana ia mempunyai lebih banyak kulit berbanding bahagian lain.
Saiz kepak dan drumette yang sederhana besar membuatkan ia masak lebih cepat dan lebih rangup apabila digoreng. Jika anda suka bahagian yang lebih juicy pilih bahagian paha kerana dark meat cenderung kekal lembap walaupun dimasak pada suhu yang tinggi.
Dark meat, seperti paha, lebih juicy dan lebih lembut berbanding white meat seperti bahagian dada. Tambahan lagi, dark meat mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi. Ini yang mengekalkan tekstur juicy nya ketika proses memasak.
White meat pula tidak mengandungi banyak lemak maka ia agak kering apabila digoreng.
Jadi jika anda suka ayam goreng yang lembut dan tidak muak, anda boleh memilih bahagian dark meat – paha, kepak, drumette. Tapi jika anda lebih suka isi ayam dan mahukan ayam yang kurang lemak anda boleh menggunakan bahagian white meat.
Tepung Yang Elok Untuk Goreng Ayam?

Untuk memastikan ayam yang rangup selepas digoreng anda perlu menggunakan jenis tepung yang betul. Terdapat beberapa jenis tepung yang sesuai untuk menggoreng ayam seperti tepung serba guna, tepung gandum dan tepung jagung.
Tepung serba guna mempunyai kandungan protein dan kanji yang seimbang dan ia dapat memberikan makanan bergoreng salutan yang sekata dengan tekstur yang ringan dan rangup. Ia juga boleh dipadankan dengan perasa dan rempah lain.
Bagi mereka yang mencari sesuatu yang lebih sihat, gandum penuh atau gandum putih juga berfungsi dengan baik semasa menggoreng ayam kerana ia memberikan lebih banyak serat tanpa menggangu rasa atau tekstur.
Kalau nak guna tepung Bestari atau tepung goreng Adabi pun boleh juga.
Ok jom kita cuba buat ayam goreng Korea ni. Rasa sama macam di restoran Korea, lepas ni kalau teringin boleh dah masak sendiri je. Makan pula sambil layan K-drama, terus feeling-feeling di Korea!
Ditabur pula dengan bijan dan daun bawang, membuatkan hidangan ini sangat menyelerakan. Kalau makan seketul pasti tak cukup, makan di kedai pula harga boleh tahan, jadi buat sendiri pasti puas hati. Anak-anak suka, suami pun gembira!
Bahan-bahan
Bahan-bahan untuk ayam
- 1.5kg (kami guna campuran bahagian ayam kepak, paha dan dada ayam)
- 2 sudu kecil halia (kisar halus)
- 2 sudu besar bawang putih yang telah dikisar
- 1 sudu kecil garam Himalayan (garam biasa pun boleh)
- 1/2 sudu kecil lada hitam
- 1 cawan tepung jagung / tepung Bistari
- 2 cawan minyak canola
Bahan- Bahan untuk sos
- 3 sudu besar sos tomato
- 2 1/2 sudu besar gochujang
- 1/4 cawan madu
- 1/4 cawan gula perang
- 2 sudu besar kicap
- 2 sudu besar bawang putih kisar
- 1 sudu besar minyak bijan
- 1 sudu bawang putih (cincang halus)
Bahan-bahan untuk ditabur atas ayam Korea (tak nak letak pun tak mengapa)
- 1 sudu besar bijan yang telah dipanggang
- 1/2 cawan daun bawang yang telah dipotong
Cara-cara
Cara masak ayam
- Cuci ayam dengan bersih dan keringkan. Boleh lap ayam dengan kain tisu untuk kurangkan air.
- Masukkan ayam, bawang putih, halia, garam dan lada hitam dalam mangkuk besar. Gaul semua bahan-bahan hingga sebati. Kemudian salut ayam dengan tepung jagung dan ketepikan.
- Panaskan minyak. Jika anda menggunakan kuali pastikan minyak yang digunakan dapat menutupi ayam supaya ia masak sekata.
- Masukkan ayam dan goreng ayam hingga masak (antara 3 hingga 5 minit, bergantung pada saiz ayam). Pastikan api tidak terlalu besar. Ini untuk mengelakkan ayam hanya masak di luar tapi di bahagian dalam masih mentah.
- Pastikan juga anda tidak penuhkan kuali ketika menggoreng ayam supaya minyak kekal panas dan mudah untuk terbalikkan ayam.
- Bila nampak ayam sudah keperangan, angkat dan toskan ayam yang telah masak dan letakkan di atas kertas tisu. Ketepikan.
** Jika anda suka anda boleh goreng ayam yang telah siap masak sekali lagi. Teknik ini dinamakan second frying. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan semua kelembapan pada ayam supaya ia kekal rangup dan garing. Tapi kalau tak nak double frying pun boleh. **
Cara buat sos
- Satukan semua bahan-bahan sos. Kalau suka pedas boleh tambah gochugang lagi.
- Dalam kuali atau pan yang berasingan, masukkan semua bahan-bahan sos ayam goreng Korea. Panaskan sos di atas api kecil hingga sederhana dan kacau rata. Apabila ia mula menggelegak, tutup api. Pastikan ia dimasak dengan api kecil supaya sos tidak hangit dan melekat pada kuali.
- Masukkan ayam yang telah digoreng ke dalam sos Korea yang telah dimasak tadi.
- Gaulkan ayam dengan sos. Pastikan setiap ayam disalut dengan sos.
- Setelah semua ayam disalut dengan sos, tabur bijan dan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan!
Nota
Untuk pastikan setiap ayam disalut dengan tepung sepenuhnya, gaul ayam dalam tepung seketul-seketul dalam satu masa. Jangan masukkan semua ayam ke dalam tepung kerana mungkin ada bahagian yang tidak dapat disalut sepenuhnya.
Lebihan ayam goreng Korea boleh disimpan didalam peti sejuk selama 2 hari. Panaskan lebihan ayam menggunakan oven atau ketuhar. Ayam goreng Korea yang dipanaskan semula mungkin tidak rangup seperti baru masak.
Selain menggoreng, ayam goreng pedas ala Korea ini juga boleh dipanggang di dalam oven. Selain lebih menyihatkan ia juga tidak memerlukan banyak minyak.
Jika anda memilih untuk membakar ayam di dalam oven, masukkan ayam yang telah disalut dengan tepung ke dalam oven yang telah dipanaskan. Susun ayam di atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar (baking paper). Spray sedikit minyak dan biarkan ia betul-betul masak dan keluarkan dari oven.